BAB
5
PENDIDIKAN
KE ARAH MASA DEPAN YANG LEBIH BAIK
“Education
is the most powerful weapon you can use to change the world.”
– Nelson Mandela –
– Nelson Mandela
Semasa saya
masih remaja, saya sering bertanya kepada bapa saya mengapa kita tidak boleh
menikmati kehidupan baik yang sama dengan sepupu saya (orang tuanya jauh lebih
kaya berbanding keluarga kita), bapa saya selalunya akan membalas dengan,
“Belajar bersungguh-sungguh Bee Yin, pendidikan akan mengubah nasib perjalanan
hidup kamu”.
Memang
benar, pendidikan telah mengubah nasib hidup saya serta adik beradik dan rakan
sepermainan saya yang membesar bersama di Batu Anam, satu desa kecil di
Segamat, Johor. Pendidikan telah membuka banyak ruang dan kemungkinan yang
sukar dibayangkan oleh kami sebagai anak-anak dari sebuah desa yang kecil.
Seperti
ramai yang selatarbelakang dengan saya, sukar bagi saya untuk berbahasa
Inggeris sebelum zaman universiti. Semasa cuti sekolah, apabila bapa saya ingin
membawa kami ke KL untuk melawat adik-beradiknya, saya selalu teruja dengan
lawatan itu. Namun pada masa yang sama, saya berasa takut kerana penduduk di KL
selalunya berbahasa Inggeris. Setiap kali mereka berbahasa Inggeris dengan
saya, saya akan berasa malu apabila saya tidak mampu membalas perbualan
tersebut. Saya tidak pernah bayangkan dua puluh tahun kemudian, saya akhirnya
menjadi seorang penggubal undang-undang, dimana konsitituensi saya adalah salah
satu konstituensi bilangan jumlah kecil di Malaysia yang mempunyai komuniti
berbahasa Inggeris yang agak luas.
Berhampiran
dengan pusat khidmat saya di Damansara Uptown Petaling Jaya, saya mempunyai
seorang rakan sepermainan sejak kecil yang bernama Lam Jia Chuen, di mana
bapanya menjual pau di kopitiam semasa zaman kanak-kanak kami. Namun kini,
beliau mempunyai firma guaman sendiri yang kian berkembang pesat. Kembali ke
zaman lampau, saya masih ingat pada suatu petang, kami berdua sedang duduk di
meja berdekatan dengan ruang kereta rumah saya selepas peperiksaan SPMnya,
untuk berbincang sama ada dia sepatutnya mengejar impiannya sejak kecil dalam
bidang guaman. Jia Chuen juga sukar untuk berbahasa Inggeris. Amat mengagumkan
apabila saya dapat melihat anak seorang penjual pau, Jia Chuen akhirnya dapat
merealisasikan impiannya sejak kecil.
Kisah-kisah
seperti ini adalah sangat biasa bagi generasi saya dan sebelumnya. Saya pasti
anda sendiri boleh terfikir beberapa contoh yang sama, malah, mungkin hidup
anda merupakan salah satu contoh daripadanya. Walaupun kita tidak kaya, ramai
di antara kita mampu menikmati hidup yang lebih baik berbanding dengan generasi
orang tua kita.
Ini boleh
terjadi disebabkan oleh pendidikan awam yang tersedia untuk kita semasa kita di
zaman persekolahan dan juga disebabkan oleh para guru serta para mentor yang
bagus dan sentiasa menolong kita pada ketika itu. Pendidikan mampu untuk
mengubah dan meningkatkan kualiti kehidupan, malah kadang-kadang dapat melebihi
jangkauan pemikiran kita.
Pendidikan
bukan sahaja penting pada tahap individu, malahan, ia merupakan salah satu
faktor penentu kejayaan sesebuah negara, dimana pendidikan mampu menyediakan
generasi seterusnya untuk mendorong roda ekonomi dan pembangunan negara. Satu
negara yang bebas, demokratik, membangun dan makmur setentunya memerlukan
pemimpin dan tenaga kerja yang dinamik dan berpendidikan.
Oleh kerana
didikan dan asuhan keluarga saya, pendidikan telah menjadi satu isu polisi yang begitu dekat di
hati saya. Saya begitu ingin melihat
setiap anak-anak di Malaysia mampu mempunyai peluang yang sama rata bagi
mencapai impian serta cita-cita mereka dengan sepenuhnya tanpa perlu mengira bangsa,
agama, geografi dan latar belakang keluarga.
Pada
bahagian buku ini, saya ingin berbicara isu berkaitan tentang pendidikan yang
pada saya, amat mustahak – pertama sekali, peningkatan ketidaksamaan dalam
akses kepada pendidikan yang berkualiti; kedua, dua faktor yang paling penting
dalam reformasi pendidikan; dan yang ketiga, pendidikan dan masa depan bagi
pekerjaan-pekerjaan kita.
