PENGHARGAAN
Sebagai seorang yang dilatih sebagai
jurutera, saya tidak pernah cemerlang dalam apa jua bahasa pun. Oleh itu semasa
saya menulis buku itu, saya berusaha keras untuk mencari kata-kata bagi
menyatakan buah fikiran saya. Saya berlengah selama berbulan-bulan. Digabungkan
dengan jadual yang penuh, beberapa kali juga saya rasa mahu putus asa.
"Siapa yang nak baca?" saya
menyoal diri berulang kali.
Tetapi saya fikir bahawa sebagai
individu, apa yang boleh saya lakukan untuk Malaysia adalah sangat terhad.
Mungkin dengan menanggapi pemikiran saya tentang negara dalam bentuk penulisan,
generasi kini atau akan datang akan mendapat satu atau dua pandangan daripada
maklumat, analisis dan pengalaman yang direkodkan dalam buku ini dan
menggunakannya untuk kebaikan negara.
Pembinaan negara tidak boleh dilakukan
tanpa halatuju, supaya kita tidak akan terjerumus di tempat yang kita tidak
mahu. Politik tidak boleh sunyi daripada cita-cita dan nilai, jika tidak ia
akan menjadi seperti gong yang atau simbal yang berdenting - hanya banyak
bunyi.
Buku "Bayangan Malaysia
Baru" mencatatkan pemikiran saya tentang isu-isu negara yang dekat dengan
hati saya serta perjalanan peribadi, harapan dan impian saya untuk negara.
Ada lapan bahagian dalam buku
ini, yang meliputi enam aspek pembangunan negara, iaitu pembaharuan institusi,
pendidikan, belia, wanita, pembangunan lestari dan golongan masyarakat rentan.
Bahagian kedua terakhir buku ini berbicara mengenai contoh tauladan saya dalam
politik Malaysia manakala bahagian terakhir menceritakan perjalanan peribadi
saya.
Saya harus membuat penafian
di sini bahawa saya tidak tahu semua dan tidak berniat untuk meyakinkan anda
untuk percaya dengan apa yang saya percaya. Apa yang saya mahukan adalah untuk
berkongsi pendapat dan pengalaman. Oleh itu, apa sahaja yang ditulis dalam buku
ini terbuka untuk dihujah, dibahas dan diperbetulkan.
Akhir sekali, saya ingin mengucapkan
terima kasih kepada mereka yang telah membawa banyak berkah dalam hidup saya.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan sekerja, kakitangan pejabat,
ahli pasukan teras dan mereka yang membantu saya dalam memenuhi tanggungjawab
dan tugas saya sebagai wakil rakyat , termasuklah Tony Pua, Rajiv Rishyakaran,
Gracella Santianna Yong, Jamaliah Jamaluddin, Loyis Uding, Daniel Low, Chan Shi
Song, Billy Wong, Daniel Lee, Jenny Loh, Syed Hidayat, Hayashi Choong, Catherine
Ho, Chang Feng, Tey Han Cherk, Subashini, Chan Kien Fatt, Erica Hew, Mary E
Joseph dan ramai lagi. Tanpa bantuan mereka, saya tidak akan mempunyai masa
yang cukup untuk menyelesaikan buku ini. Di samping itu, saya ingin mengucapkan
terima kasih kepada ahli keluarga, pastor, ahli karyah gereja, komrad dan
kawan-kawan atas sokongan dan dorongan mereka sepanjang perjalanan hidup saya
dalam apa jua keadaan. Akhir sekali, segala pujian kepada Tuhan yang paling
agung, penyelamat sekalian alam.