Sidang Media oleh JKP Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat berkaitan penyata penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia DR.17 Tahun 2025 | 26 Ogos 2025, Selasa
1.
Hari ini kami Jawatankuasa
Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat membuat sidang
media ini untuk menjelaskan satu penyata yang telah kami bentangkan di Dewan
Rakyat pada 19 Ogos 2025 berkenaan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak di
Malaysia.
2.
Penyata ini dihasilkan melalui 13 libat urus
dengan kementerian, jabatan, universiti, pengusaha industri dan pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) serta lawatan kerja ke Singapura dari
Januari hingga Julai 2025.
3. Setelah
meneliti secara mendalam isu-isu yang telah dibangkitkan dalam
mesyuarat-mesyuarat serta lawatan kerja yang telah dijalankan, kami ingin
berkongsi beberapa perkara utama yang telah dikenal pasti.
4. Pertama, sektor pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia masih berdepan dengan cabaran besar dari segi dasar dan tadbir urus.
5. Secara keseluruhannya, negara kita tiada dasar yang menyeluruh dan akta khusus bagi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
6. Selain
itu, terdapat pertindihan fungsi antara pelbagai agensi.
7. Yang
paling penting, sektor ini menghadapi kekurangan peruntukan berbanding dengan
sektor pembangunan modal insan yang lain seperti sekolah rendah dan menengah
serta institusi pengajian tinggi mahupun latihan pekerjaan.
8. Cabaran kedua ialah proses pelesenan dan pengawalseliaan taska dan Tadika yang merumitkan.
9. Peraturan pelesenan dan garis panduan premis adalah tidak seragam dan berbeza di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza dan birokrasi adalah sangat membebankan.
10. Ini telah menyulitkan pematuhan undang-undang oleh pengusaha-pengusaha taska dan tadika dan menyebabkan kadar pendaftaran taska dan tadika swasta yang rendah.
11.
Kita perlu sedar bahawa kadar
pendaftaran yang rendah akan meningkatkan risiko keselamatan terhadap
kanak-kanak.
12.
Cabaran ketiga ialah tenaga
kerja dalam sektor pendidikan awal masih belum diberi laluan kerjaya yang jelas.
13.
Ini telah menyebabkan
kekurangan tenaga kerja berkualiti dan ketidakseragaman dalam kelayakan penjaga/guru
(educarer) pendidikan awal kanak-kanak.
14.
Cabaran keempat yang kami
dapati ialah pengusaha pendidikan awal swasta yang menawarkan yuran mampu
milik sedang menghadapi tekanan kewangan yang serius.
15. Kos operasi yang tinggi, pelbagai levi dan caruman agensi, serta tiadanya subsidi daripada kerajaan telah menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
16.
Untuk menangani masalah kos,
mereka hanya boleh memilih antara meningkatkan yuran di mana ia akan
membebankan ibubapa, ataupun menghadapi kerugian.
17.
Akhir sekali, kami ingin
menekankan bahawa masih wujudnya jurang ketara dari segi akses, kualiti, dan
kemudahan pendidikan awal antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara
penyedia awam, swasta mampu milik dan swasta.
18.
Dalam masa yang sama, cabaran
berkaitan kekurangan zat makanan dan kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak
turut membimbangkan.
19. Inilah antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian segera. Sehubungan itu, Jawatankuasa telah mengemukakan beberapa syor-syor dalam penyata ini.
20.
Terdapat ENAM syor utama
yang dikemukakan seperti yang berikut:
21.
Secara keseluruhannya,
Jawatankuasa mengesyorkan supaya satu akta khusus digubal bagi mengawal
selia dan membangunkan sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang
berumur 0 hingga 6 tahun di Malaysia.
22.
Kami juga mengesyorkan supaya tanggungjawab
kawal selia dan pembangunan bagi sektor penjagaan dan pendidikan awal
kanak-kanak diletakkan di bawah SATU agensi seperti Early Childhood
Development Authority (ECDA) di Singapura.
23. Selain itu, kami mengesyorkan supaya Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ditubuhkan untuk menyelaras agenda penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak merentasi kementerian.
24.
Jawatankuasa ini memandang
berat kekurangan peruntukkan sektor pendidikan awal yang serius, kami berharap
Kementerian Kewangan boleh merombak semula peruntukkan pembangunan modal insan
dan memastikan jumlah peruntukan awam bagi sektor penjagaan dan pendidikan
awal kanak-kanak sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada KDNK.
25.
Cadangan-cadangan perluasan
peruntukan adalah untuk tujuan yang berikut:
i. Memberi geran tetap tahunan kepada pengusaha Taska dan Tadika swasta yang tidak berorentasikan keuntungan dan mampu milik yang layak;
ii. Menyediakan premis pendidikan awal kanak-kanak awam yang mencukupi;
iii. Mewujudkan skim insentif kewangan dan bukan kewangan kepada Taska dan Tadika yang berdaftar;
iv. Memperluaskan subsidi yuran Taska dan Tadika kepada keluarga yang layak;
v. Menyelaras dan meningkatkan kualiti skim latihan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak (educarer) bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme mereka; dan akhirnya
vi.
Meningkatkan kadar bantuan
makanan bagi prasekolah mengikut kadar semasa, khususnya Jawantakuasa
mencadangkan supaya bantuan makanan di prasekolah di Sabah dan Sarawak dinaikkan
kepada RM5 per kapita setiap hari dengan segera.
26. Selain itu, Jawatankuasa ini juga mengesyorkan supaya semua Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan diserap masuk di bawah KPM bagi mengoptimumkan sumber kerajaan.
27. Akhir sekali, dua lain-lain syor yang turut diketengahkan di penyata adalah seperti yang berikut:
i. Jawatankuasa mengesyorkan supaya PLANMalaysia di bawah KPKT dengan kerjasama KPM dan KPWKM menyemak semula Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang sedia ada dengan mengambil kira kos, tempoh masa dan birokrasi bagi meningkatkan kadar pendaftaran Tadika dan Taska.
ii. Jawatankuasa
juga mengesyorkan supaya KPM menetapkan dan menyelaras standard kelayakan
dan persijilan semua guru pendidikan awal kanak-kanak di bawah KPM, KEMAS dan JPNIN
bagi menyelaraskan mutu serta tahap profesionalisme secara menyeluruh merentas
agensi.
28. Secara ringkas, pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang menyeluruh.
29. Jawatankuasa berharap dengan usaha-usaha ini, kita dapat membentuk satu ekosistem penjagaan dan pendidikan awal yang lebih inklusif, berkualiti dan mampan.
30. Matlamatnya adalah jelas, iaitu memastikan no child left behind dan perkembangan holistik setiap kanak-kanak di Malaysia bagi mewujudkan generasi masa depan yang berdaya saing dan sekaligus memacu kemajuan negara.
31. Sekian, terima kasih.
Penyata penuh boleh dimuat turun di sini:
Penyata Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat