Jumaat, 11 April 2014

Paul Low perlu memastikan perjanjian konsesi KIDEX didedahkan

Kenyataan media bersama oleh ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin, ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakatan, ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San; Ahad 6 April 2014.

Kami menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low untuk mengotakan kata-kata ketelusan dengan mendesak supaya perjanjian konsesi lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) didedahkan.

KIDEX ialah sebuah projek lebuhraya bertingkat sepanjang 14.9km bernilai RM2.42 bilion. Kontrak projek tersebut telah dianugerahkan kepada Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd, yang mempunyai kaitangan dengan peguam UMNO, Datuk Hafarizam Harun isteri bekas ketua hakim negara, Tun Zaki Azmi.

KIDEX Sdn Bhd, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd [1]telah  mengumumkan bahawa pembinaan lebuhraya KIDEX akan bermula seawal tahun depan.[2]

Sementara hal kedudukan kontrak tersebut sebagai sebuah ‘anugerah politik’ masih boleh didebatkan, hanya satu perkara yang kita tahu - kita masih lagi belum melihat perjanjian konsesi. Berapa lamakah tempoh konsesi? Berapa pula kadar tolnya? Dan kadar tol itu akan dikira berdasarkan apa?


Kami mengalu-alukan pembinaan lebih banyak lebihraya yang menghubungkan Utara dan Selatan Lembah Klang. Buat masa ini, terdapat lima lebuhraya merentas Lembah Klang melalui jajaran Timur-Barat, iaitu SPRINT, Lebuhraya Persekutuan, NPE, KESAS dan lebuhraya Bukit Jalil; namun hanya satu lebuhraya merentas jajaran Utara-Selatan iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP). Objektif KIDEX ialah untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di LDP adalah amat baik.

Namun begitu, adakah ia akan menjadi satu lagi LDP yang merompak rakyat demi keuntungan melampau bagi syarikat konsesi atas nama infrastruktur?  Jumlah besar kos pembinaan lebuhraya LDP dianggarkan sebanyak RM1.3 bilion sementara unjuran keuntungan selepas cukai sepanjang 30 tahun tempoh konsesi adalah sebanyak RM18.9 bilion; iaitu 14 kali ganda nilai pelaburan kos. [3] Dengan memberikan manfaat keraguan kepada kerajaan Barisan Nasional, kami tidak pasti sama ada KIDEX adalah satu lagi rompakan lebuhraya sehinggalah kami melihat dokumen perjanjian konsesi tersebut.

Sejak mengambil peranan sebagai ‘menteri ketelusan’ di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low tidak henti bercakap tentang ketelusan dan kebertanggungjawaban. Beliau menekankan keperluan untuk mendapatkan akses kepada maklumat serta mempersoalkan sebab-sebab kenapa perlu meletakkan konsesi lebuhraya di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA)[4]. Beliau turut menafikan gelaran ‘menteri ketelusan’ yang lemah. [5]

Oleh yang demikian, kami percaya bahawa Datuk Paul Low wajar mendesak supaya perjanjian konsesi kesemua lebuhraya yang dibina sewaktu beliau berkhidmat didedahkan. Dan kami mencadangkan supaya beliau bermula dengan perjanjian konsesi lebuhraya KIDEX. Ini pastinya suatu peluang keemasan untuk beliau bagi membuktikan beliau bukannya ‘menteri ketelusan’ yang lemah.


[1] http://www.kidexskyway.com/about/
[2] http://www.thestar.com.my/Business/Business-News/2014/03/14/Construction-of-Kidex-highway-to-begin-next-year/
[3] http://www.thesundaily.my/node/160006
[4] http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/paul-low-says-toughest-challenge-to-declassify-secret-documents
[5] http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/paul-low-says-is-powerless-will-bank-on-pms-stature-to-fight-graft