Sabtu, 3 Mei 2014

5 kesilapan kenyataan Khairy Jamaluddin tentang krisis air di Selangor

Kenyataan Media oleh ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada hari Selasa 29 April 2014.

Lima kesilapan dalam kenyataan Khairy Jamaluddin tentang krisis air Selangor.

Saya merujuk tulisan Khairy Jamaluddin bertajuk “Who is to be blamed for Selangor Water Woes?”. Beliau dengan cemerlang telah memasukkan sebahagian fakta sambil tidak mempedulikan sebahagian fakta lain, mengakibatkan pembaca percaya bahawa kerajaan Selangor sahajalah yang mesti dipersalahkan berkaitan krisis air ini.

Pertamanya saya mahu sebut bahawa kekurangan bekalan air semasa adalah akibat perubahan corak hujan akibat daripada perubahan iklim. Oleh itu, sementara ramalan kerajaan persekutuan pada 2010 nampaknya sedang menjadi nyata bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2014, punca kepada krisis ini bukanlah pertumbuhan permintaan seperti yang diramal kerajaan persekutuan. Berdasarkan trend pertumbuhan permintaan, Tan Sri Khalid percaya pada waktu itu bahawa Selangor mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk memuaskan permintaan sehingga tahun 2019. Meski beliau juga turut bertanggungjawab kerana gagal mempertimbangkan risiko cuaca, kerajaan persekutuan mesti berhenti berkelakuan seakan berkata ‘kan kami dah cakap’ hanya kerana ia secara kebetulan, benar dalam ramalannya tentang krisis air.

Kedua, Khairy telah menunjukkan bahawa keengganan kerajaan Pakatan Rakyat untuk membenarkan Syabas menaikkan tarif air telah menyebabkan Syabas hilang keuntungan untuk mengurangkan non-revenue water (NRW) nya. Saya ingin memperingatkan Khairy bahawa walaupun tanpa kenaikan tarif air, tarif air Selangor sudah pun menjadi yang kedua tertinggi di negara ini. Faktor kenapa Syabas gagal mengurangkan NRW-nya ialah kerana salahguna dana rakyat.

Ketiga, Khairy dan juga menteri-menteri Barisan Nasional mendakwa bahawa jika Langat 2 disiapkan, kita akan dapat menghindarkan krisis air. Saya mahu ingatkan Khairy bahawa kalau pun kerajaan negeri meluluskan projek Langat 2, paling awal pun loji tersebut boleh berfungsi ialah tahun 2015. Bagaimana itu boleh menyelesaikan krisis air sekarang?

Tambahan pula, Khairy telah dengan mudahnya mengabaikan fakta bahawa rangkaian saliran air di Lembah Klang adalah tidak bersambung sesama sendiri akibat pelaburan rendah terhadap sistem perpaipan selama bertahun-tahun oleh pihak Syabas. Sekarang ini, masalah terbesar kita ialah kekurangan air di Sungai Selangor, yang membekalkan 60% air untuk Lembah Klang. Langat 2 secara geografinya jauh sekali dengan Sungai Selangor. Dengan grid air yang begitu caca marba sekarang, kalau pun Langat 2 siap sepenuhnya sekarang, Syabas tidak akan mampu untuk menyalurkan air kepada pengguna yang terkesan dengan kekurangan air di Sungai Selangor. (Itu sebabnya kenapa kelulusan Langat 2 harus hadir bersama pengambil-alihan aset air.)

Keempat, Khairy dengan bangganya menyebut bahawa demi rakyat, kerajaan persekutuan telah memberi pampasan kepada Syabas dengan mengambil-alih bond-nya bernilai RM6.2 bilion dan menyuntik dana berjumlah Rm400 juta untuk operasi dan penyelenggaraan. Tetapi bagaimanakah langkah masuk campur ini membantu Syabas mengurangkan NRW-nya? Khairy nampaknya telah lupa bahawa walaupun langkah intervensi diambil secara berulang-kali oleh kerajaan persekutuan, rangkaian saliran Syabas masih berselerak seperti dahulu dan NRW-nya masih berada sekitar 33% seperti tahun 2007.

Malahan, sebenarnya disebabkan kerajaan persekutuan berulang kali memberi bantuan kewangan kepada syarikat konsesi yang berprestasi rendah yang membolehkan mereka berulang kali menolak tawaran kerajaan negeri untuk mengambil-alih aseet air. Saya juga mahu mengingatkan Khairy ini adalah kali pertama sejak lima tahun, kerajaan persekutuan rela menggunakan Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air untuk membenarkan pengambil-alihan secara paksa terhadap syarikat konsesi air. Jadi sekarang, siapa yang patut dipersalahkan kerana melengahkan penstrukturan semula air?

Akhir sekali, Khairy telah menyifatkan perjanjian air yang ditandatangani dalam MoU terbaru ini, sebagai perjanjian yang baik untuk Selangor memandangkan kerajaan persekutuan akan menyediakan RM9.65 bilion untuk mengambil alih syarikat-syarikat air. Beliau telah mengabaikan satu lagi fakta penting bahawa di bawah pelan penstrukturan semula air yang asal, kerajaan persekutuan akan membeli aset air daripada negeri dan syarikat-syarikat konsesi. Ia telah dilakukan di Negeri Sembilan, Perlis dan Johor. Cumanya di Selangor, kami memohon supaya operasi aset air diletakkan di bawah syarikat GLS Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berbanding GLC kerajaan persekutuan, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Oleh itu, saya tidak melihat bagaimana aturan sebegini akan membuat pembayaran kerajaan persekutuan bagi aset air lebih baik berbanding negeri-negeri lain.

Secara keseluruhan, kita boleh terus berbahas sampai ke malam hari siapa yang harus dipersalahkan tentang krisis air Selangor dan kita tidak akan mencapai kata sepakat. Saya percaya bahawa daripada kita menuduh sesama sendiri, kita harus menumpukan perhatian kepada cara untuk bersedia menghadapi musim kemarau yang akan tiba, yang dijangka akan lebih serius tahun ini. Mengenai pengurusan air jangka panjang, saya berharap supaya syarikat konsesi air, kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan mencapai penyelesaian secara baik secepat mungkin supaya kita boleh memulakan penstrukturan semula air di Lembah Klang.

Jika Khairy Jamaluddin benar-benar runsing tentang kebajikan rakyat Selangor, saya harap beliau boleh menggunakan kapasitinya sebagai menteri untuk mendesak kerajaan persekutuan supaya memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri tanpa mempedulikan perbezaan politik dalam hal pengurusan krisis air jangka pendek dan penstrukturan-semula air jangka panjang.