Kerajaan pusat telah menghabiskan RM 20 juta bagi komisen
firma perunding McKinsey untuk menghasilkan Blueprint
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (bagi prasekolah hingga menengah) dan Cetak Biru Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 -2025 (bagi pengajian tinggi). Walaupun saya tidak yakin perkhidmatan perunding sebegini
adalah berbaloi dengan harga yang dibayar, sesetengah penemuaan dan cadangan
oleh cetak biru itu adalah masih berfaedah untuk penilaian kita, dan akan
dirujuk dalam perbincangan seterusnya.
Pendidikan
awam dan ketidaksamarataan
Dunia ini
memang tidak adil.
Dengan
kelahiran yang rawak, sesetengah dari kita mungkin bertuah untuk mempunyai
titik permulaan yang lebih baik berbanding yang lain. Anak-anak lelaki yang
lahir sebagai anak kepada para nelayan tradisional di Tanjung Karang setentunya
tidak akan memperolehi asuhan atau didikan yang sama seperti anak-anak lelaki
yang lahir sebagai anak kepada para jurutera atau para peguam yang tinggal di
Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Anak-anak perempuan kepada para pekerja kolar
biru, yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di bandar, tidak akan menikmati
persekitaran pembelajaran yang sama seperti anak-anak perempuan kepada para
pekerja kolar putih, yang tinggal di dalam kondominium, rumah-rumah teres dan
rumah-rumah banglo di bandar.
Pendidikan
awam yang bagus adalah satu mata penyamaan yang hebat bagi menyediakan lebih
banyak peluang yang sama rata untuk semua anak-anak kita, tidak kira daripada
keluarga yang berada ataupun tidak. Pendidikan awam boleh menjadikan dunia yang
tidak adil ini, lebih adil.
Taraf pendidikan
awam di Malaysia
Walau
bagaimanapun, sistem pendidikan awam kita bukan dalam keadaan yang baik.
Malaysia
secara berterusan telah berada di tangga satu pertiga paling bawah bagi Program
Penilaian Pelajar Internasional (Program for International Student Assessment,
PISA), satu penilaian yang diselenggarakan tiga-tahunan terhadap remaja
berumur 15 tahun, dalam matematik, pembacaan dan sains. Malaysia telah
menyertai PISA sejak tahun 2009 dan kita telah memperolehi skor bawah purata
global sejak mula, dan berkedudukan 55 daripada 74 negara pada tahun 2009 dan
berkedudukan 52 daripada 65 negara pada tahun 2012.
Dan apabila kita sangka kita hampir mencapai sedikit kemajuan
pada tahun 2015, apabila kita mencapai skor 446 dalam matematik, 431 dalam pembacaan
dan 443 dalam sains berbanding dengan 421, 398 dan 420 masing-masing pada tahun
2012, PISA mengumumkan bahawa mereka tidak mengiktiraf keputusan tersebut
kerana kadar data maklumbalas Malaysia tidak menepati piawaian PISA iaitu 85%. Kita hanya mencapai 51%. Akibatnya, Malaysia telah menjadi satu-satunya
negara di antara 72 negara-negara lain yang telah mengambil bahagian dalam PISA
tetapi digugurkan daripada kedudukan rasmi.
Ini jelas
menunjukkan hampir semua sekolah-sekolah yang menyertai PISA adalah terdiri
daripada sekolah-sekolah yang berprestasi tinggi sahaja, dan ini menimbulkan
kesangsian bahawa kerajaan Malaysia cuba menggunakan helah bagi memperolehi
skor PISA yang lebih tinggi. Lebih menghibakan, dengan hasil keputusan palsu
sebegini, kita masih tertinggal di belakang berbanding dengan skor purata
global iaitu 490 dalam matematik, 493 dalam pembacaan dan sains.
Bagaimanakah
kita mahu menjadi satu negara yang membangun jika kebanyakan anak-anak kita
belajar di bawah satu sistem pendidikan yang berkedudukan paling bawah di tahap
antarabangsa dan kerajaan kita pula sanggup menipu untuk memaparkan seolah-olah
adanya kemajuan dalam situasi ini.
Anda
mungkin merasakan tidak adil untuk membandingkan skor PISA kita dengan
negara-negara yang lain kerana kita masih tergolong dalam negara yang sedang
membangun. Mengikut trend antarabangsa, skor PISA sesebuah negara adalah
berkait secara positif kepada KDNK per kapita, di mana negara-negara yang
mempunyai KDNK per kapita yang tinggi akan mencapai skor PISA yang lebih tinggi. Gambar rajah
di bawah jelas menunjukkan Malaysia terkeluar jauh daripada garisan normal pada
korelasi positif ini. Prestasi kita jauh lebih teruk berbanding dengan tahap
KDNK per kapita kita.
