Ahad, 13 Ogos 2017

Isteri MO1 mesti pulangkan Permata Merah Jambu

Kenyataan media Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama pada hari Selasa 8 Ogos 2017 di Petaling Jaya.

Isteri MO1 mesti pulangkan Permata Merah Jambu demi mempertingkat pelaburan awam dalam pendidikan awal kanak-kanak

Membaca laporan berita tentang bagaimana Datin Seri Rosmah Mansor begitu sedih tentang kurangnya duit untuk PERMATA amatlah menggelikan hati.

Dalam saman sivil pelucuthakan yang terbaru, Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) telah mendakwa bahawa sebilangan wang yang dicuri dari 1MDB telah digunakan untuk membeli seutas rantai dengan loket berlian merah jambu 22 karat, bernilai US$27.2 juta, selain 27 gelang tangan dan leher 18 karat yang bernilai US$1.3 juta, untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Menurut ucapan belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pihak kerajaan memperuntukkan RM85 juta untuk program PERMATA bagi tahun 2017. ‘Permata’ Merah Jambu itu sahaja nilainya RM120 juta, lebih daripada peruntukan PERMATA selama setahun!

Memandangkan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sendiri telah mengesahkan bahawa MO1 itu ialah Perdana Menteri Najib Razak sendiri, maka tidaklah jenuh sangat untuk kita meneka siapa dia gerangan ‘Isteri MO1’.

Oleh yang demikian, sekiranya Rosmah benar-benar ikhlas untuk mengembarkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, maka cara yang paling mudah untuk menambah peruntukan pendidikan awal ialah dengan isteri MO1 mengembalikan permata merah jambu itu selain semua barang kemas yang telah dibeli dengan wang hasil curi tersebut kepada rakyat Malaysia.

Sekali lagi, perlu ditegaskan bahawa meski kita bersetuju bahawa kerajaan mesti melabur lebih dalam pendidikan awal kanak-kanak, peranan Rosmah Mansor di dalam agensi berkenaan adalah langsung tidak diperlukan. Tiada siapa yang mempersoal keperluan untuk membangunkan pendidikan awal untuk kanak-kanak di Malaysia; tetapi apa perlunya agensi berasingan di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan isteri Perdana Menteri sebagai penaungnya? Kenapa isteri Perdana Menteri, yang tidak dilantik oleh rakyat, mempunyai peranan yang begitu besar dalam kerajaan?