Jumaat, 15 Ogos 2014

Putrajaya cuba menyekat kebebasan Facebook

Kenyataan media Strategis Media Sosial DAP merangkap ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada hari Ahad. 10 Ogos 2014 di Petaling Jaya.

Kita tidak akan berganjak walau seinci - Putrajaya tidak perlu membuang masa berfikir menghalang akses Facebook.

Kita benar-benar terganggu dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek mengenai ‘kesediaan’ Putrajaya untuk menghalang akses Facebook di Malaysia bagi menghalang salah guna rangakaian sosial itu.

Ini bukan kali pertama Putrajaya cuba menyekat kebebasan internet. Kita tidak lupa insiden apabila laman web BBC menyiarkan rencana bertajuk “#BBCtrending: Be careful what you say about spinach”, secara tiba-tiba dihalang buat seketika pada bulan Januari.

Walaupun tanpa halangan terhadap Facebook, Malaysia sudah pun berada di takat terendah dalam sejarah dari segi kebebasan bersuara. Malaysia mengalami penurunan 23 anak tangga dalam Indeks Kebebabasan Akhbar Dunia 2013 dari tangga 122 ke 145 daripada 179 negara, kedudukan paling rendah kita, lebih rendah berbanding Zimbabwe, Kemboja dan Kyrgyzstan.

Sekiranya Facebook diharamkan di Malaysia, kita akan menyertai Korea Utara, Iran dan China sebagai negara yang mengharamkan Facebook, suatu tindakan yang tidak akan dibenarkan mana-mana rakyat Malaysia yang menghargai kebebasan bersuara.

Kita ingin mengingatkan Putrajaya tentang janji mereka dalam perkara nombor 7 Multimedia Super Corridors Bill of Guarantees yang menjanjikan bahawa tidak akan ada penapisan internet. Menghalang Facebook adalah lebih teruk daripada menapis internet dalam mengehadkan kebebasan internet; setelah mereka berjanji untuk tidak menapis internet, kenapa pula membuang masa walaupun untuk berfikir dan bercakap tentang menghalang akses kepada Facebook?

Setakat ini di Malaysia, satu daripada setiap tiga minit yang dihabiskan di internet adalah di rangkaian sosial. Facebook sebagai rangkaian sosial terbesar di Malaysia digunakan oleh lebih daripada 13 juta rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, kebebasan menggunakan Facebook mesti dipertahankan demi mempertahankan kebebasan internet di Malaysia.

Di saat media tradisional arus perdana dihadkan oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kebebasan internet menjadi perkara utama dalam mempertahankan dan menyebarkan demokrasi serta kebebasan bersuara di Malaysia.

Oleh yang demikian, kita tidak akan berganjak walaupun seinci dengan sebarang usaha Putrajaya untuk mengehadkan kebebasan internet.

Yeo Bee Yin