Ini
menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan ibubapa apabila mereka risau yang
generasi muda kita mungkin tidak dapat menandingi rakan sejawatan mereka
daripada negara-negara lain dalam segi daya saing. Akibatnya, kita menyaksikan
peningkatan dalam kalangan ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah
swasta, malah semakin bertambah bak cendawan tumbuh selepas hujan di
bandar-bandar Malaysia.
Samasa
zaman persekolahan saya, semua kanak-kanak di kota saya akan dihantar ke
sekolah kebangsaan yang sama, termasuklah mereka yang berasal daripada keluarga
kaya-raya (kecuali sesetengah kanak-kanak yang terlampau kaya). Begitu juga
dengan generasi sebelum saya. Pernah ada
sekali seseorang memberitahu saya yang dia pernah pergi ke sekolah yang sama
dengan salah satu ahli politik veteran Gerakan yang membesar sebagai anak orang
kaya. Dia bergurau bahawa semua pelajar-pelajar ketika itu berjalan kaki, namun
ahli politik veteran itu dihantar menggunakan kereta. Walaupun ini seolah-olah tidak
adil kerana kekayaan keluarga ahli politik veteran itu, namun sekolah
kebangsaan pada masa itu masih boleh berfungsi sebagai penyamaan peluang bagi
setiap insan.
Namun kini,
walaupun ibubapa hanyalah dari golongan kelas pertengahan, mereka turut
menghantar anak-anak mereka ke institusi pendidikan swasta. Sesetengah daripada
keluarga ini terpaksa mengubah gaya hidup mereka supaya mampu berbuat demikian.
Bagi ibubapa yang tidak mampu menanggung pendidikan swasta, mereka sanggup
mengikat perut supaya sekurang-kurangnya mampu untuk menghantar anak-anak mereka
ke kelas pusat tuisyen swasta.
Semakin
ramai ibubapa yang mengambil keputusan bagi menghantar anak-anak mereka ke
sekolah antarabangsa. Sebagai satu negara berpendapatan tengah, sekolah
antarabangsa Malaysia sebenarnya menduduki tempat ke-8 sebagai sekolah
antarabangsa paling mahal di seluruh dunia mengikut kajian Expat Finder!
Walaupun dengan harga yang sedemikian mahal, bilangan sekolah antarabangsa
tetap meningkat dengan pesat pada kadar pertumbuhan lebih daripada 20% setahun.
Dalam
sejarah Malaysia buat pertama kalinya, anak-anak kita telah dipisahkan mengikut
kelas sosial.
Siapakah
yang akan paling terkesan?
Apabila
pendidikan awam kita mencapai tahap yang baik, setiap orang akan menderita.
Tetapi, golongan yang paling terkesan dengan perkara ini adalah anak-anak
nelayan tradisional, para petani, para penanam, para pekerja kilang, para
juruwang, para pembersih, para pedagang kecil, para penjawat awam berpangkat
rendah dan semua yang hidup dalam lingkungan gaji minimum. Ibubapa anak-anak
ini tidak mampu membayar lebih selain daripada menghantar mereka ke
sekolah-sekolah biasa. Malah, ada yang terpaksa berhutang setiap kali apabila
sekolah dibuka.
Tambahan
pula, di antara mereka yang telah menyertai pendidikan awam, juga terdapatnya
ketidaksamarataan dalam memperolehi akses kepada pendidikan yang baik di antara
kalangan pelajar-pelajar daripada kelas sosial yang berbeza. Biarlah saya
menunjukkan buktinya. Gambar rajah di bawah merupakan graf yang menunjukkan pengagihan
sekolah-sekolah berdasarkan prestasi di mana Band 1 merupakan sekolah
berprestasi tertinggi dan Band 7 merupakan sekolah berprestasi terbawah.
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) merupakan bantuan dana yang
diberikan kepada para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Kita
dapat melihat di sini bahawa para pelajar miskin, iaitu mereka yang menerima
KWAPM, lebih kerap akan diletakkan untuk menghadiri sekolah berprestasi rendah
– hanya 7% sahaja sekolah daripada Band 1 dan 2 yang mempunyai lebih dari dua
per tiga populasi pelajar yang menerima KWAPM, berbanding dengan 19% secara
purata daripada sekolah yang tergolong dalam Band 3, 4 dan 5 serta 52% sekolah
berprestasi rendah daripada Band 6 dan 7. Situasi ketidaksamarataan ini lebih
serius dalam kalangan anak-anak orang asli, di mana saya akan terangkan di bab
yang akan datang di dalam buku ini.
