Isnin, 2 Disember 2024

Perbahasan RUU Perbekalan (Belanjawan 2025) Peringkat Jawatankuasa, NRES | 2 December 2024

 2 December 2024, Isnin

1.     Puchong hanya akan tumpukan 5 min perbahasan saya hari ini kepada P42, Butiran 07200 Pengawaselian Alam Sekitar dengan jumlah anggaran harga projek 1 billion 19 juta 888 ribu 5 ratus 22 (RM 1,019,888,522).

2.     Sebagai perbandingan, dalam anggaran belanjawan 2024 butiran yang sama 07200 Pengawaselian Alam Sekitar, jumlah anggaran harga projek ialah 961 juta 809 ribu 3 ratus 22 (RM 961,809,322)

3.     Oleh itu, soalan Puchong kepada kementerian ialah, adakah projek ini telah pun dirunding semula dan mendapat pertambahan sebanyak kira-kira RM58 juta? Apakah skop kerja tambahan?

4.     Saya sentiasa memerhati perubahan butiran ini kerana semasa saya menjadi menteri alam sekitar, saya nak runding semula perjanjian projek 07200 ini untuk turunkan perbelanjaan dan bukan sebaliknya.

5.     Butiran ini adalah untuk projek Environmental Quality Monitoring Program (EQMP), Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).

6.     EQMP ialah projek konsesi selama 15 tahun bermula Julai 2017 hingga Januari 2032 dan apabila perjanjian konsensi ini ditandatangani, harga keseluruhan projek ialah sebanyak RM846 juta.

7.     Apabila EQMP dilancarkan, menurut Menteri Alam Sekitar ketika itu, objektif program ini adalah untuk menyediakan input dan sokongan penting bagi pelaksanaan program penguatkuasaan JAS. 

8.     EQMP juga bertujuan sebagai sistem amaran awal bagi pencemaran kualiti alam sekitar.

9.     Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya mengendali krisis Sungai Kim Kim, saya mendapati EQMP langsung tidak mencapai objektifnya.

10.    Oleh itu, selepas krisis Sungai Kim Kim, saya sendiri meneliti keseluruhan perjanjian konsesi EQMP yang setebal ini dan tengok apakah sebenar berlaku. 

11.    Saya mendapati bahawa komponen utama program mengikut perjanjian konsesi ialah:

    i. Membina dan mengoperasi stesen pemantauan automatik: 65 udara, 30 sungai dan 10 laut yang ada sensors yang boleh menghantar real time data.

    ii. Membuat persampelan berkala manual di lokasi persampelan (sampling point) yang ditentukan: 14 sampling point bagi udara, 1353 sungai dan 388 laut.

    iii. Mengoperasi 3 stesen pemantauan udara mudah alih iv. Mewujudkan Pusat Data Alam Sekitar (Environmental Data Center - EDC) supaya JAS boleh memantau real time readings dari stesen-stesen automatik di Ibu pejsbat JAS. Dengan analisis data, insiden pencemaran dapat dikesan dan dimaklumkan secara automatik di EDC untuk membolehkan tindak balas segera oleh JAS. 

12.    Puchong memang sokong usaha dan tidak mempertikaikan kepentingan stesen automatik dalam pemantauan alam sekitar kerana dengan adanya real-time data tindakan boleh diambil dengan cepat.

13.    Walaubagaimanapun, persampelan manual hanya mampu memberi amaran untuk perubahan yang berlaku dalam jangka masa panjang dan tidak dapat mengesan anomali yang berlaku secara tiba-tiba seperti pelepasan dan pembuangan sisa tosik, atau bencana alam sekitar yang biasanya menyebabkan pelepasan bahan pencemar ke dalam alam sekitar dalam masa yang singkat.

14.    Jika kita lihat kepada jumlah stesen automatik dan mudah alih, ia jelas bahawa rangkaian sensor amat tidak mencukupi.

15.    Sebagai contoh, terdapat kira-kira 189 lembangan sungai dan 1,800 sungai dan anak sungai utama, dengan jumlah panjang melebihi 38,000km di Malaysia, tetapi hanya 30 stesen automatik di bawah EQMP di seluruh negara.

16.    Oleh itu, tidak hairanlah sistem sedia ada tidak memberikan amaran awal bagi kejadian alam sekitar utama seperti di Sungai Kim Kim mahupun Sungai Semenyih sehingga dilaporkan oleh orang ramai.

17.    Secara keseluruhannya, keupayaan EQMP untuk membantu penguatkuasaan adalah terhad oleh bilangan stesen automatik yang boleh memberikan bacaan real time. Untuk memberi gambaran, pada tahun 2018, sejumlah 580 amaran pencemaran dibuat oleh sistem EQMP manakala sejumlah 5,678 tindakan penguatkuasaan diambil oleh JAS.

18.    Walaupun kita andaikan bahawa satu amaran pencemaran membawa kepada satu tindakan penguatkuasaan, EQMP hanya membantu mengesan sebanyak 10% daripada tindakan penguatkuasaan. 

19.    Ini tidak termasuk hakikat bahawa kadang-kadang beberapa amaran pencemaran datang daripada satu kejadian atau amaran pencemaran yang merupakan false positive. 

20.    Mungkin statistik ini 2018 agak lama kerana masa itu saya dapat akses angkaangka ini, tetapi saya rasa, sekarang pun tiada jauh daripadanya. 

21.    Soalan untuk kita ialah sama ada berbaloi untuk kerajaan membelanjakan RM85 juta setiap tahun untuk sistem yang mampu tolong hanya kira-kira 10% tindakan penguatkuasaan JAS. 

22.    Jika kita banding dengan jumlah perbelanjaan JAS butiran 040100 iaitu kos untuk mengoperasi semua cawangan JAS di seluruh negara – jumlah perbelanjaan ialah kira-kira RM 130 juta. Jika kita tengok dengan lebih teliti kod 1000 bagi emolumen JAS, jumlah perbelanjaan ialah RM 98 juta. 

23.    RM 98 juta gaji untuk seribu empat ratus lebih warga JAS berbanding dengan RM 85 juta (iaitu 87% jumlah gaji JAS) untuk satu syarikat yang membantu kira-kira 10% tindakan penguatkuasaan JAS. 

24.    Adakah ia berbaloi?

25.    Tambahan lagi, semasa saya melawat cawangan JAS di seluruh negara, di banyak cawangan, saya melihat sendiri bahawa pegawai terpaksa menjalan tugas kenderaan lama, kadang-kala perlu pinjam kendaraan dari PBT. 

26.    Peralatan JAS pun tidak mencukupi seperti pengesan gas atau dron yang perlu digunakan untuk rondaan dan penguatkuasaan. 

27.    Dengan EQMP yang kosnya satu billion dan JAS yang masih lagi kekurangan, Puchong nak tanya, adakah kita kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan? 

28.    Oleh itu, masa itu saya nak runding semula perjanjian ini untuk mendapatkan lebih penjimatan supaya lebih peruntukkan boleh digunakan untuk memperkasakan JAS. Malangnya, Langkah Sheraton berlaku. 

29.    Dalam proses saya meneliti perjanjian konsesi ini, saya mendapati bahawa perjanjian itu ada exit clause yang munasabah yang memberi kelebihan kepada kerajaan untuk kembali ke meja rundingan untuk mendapatkan nilai yang lebih baik daripada konsesi, iaitu menambah rangkaian sensor real time atau teknologi lain untuk mengautomasikan pemantauan kualiti alam sekitar dengan lebih meluas.

30.    Tambahan lagi, saya mendapati bahawa hanya 25% daripada bayaran tahunan adalah bayaran tahunan tetap, yang melibatkan bayaran CAPEX yang digunakan untuk memasang stesen pemantauan automatik dengan kadar pulangan dalaman IRR yang munasabah. 

31.    75% lagi adalah komponen kos berubah (variable cost), iaitu bayaran untuk manual sampling. 

32.    Dengan teknologi Internet of Things, dan pengimejan satelit untuk pemantauan alam sekitar yang semakin matang dan murah, adalah tiada logik untuk terus membayar begitu banyak untuk bacaan manual sehingga konsesi tamat. 

33.    Oleh itu, saya nak tanya kementerian, dalam pertambahan jumlah ini, skop kerja stesen automatik ataupun manual yang ditambah? 

34.    Puchong juga ingin mengingatkan kementerian bahawa Ketua Pengarah JAS, dengan kuasa yang diberi oleh Seksyen 11(3a) dan (3b) Akta Kualiti Sekeliling 1974, boleh mengenakan syarat ke atas lesen baharu atau mengubah syarat ke atas lesen sedia ada bagi kilang-kilang yang terletak di kawasan yang tertekan pencemaran. 

35.    Kuasa ini boleh digunakan untuk menambah stesen automatik yang boleh dilink ke EDC terutamanya di kawasan-kawasan yang lebih cenderung pencemaran atau sensitif kepada pencemaran seperti sungai yang membekalkan air mentah kepada loji rawatan air. 

36.    Dengan ini, rangkaian sensor pemantauan kualiti alam sekeliling boleh menjadi lebih besar dan menyeluruh tanpa melibatkan pembayaran kerajaan secara terus. 

37.    Secara keseluruhannya, Puchong memang adalah penyokong kuat pengautomasian pemantauan kualiti alam sekitar, tetapi saya rasa perbelanjaan butiran 07200 ini boleh diperbaiki lagi. 

38.    saya berharap kementerian boleh menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan bahawa wang rakyat yang digunakan untuk mengawal kualiti alam sekitar adalah efektif dan value for money. Sekian, Puchong menyokong.