Rabu, 10 Julai 2019

INISIATIF MESTECC 2019 - Sektor Tenaga

Semenjak pembentukan Malaysia Baru pada 9 Mei 2018, Malaysia telah mengambil pendekatan yang sangat agresif dalam mempromosikan inisiatif hijau termasuk tenaga boleh baharu (TBB), kecekapan tenaga dan meningkatkan tabir urus industri bekalan elektrik Malaysia.

Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan tenaga boleh baharu dalam campuran penjanaan elektrik daripada 2 peratus sehingga 20 peratus menjelang tahun 2025, tidak termasuk penjanaan kuasa hidro besar yang melebihi 100MW. Ini bermaksud, kita memerlukan sebanyak 3.9 GW penjanaan tenaga boleh baharu dalam masa yang akan datang. Berikut adalah inisiatif mengenai tenaga boleh baharu.

1. Menambahbaik Net Energy Metering (NEM) dan memperkenalkan konsep “Solar Leasing”.

Program Net Energy Metering (NEM) merupakan inisiatif solar fotovoltaik (pv) oleh MESTECC untuk menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu di Malaysia, di mana tenaga yang dihasilkan daripada sistem solar pv akan digunakan terlebih dahulu, sebarang tenaga yang berlebihan akan dieksport ke krid. Skim ini adalah terbuka untuk semua kategori pelanggan TNB termasuk sektor domestik, komersil, pertanian dan industri di Malaysia.

Sebagai pengetahuan anda, Malaysia mempunyai 3.2 juta hartanah bertanah, 450,000 buah lot kedai, 90,000 buah kilang teres, 21,000 buah kilang persendirian dan 1,000 buah kompleks perniagaan. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk menjana tenaga solar menerusi sistem pv di atas bumbung.

Sebelum ini, pengguna elektrik menjual tenaga solar berlebihan yang dihasilkan oleh sistem solar pv kepada TNB pada harga "displaced cost" iaitu pada kadar 31 sen/KWh, tetapi membeli tenaga daripada TNB pada tarif melebihi 50 sen/KWh. Perbezaan antara harga jualan dan belian elektrik ini menyebabkan NEM tidak mendapat sambutan yang baik pada masa dahulu.

Dengan itu, MESTECC telah menambahbaik polisi NEM, mulai 1 Januari 2019, tidak ada perbezaan antara harga jualan dan belian elektrik, di mana harga elektrik yang dihasilkan oleh sistem solar pv akan dibayar berdasarkan konsep “1 nisbah 1”. Setiap kWh tenaga dieksport ke krid akan dikontra dengan 1kWh tenaga yang digunakan daripada krid pada tarif yang digazetkan.

Penambahbaikan mekanisme NEM ini menjadikan pemasangan panel solar di atas bumbung lebih menarik kerana ia membolehkan pengguna menikmati bil elektrik yang lebih rendah. Pada masa yang sama, penambahbaikan ini mampu meningkatkan pertumbuhan industri solar di Malaysia dengan menggalakkan lebih banyak pengguna memasang panel solar di rumah mereka.

Dengan itu, Kerajaan telah menetapkan kuota sebanyak 500MW bagi dua tahun yang akan datang. Jumlah nilai projek ini adalah RM 2 bilion. Sebelum penambahbaikan polisi NEM, kadar permohonan NEM adalah sanggat rendah, iaitu 18.24MW daripada kuota 500MW yang disediakan oleh kerajaan dalam tempoh tiga tahun yang lalu, ini bersamaan dengan empat peratus sahaja. Selepas penambahbaikan NEM, sebanyak 11MW telah ditawarkan dalam bulan Januari 2019.

Selain itu, MESTECC telah memperkenalkan konsep “Solar Leasing” di mana syarikat perkhidmatan solar boleh menawarkan pakej “zero upfront cost” kepada pengguna yang berminat memasang panel solar di atas bumbung rumah mereka. Senarai syarikat perkhidmatan solar yang telah diluluskan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA) boleh disemak dalam laman web SEDA.

Laman Web SEDA: http://www.seda.gov.my

2. Projek Tenaga Boleh Baharu Bukan Solar Di Bawah Mekanisme FiT.

Tarif Galakan (Feed in Tariff) yang juga dikenali sebagai FiT, adalah satu mekanisme yang membolehkan elektrik yang dihasilkan daripada sumber boleh baharu untuk dijual kepada pengagihan berlesen (licensed distributor), iaitu TNB pada harga premium tetap untuk tempoh tertentu.

FiT di Malaysia melibatkan tenaga boleh baharu seperti biogas, biomas, geoterma dan penjanaan kuasa hidro kecil. Tenaga solar tidak lagi ditawarkan di bawah mekanisme FiT kerana teknologi solar telah matang dan kosnya menjadi lebih kompetitif.

Pada suku keempat tahun 2018, kerajaan telah menawarkan sejumlah 114MW kuota tenaga boleh baharu. Ini termasuk 75MW hidro kecil, 30MW biogas dan 10MW biomas. Sebelum ini, kuota FiT ditawar dengan memberi keutamaan kepada pembidar terawal (first come first served). Dalam tender terbuka yang dilancarkan pada suku keempat tahun 2018, kerajaan telah pertama kali memperkenalkan sistem e-pembidaan (e-bidding) untuk biogas bagi memastikan harga tenaga yang paling kompetitif. E-pembidaan kali kedua bagi biogas telah pun dijalankan pada bulan Julai tahun 2019.