Jadi apakah kesannya pada anak-anak yang berasal
daripada keluarga berpendapatan rendah, yang lebih berkemungkinan untuk
mendaftarkan diri ke sekolah berprestasi rendah, dan ibubapa anak-anak
ini tidak mampu untuk menghantar mereka ke pusat tuisyen? Jawapannya adalah
keciciran. Instituti Demokrasi dan Hah Ehwal Ekonomi (IDEAS) mendapati bahawa
90% daripada anak-anak yang tercicir dari sekolah adalah berasal daripada
keluarga golongan berpendapatan 40% terbawah mengikut taburan peratus
pendapatan.
Ramai berpendapat bahawa para pelajar miskin yang
tercicir dari sekolah adalah kerana mereka sendiri tidak suka untuk belajar
ataupun ibubapa mereka tidak mahu mereka ke sekolah; ini merupakan satu
kesimpulan umum yang tidak adil.
Pada akhir tahun 2013, saya telah memulakan satu pusat
tuisyen percuma di Damansara Bistari, satu rumah pangsa kos rendah di bawah
konstituensi saya, bagi menyediakan peluang tuisyen percuma untuk anak-anak
yang ibubapa mereka tidak mampu menghantar mereka ke pusat tuisyen swasta.
Apabila saya memulakan projek pusat tuisyen ini bersama-sama dengan 15
cikgu-cikgu sukarelawan pada tahun 2013, saya tidak pasti berapa lama projek
ini mampu berjalan, ataupun meninggalkan sebarang keberkesanan. Adakah para
pelajar ini akan hadir secara konsisten? Adakah ibubapa mereka akan menghantar
mereka ke sini? Dan paling penting, adakah projek ini benar-benar dapat
membantu pelajar-pelajar ini?
Kini,
berdasarkan pengalaman saya hampir empat tahun, saya yakin ini merupakan
strategi yang berkesan dan yang paling penting, dengan cikgu-cikgu yang
bersemangat, anak-anak ini akan hadir ke kelas, meningkatkan prestasi mereka,
malah ada yang boleh mencapai keputusan yang sangat bagus.
Saya telah
mengupah seorang penyelaras bernama Loyis Uding, untuk menyelaraskan inisiatif
pusat tuisyen percuma ini sebaik sahaja projek ini dijalankan. Dengan
bantuannya untuk menyelaraskan cikgu-cikgu sukarelawan dan para pelajar, projek
tuisyen percuma berjaya menjalankan lebih daripada 20 kelas setiap minggu. Kita
mempunyai kelas daripada Darjah 1 sehinggalah Tingkatan 5 bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik (dan Sains bagi kelas yang berperingkat lebih tinggi).
Program tuisyen percuma kami untuk murid-murid dari
keluarga berpendapatan rendah.
Kadang-kadang Loyis juga akan menganjurkan program-program bukan akademik seperti lawatan ke zoo dan pusat sains, dan tujuan program-program ini adalah supaya kita boleh mengekalkan minat dan memotivasikan para pelajar ini supaya menghadirkan diri di dalam kelas. Sebulan sebelum UPSR setiap tahun, Loyis akan mengaturkan kelas intensif bagi pelajar-pelajar Darjah 6. Bagi pelajar-pelajar yang mencapai lebih daripada 90% kehadiran ke kelas, mereka berpeluang untuk pergi ke Sunway Lagoon selepas UPSR, ditaja sepenuhnya oleh pusat khidmat saya.
Loyis Uding (pertama dari kiri) dan guru sukarelawan
Carissa (keempat dari kanan) dengan
pelajar di Sunway Lagoon selepas menamatkan peperiksaan UPSR mereka.
pelajar di Sunway Lagoon selepas menamatkan peperiksaan UPSR mereka.
Anda
mungkin terkejut untuk mengetahui lawatan ke Sunway Lagoon yang disertai oleh
cikgu-cikgu yang bersemangat ini, sebenarnya boleh memberikan dorongan motivasi
kepada pelajar-pelajar UPSR untuk hadir ke kelas dan bekerja keras kerana
adanya sesetengah cikgu yang sanggup melakukan segala-galanya bagi membantu
pelajar-pelajar ini mencapai keputusan yang cermerlang dalam pelajaran mereka.
Beratus-ratus
pelajar berjaya memperoleh manfaat daripada projek tuisyen percuma ini sejak ianya
dimulakan. Sehingga hari ini, walaupun projek ini telah hampir berjalan selama
empat tahun, masih ada ibubapa yang datang kepada saya semasa di sesetengah
acara majlis komuniti dan berterima kasih kepada pusat khidmat kami untuk
inisiatif ini. Tiada apa yang boleh memberikan saya lebih kepuasan berbanding
melihat perubahan hidup yang berlaku kerana sumbangan kecil seperti ini yang
telah kita lakukan.
Walaubagaimanapun,
tidak cukup jika kita hanya membawa perubahan hidup kepada sekumpulan kecil
manusia sahaja. Kita memerlukan perubahan polisi di peringkat nasional supaya
anak-anak kita daripada pelbagai latar belakang mampu untuk mendapat akses
kepada pendidikan yang bagus dari sekolah yang mereka hadiri.
