Rabu, 29 Januari 2014

Putrajaya murah hati dengan kontraktor tetapi kedekut dengan ahli bomba?

Kenyataan Media oleh Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama pada hari Jumaat, 24 Januari 2014 di Petaling Jaya.

Perbelanjaan RM50 juta Kementerian Kewangan membeli peralatan tidak penting bagi Jabatan Bomba dan Penyelamat boleh digunakan untuk membayar gaji 13,000 anggota bomba (bergaji rendah) - malah boleh dijadikan bonus sebanyak RM3,800 seorang anggota.

Seperti yang didedahkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (Public Accounts Committee, PAC), kerajaan Barisan Nasional telah sekali lagi memperlihatkan kekurangan akauntabiliti dalam membelanjankan wang rakat dengan menghabiskan sebanyak RM50 juta membeli "CCS Cobra Cutting Extinguisher E300" melalui rundingan terus. Ini dibuat meski pun Jabatan Bomba tidak berkehendak untuk peralatan tersebut.

Kami percaya bahawa Jabatan Bomba akan lebih mendapat manfaat sekiranya dana tersebut digunakan untuk membayar anggota bomba dalam bentuk bonus ataupun kenaikan gaji. Pada waktu ini, ramai anggota bomba menerima bayaran rendah - gaji pokok seorang anggota muda adalah kurang dari RM1000, malah Ketua Balai pun digaji sekadar RM3,800. Tambahan pula, mereka tidak berhak untuk tuntutan lebih masa. Dalam skim gaji sedemikian, yang lebih rendah berbanding PDRM, walaupun dengan beberapa elaun, ramai anggota bomba merasakan sukar sekali untuk menampung keluarga, terutamanya yang bekerja di kawasan Lembah Kelang.

Kenapa Putrajaya begitu bermurah hati membayar pembekal melalui rundingan terus tetapi memberi bayaran yang begitu ‘ciput’ kepada anggota baris hadapan yang melindungi nyawa dan harta benda rakyat?

Sekiranya kerajaan Barisan Nasional tidak membazirkan RM50 juta membeli "CCS Cobra Cutting Extinguisher E300" dan menggunakan dana tersebut untuk membayar bonus kepada 13,000 orang anggota bomba, setiap seorang sekurang-kurangnya akan membawa pulang RM3,800. Ini pastinya akan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung keluarga ahli bomba terutamanya dalam keadaan harga barang yang kian meningkat serta memberikan impak moral yang tinggi kepada jabatan tersebut.

Dan seandainya RM50 juta itu digunakan untuk membeli jentera bomba yang begitu diperlukan oleh balai-balai seluruh negara, ia pastinya menambah keberkesanan anggota bomba dalam menangangi kecemasan akibat kebakaran serta menjaga keselematan mereka sendiri sewaktu melaksanakan tugas.

Oleh yang demikian, kami menyeru Kementerian Kewangan untuk memberikan penjelasan untuk pembelian peralatan yang tidak diperlukan yang dibuat tanpa tender terbuka. Putrajaya mesti jujur dan telus sekiranya Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dipergunakan sebagai satu saluran untuk memperkayakan satu pihak dengan merugikan faedah anggota bomba serta keselamatan orang awam.