Selain itu, SEDA turut akan memulakan e-pembidaan bagi penjanaan kuasa hidro kecil pada bulan September tahun 2019. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari : efit.seda.gov.my

3. Projek Solar Skala Besar (LSS)

Selain daripada tenaga solar di atas bumbung, MESTECC telah melancarkan Projek Solar Skala Besar (LSS) Pusingan Ketiga. Pada 14 Februari 2019, MESTECC telah membuka tender projek solar skala besar sebanyak 500MW. Jumlah nilai projek ini adalah sebanyak RM 2 bilion. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang baik di mana sebanyak 719 dokumen tender telah dijual. Keputusan tender akan diumumkan pada hujung tahun 2019.

Pada tahun seterusnya, MESTECC akan melancarkan tender terbuka untuk projek solar skala besar di mana keutamaan akan diberi kepada projek di tanah yang tidak boleh diguna (unusable land) seperti empangan, tasik dan bumbung.

Menurut satu kajian, tenaga solar boleh mencipta 6.65 peluang pekerjaan setiap Giga Watt jam, biomas mencipta 0.42 peluang pekerjaan setiap Giga Watt jam manakala arang batu adalah 0.07. Ia bermaksud, peluang pekerjaan yang dijana oleh tenaga solar adalah 95 kali lebih tinggi daripada peluang pekerjaan yang dihasilkan oleh penjanaan kuasa melalui arang batu. Kesimpulannya, pekerjaan yang dijana daripada pembangunan tenaga boleh baharu adalah jauh lebih tinggi daripada pekerjaan yang dijana oleh loji jana kuasa bahan api konvensional.

Kerajaan percaya bahawa pembangunan tenaga boleh baharu bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kebergantungan pada penjanaan kuasa konvensional seperti bahan api fosil di samping mengurangkan pelepasan karbon dioksida, bahkan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

4. Meningkatkan Kecekapan Tenaga

Selain daripada tenaga boleh baharu, adalah penting kita memastikan bahawa tenaga digunakan secara cekap. Oleh itu, inisiatif keempat bagi Sektor Tenaga ialah meningkatkan kecekapan tenaga.

Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan United Nation Development Programme (UNDP), Malaysia mempunyai potensi penjimatan tenaga sebanyak RM 47 billion dari tahun 2016 hingga tahun 2030 jika kita meningkatkan kecekapan tenaga.
Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa salah satu halangan utama dalam pembangunan kecekapan tenaga adalah ketiadaan rangka kerja pengawalseliaan. Dengan ini, MESTECC sedang dalam usaha merangka Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga. Kami menyasar untuk membentang draf undang-undang ini dalam masa satu tahun.

Sementara itu, kami juga telah mengkaji semula dan memperbaiki Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga dan menetapkan sasaran untuk mencapai lapan peratus penjimatan tenaga melalui pelan tindakan ini.

Salah satu fokus utama dalam inisiatif kecekapan tenaga ialah penggunaan elektrik di bangunan. Untuk pengetahuan anda, penggunaan elektrik di bangunan merangkumi lebih daripada 50 peratus jumlah penggunaan elektrik di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa terdapat potensi yang besar untuk menjimatkan kos elektrik jika kita boleh meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan. Kerajaan berhasrat untuk memimpin melalui teladan dalam usaha meningkatkan kecekapan tenaga bangunan. Baru-baru ini Kabinet Malaysia telah meluluskan projek perintis kecekapan tenaga melalui mekanisme Energy Performance Contract (EPC).

Sila rujuk kepada video penjelasan mekanisme EPC : http://bit.do/EPCenergyefficiency

5. Meningkatkan Tadbir Urus Industri Bekalan Elektrik Di Malaysia

Tidak lama lagi, kerajaan akan mengumumkan perancangan Malaysia Electricity Supply Industry 2.0 (MESI 2.0). Rancangan ini melibatkan langkah-langkah pembaharuan industri pembekalan elektrik agar ia lebih berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran akan datang. MESI 2.0 akan memperkenalkan lebih banyak persaingan merentasi rantaian nilai bekalan elektrik. Selain itu, MESI 2.0 juga akan memberdayakan pengguna dengan mewujudkan lebih pilihan kepada mereka.

6. Menambah Baik Bekalan Elektrik di Sabah
Secara purata, setiap pengguna elektrik di Sabah akan mengalami gangguan elektrik selama empat jam setiap tahun. Ini adalah lima kali ganda lebih tinggi daripada pengguna elektrik di Semenanjung Malaysia. Oleh demikian, kerajaan komited untuk mengurangkan kasar SAIDI di Sabah daripada 261 minit pada tahun 2018 ke 100 minit menjelang tahun 2022. Terdapat lebih daripada 50 projek penambahbaikan belakan elektrik sedang dijalankan di Sabah.

Video penjelasan kadar SAIDI (System Average Interruption Duration Index) di Sabah : http://bit.do/SAIDISabah

Inilah inisiatif-inisiatif utama bagi Sektor Tenaga. Semua inistif Sektor Tenaga dirancang untuk memastikan pembekalan elektrik di Malaysia mencapai keseimbangan “Energy Trilemma” iaitu, Kemampuan (Affordability), Keboleharapan (Reliability) dan Kelestarian (Sustainability).


Pang Sock Tao
Pegawai Khas kepada YB Yeo Bee Yin
Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)