Mungkin
juga, anda tergolong daripada keluarga kelas menengah ataupun kelas atas dan
tertanya-tanya mengapa anda perlu mengambil berat tentang ketidaksamarataan
dalam akses kepada pendidikan yang bagus untuk kanak-kanak yang berasal
daripada piramid bawah. Lagipun, anda mampu untuk membayar kelas tuisyen dan
pendidikan swasta untuk anak-anak anda.
Selain
daripada ketidakadilan, jawapan yang praktikal adalah ketidaksamarataan adalah
buruk dan ia akan mengakibatkan kesan negatif, bukan sahaja terhadap orang
miskin, tetapi terhadap semua orang, sebagai contoh, ketidakstabilan sosial dan
ekonomi yang lebih buruk.
Kolam bakat
merupakan sebahagian besar daripada ekonomi yang maju. Apabila pasaran kerja
dipenuhi oleh orang yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bagus dan
telah terlatih dengan baik, maka ekonomi kita akan berkembang disebabkan oleh
produktiviti pekerja yang lebih tinggi. Dan mungkin nanti akan terlahirnya anak
lelaki atau anak perempuan yang berasal dari keluarga di lapisan bawah piramid
tetapi mampu mengikut jejak kaki Jack Ma, seterusnya menghasilkan beratus ribu
pekerjaan untuk negara, hasil daripada pengembaraan keusahawanan mereka?
Pendidikan
asas membolehkan seseorang yang miskin menjadi kaya dari segi tahap individual,
juga membawa produktiviti pekerja yang lebih tinggi dan mewujudkan
pekerjaan-pekerjaan di tahap makro. Bila adanya pendidikan awam yang bagus,
semua pihak akan mendapat manfaat, tanpa mengira sama ada mereka adalah
pemanfaat utama daripada pendidikan awam ataupun tidak.
Oleh itu,
reformasi pendidikan perlu diletakkan sebagai senarai teratas dalam agenda
pembangunan negara kita.
Reformasi
pendidikan
Dengan
pilihan raya yang kian hampir, haruskah kita mengeluarkan satu lagi cetak biru
pendidikan jika berlakunya pertukaran kerajaan? Sama sekali tidak. Kerajaan
Malaysia tidak kekurangan laporan konsultan, cetak biru, dan pelan induk. Apa
yang kita kekurangan adalah kehendak kita bagi melaksanakannya secara cekap dan
bijak.
Apalagi, RM
20 juta yang telah kita habiskan pada cetak biru pendidikan itu juga satu kos
tenggelam. Malah tidak mungkin ada pelan yang sempurna untuk diikuti, oleh itu
kita sepatutnya melaksanakan apa-apa cadangan yang munasabah, belajar daripada
apa-apa kesilapan sekiranya ada, dan membuat pembetulan dan perubahan terhadap
kesilapan-kesilapan tersebut.
Sekumpulan
daripada kami telah melawat Datuk Bandar Taipei, Profesor Ko Wen-Je, di
pejabatnya pada akhir tahun 2015. (Beliau merupakan calon bebas pertama dalam
sejarah Taipei yang telah memenangi pilihan raya datuk bandar.) Salah satu
pemikiran yang dikongsikan oleh Profesor Ko kepada kami telah memberikan
inspirasi terhadap saya. Beliau mengatakan kerajaan pada hari ini tidak boleh
mengambil masa terlalu lama untuk merancang sesuatu kerana dunia kini sedang
bergerak dengan pantas dan jikalau kita hendak menunggu sesebuah pelan yang
“sempurna”, sesetengah pelan tindakan mungkin telah pun ketinggalan zaman.
Bersama Datuk Bandar Taipei, Profesor Ko-Wen-Je, di
pejabatnya.
Profesor Ko
bukan satu-satunya yang mempunyai pemikiran sebegitu. Klaus Schwab, Pengasas
dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, dengan ringkasnya menjelaskan
pemikiran beliau dengan kata-kata berikut, “Dalam dunia baru ini, sudah
bukannya ikan besar yang memakan ikan kecil, tetapi ikan yang pantas memakan
ikan yang perlahan.”
Oleh itu,
untuk reformasi pendidikan, kita seharusnya terus melaksanakan terlebih dahulu
apa cadangan-cadangan yang telah disarankan dalam cetak biru tersebut. Pada
pendapat saya, dua langkah yang paling penting bagi reformasi pendidikan
adalah: pertamanya, memaksimumkan hasil pelajar daripada setiap ringgit yang
telah diperolehi daripada pembayar cukai dan keduanya, memperbaharui
pembangunan sumber manusia dalam pendidikan, iaitu guru-guru, pengetua sekolah,
pemimpin-pemipin dll. Saya akan terangkan dengan lebih terperinci di sini.
Maksimumkan
hasil pelajar untuk setiap ringgit yang telah digunakan
Kedua-dua cetak biru pendidikan telah membuktikan
bahawa kita mendapat pulangan yang rendah untuk pelaburan dalam pendidikan di
Malaysia berbanding dengan negara-negara lain. Perbelanjaan yang lebih tinggi
di Malaysia telah diterjemahkan kepada akses yang lebih mudah di pendidikan
rendah dan menengah tetapi bukannya dari segi kualiti di Malaysia.
Mengikut data Bank Negara, perbelanjaan kerajaan
Malaysia pada pendidikan asas, dari prasekolah sehinggalah sekolah menengah,
dari peratusan KDNK adalah antara yang paling tinggi dalam negara ASEAN dan
Empat Harimau Asia – Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan China.
Dengan tahap perbelanjaan sebegitu, pendidikan
Malaysia sepatutnya mampu melahirkan hasil para pelajar yang lebih baik
(disukat melalui skor PISA) mengikut penandaan aras antarabangsa. Apabila dibandingkan prestasi PISA mengikut negara-negara yang berbeza
terhadap perbelanjaan pendidikan mereka bagi setiap pelajar, keputusan telah menunjukkan bahawa pendidikan Malaysia
tergolongan pada kumpulan yang berprestasi lemah.
Pada tahap perbelanjaan yang sama bagi setiap pelajar (USD, 2,000 – 3,000 bagi setiap pelajar), pendidikan Malaysia adalah di bawah prestasi berbanding dengan Iran, Chile, Romania dan Mexico. Prestasi kita juga ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang mempunyai perbelanjaan yang lebih rendah bagi setiap pelajar berbanding dengan perbelanjaan kita seperti Armenia, Syria, Turki, Thailand, Uruguay, Algeria dan Mauritus. Kesemuaaan negara-negara ini merupakan negara-negara membangun yang mempunyai cabaran-cabaran dalam penyediaan pendidikan awam yang sama seperti kita. Oleh itu, kita tidak membunyai sebarang alasan apabila tidak mampu mencapai prestasi yang sama seperti negara-negara lain dari segi melahirkan hasil para pelajar yang baik, apabila kita melihat jumlah peruntukan yang telah kita belanjakan.
Pada tahap perbelanjaan yang sama bagi setiap pelajar (USD, 2,000 – 3,000 bagi setiap pelajar), pendidikan Malaysia adalah di bawah prestasi berbanding dengan Iran, Chile, Romania dan Mexico. Prestasi kita juga ketinggalan berbanding dengan negara-negara yang mempunyai perbelanjaan yang lebih rendah bagi setiap pelajar berbanding dengan perbelanjaan kita seperti Armenia, Syria, Turki, Thailand, Uruguay, Algeria dan Mauritus. Kesemuaaan negara-negara ini merupakan negara-negara membangun yang mempunyai cabaran-cabaran dalam penyediaan pendidikan awam yang sama seperti kita. Oleh itu, kita tidak membunyai sebarang alasan apabila tidak mampu mencapai prestasi yang sama seperti negara-negara lain dari segi melahirkan hasil para pelajar yang baik, apabila kita melihat jumlah peruntukan yang telah kita belanjakan.
Bukan sahaja pendidikan asas di Malaysia menunjukkan
pulangan pelaburan rendah, pendidikan tahap tinggi juga menunjukkan trend yang
sama. Di Malaysia, hasil daripada pelaburan terhadap pendidikan tinggi adalah jauh
lebih rendah berbanding daripada apa yang sepatutnya kita jangkakan berbanding
dengan trend antarabangsa.
Apabila kita berbicara tentang reformasi pendidikan,
kita boleh mencadangkan perubahan dari pelbagai aspek. Bagaimanapun, jika kita
tidak menyelesaikan isu dana dengan mencipta satu mekanisme yang mampu mengukur
hasil pendidikan berbanding dengan pelaburan, dan juga memastikan akan adanya
satu struktur kukuh yang mampu menjamin akauntabiliti kementerian pendidikan,
reformasi pendidikan akan mengakibatkan pembayar cukai untuk membayar lebih
banyak daripada apa yang sepatutnya. Pada masa yang sama, kita juga akan
menerima hasil pendidikan yang kurang memuaskan ataupun, lebih malang, tanpa
sebarang hasil positif.
Kesimpulannya, kita perlu meningkatkan pulangan
pelaburan terhadap pendidikan. Kita perlu memaksimumkan setiap ringgit yang dibayar oleh pembayar cukai bagi mempertingkatkan hasil pelajar,
sekurang-kurangnya kepada satu tahap di mana kita mampu membandingkan diri kita dengan rakan antarabangsa yang memperuntukkan dana yang sama dalam laburan
pendidikan.
Cipta semula pembangunan sumber manusia
Pendidikan bukan sahaja mendidik, malah ia memupuk,
memberikan inspirasi dan membolehkan generasi seterusnya untuk mencari
pengetahuan baru. Sistem pendidikan merupakan satu sistem yang dicipta bagi
menghubungkan para pendidik kepada para pelajar. Secara keseluruhannya,
pendidikan adalah berkaitan dengan insan, ianya adalah mengenai pengajaran
melalui satu insan ke insan yang lain.
Cetak Biru Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013
– 2025 (bagi prasekolah hingga menengah) telah mengenal pasti kualiti
para guru sebagai penentu keputusan pelajar yang paling penting di dalam sekolah. Ia dipetik daripada penyelidikan yang telah
dijalankan di Tennessee, USA pada pertengahan tahun 1990-an, yang menunjukkan
bahawa apabila 2 orang pelajar biasa yang berumur 8 tahun masing-masing
ditugaskan kepada seorang guru yang berprestasi tinggi dan seorang kepada guru
yang berprestasi rendah. Kesimpulan menunjukkan performasi akademik antara
kedua-dua pelajar ini mempunyai perbezaan yang ketara, malah boleh mencapai
skala perbezaan sebanyak 50 peratus sepanjang tempoh 3 tahun. Cetak Biru itu
juga telah menyentuh satu penyelidikan di mana ia menunjukkan kualiti para
pengetua sekolah boleh membawa impak kepada pencapaian seseorang pelajar di
sekolah – di mana lebih bagus kualiti seseorang pemimpin sekolah, maka lebih
baguslah performasi sekolah tersebut dan di mana jika kita menggantikan seorang
pengetua biasa dengan seorang pengetua yang cemerlang, pencapaian pelajar boleh
dipertingkatkan sebanyak 20 peratus. Kita sedang berbincang tentang
perubahan besar terhadap hasil pelajar di sini. Oleh itu, merekrut dan memupuk
para pengajar yang baik sepatutnya menjadi fokus untuk kita dalam reformasi
pendidikan.
Ini bukan sekadar fakta lunak, dan saya boleh buktikan
kebenaran statistik-statistik di atas berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri.
Semasa saya berumur 7 tahun, orang tua saya telah
mendaftarkan diri saya sebagai seorang pelajar di SRJK (C) Seg Hwa, salah satu
sekolah yang paling terkemuka di Segamat. Walaubagaimanapun, saya mula menjadi
seorang pelajar yang bermasalah selepas ditakutkan oleh salah satu cikgu di
situ. Saya mula merasakan fobia untuk hadir ke sekolah dan seterusnya mula
berbohong kepada orang tua saya mengatakan bahawa saya selalu sakit dengan
tujuan untuk menjauhi diri saya daripada sekolah. Kebanyakan masanya, saya
akan menggunakan sakit perut sebagai alasan utama kerana tidak perlu ada
sebarang penunjuk untuk alasan itu. Kadangkala, saya akan mengejar bas sekolah
daripada belakang selepas pemandu bas itu memaksa saya untuk turun di sekolah.
Sering kali, pembantu bas itu terpaksa berhenti, kerana perbuatan saya yang
mengejar bas di atas jalan ini amat bahaya untuk seorang budak yang baru berumur
7 tahun.
Siri drama “ponteng” saya membawa begitu banyak memori
sehingga 2 rakan sekelas saya semasa Darjah 1 masih boleh mengingati perkara
itu bertahun-tahun selepas itu, apabila kami bertemu kembali sebagai rakan
sekelas menengah di SMK Seg Hwa.
Kerana masalah-masalah saya pada tahun pertama di
sekolah rendah, yang saya hadir kurang separuh daripada jumlah hari sekolah,
bapa saya telah mengambil keputusan untuk memindah saya kembali ke SRJK(C) Hwa
Nan, sekolah yang sangat dekat dengan rumah saya di Batu Anam, dan saya boleh
berjalan kaki ke situ. Tetapi, sekolah itu bukanlah satu sekolah yang
berkedudukan baik berbanding dengan sekolah-sekolah lain di Segamat.
Pada tahun pertama di Hwa Nan, guru kelas saya telah
banyak membantu saya untuk membina semula keyakinan saya melalui pembelajaran.
Saya tidak lagi memonteng kelas. Dan pada tahun seterusnya, sekolah kami telah
dihadiri oleh seorang pengetua sekolah baru yang bersemangat untuk
mempertingkatkan prestasi sekolah. Visi beliau dibantu oleh empat orang guru
baru yang turut bersemangat dan memegang ijazah sarjana muda. (Ia merupakan
satu perkara yang besar bagi sekolah kampung seperti Hwa Nan kerana jarang
menerima sebegitu banyak guru-guru baru yang berpendidikan ijazah serjana
muda.) Keempat-empat guru baru ini telah menggunakan cara-cara pembelajaran
yang baru; mereka tegas namun sangat mengambil berat tentang pelajar-pelajar di
sekolah; mereka selalu menceritakan kisah-kisah yang jarang didengari oleh
budak-budak kampung seperti kami.
Oleh itu, semakin hari kedudukan prestasi pelajar di
SRJK (C) Hwa Nan semakin meningkat semasa zaman pembelajaran saya di sana. Selepas saya menghabiskan darjah
enam di situ, sekolah itu telah berkedudukan tempat ke-5 ataupun ke-6 di
Segamat, prestasi yang jauh lebih baik berbanding dengan permulaannya.
Transformasi sekolah kampung ini telah mengubah sikap saya terhadap pendidikan,
dan juga kehidupan saya.
Setiap kali apabila saya mengimbas kembali memori saya
di zaman kanak-kanak, saya tidak henti bersyukur betapa bertuahnya saya sebagai
seorang kanak-kanak yang ada pada tempat yang betul pada masa yang betul,
di mana saya bertuah menerima didikan daripada guru-guru dan pengetua sekolah
yang begitu bagus, walaupun sekolah itu bukanlah pilihan pertama orang tua
saya. Saya tidak dapat bayangkan nasib saya jika saya masih ponteng kelas pada
sekolah yang sama, ataupun jika pada masa itu saya ditukarkan ke sebuah sekolah
lain yang tidak mempunyai guru-guru bagus yang mampu membimbing serta
memotivasikan diri saya untuk belajar.
Pendidikan memainkan satu peranan yang besar dalam perjalanan
peribadi saya. Ini jugalah sebabnya mengapa saya ingin melihat setiap kanak-kanak di Malaysia
untuk mampu menerima pendidikan yang baik.
Tiada jalan mudah untuk merealisasikan impian ini.
Kita seharusnya mengubah cara kita mengupah, melatih, membangun serta
memperkasakan guru-guru dan pengetua-pengetua sekolah. Kita harus memperbaharui
pembangunan pengurusan sumber manusia dalam kementerian pendidikan.
Sebelum kita bergerak lebih jauh, pertama sekali saya
harapkan kita boleh memberikan perhatian terhadap dua aspek ini terlebih
dahulu: saiz bilik darjah dan kualiti para guru kita.
Saiz bilik darjah
Saiz bilik darjah menentukan berapa banyak masa dan
perhatian yang perlu diberikan oleh seorang guru kepada seseorang pelajar dan
bagaimana pelajar-pelajar di dalam kelas berinteraksi sesama sendiri. Dengan
tenaga kerja guru yang begitu besar, iaitu seramai 410,000 para guru, Malaysia
mempunyai ratio pelajar-ke-guru iaitu 13: 1. Ratio ini merupakan antara ratio yang
paling rendah di dunia, malah lebih rendah berbanding dengan Singapura (16:1),
Korea Selatan (20:1) dan purata OECD (16:1).
Malaysia tidak mempunyai masalah kekurangan guru,
namun begitu, kita mempunyai masalah dengan cara pengendalian tenaga kerja yang
sedia ada. Walaupun jumlah waktu kerja
para guru masih panjang, perkadaran para guru di Malaysia yang menghabiskan
masa untuk mengajar di dalam kelas (tidak termasuk persediaan pembelajaran dan
aktivit-aktiviti sekolah yang lain) adalah sangat rendah – antara 2.4 sehingga
2.9 jam setiap hari, satu jumlah yang jauh lebih rendah, sebanyak 40%
berbanding dengan purata OECD.
Di Malaysia, guru-guru kita kadangkala harus
membazirkan 15% sehingga 30 % daripada masa kerja mereka untuk mengendalikan
tugas-tugas pentadbiran seperti menyiapkan laporan, mengisi borang dan
sebagainya, daripada mengajar di dalam kelas ataupun menjalankan
aktiviti-aktiviti dengan pelajar-pelajar mereka. Prosedur birokrasi yang tidak
penting ini hanya akan mengalihkan perhatian para guru daripada tugas sebenar
mereka iaitu - mendidik generasi masa hadapan kita.
Walaupun Malaysia mempunyai nisbah pelajar-kepada-guru
yang lebih rendah berbanding dengan purata OECD, namun kerana tugas-tugas
pentadbiran yang telah memakan masa para guru kita, purata saiz bilik darjah
kita sebenarnya lebih tinggi berbanding dengan purata OECD iaitu 22 pelajar
satu kelas.
Jika Malaysia benar-benar mahu mendapatkan manfaat
melalui nisbah pelajar-kepada-guru yang rendah, kita harus meletakkan usaha
dalam mengurangkan birokrasi dalam sistem laporan guru-guru kita, dan juga
kerja-kerja pentadibiran mereka. Para guru sepatutnya dinilai berdasarkan
prestasi mendidik mereka seperti hasil dan keputusan pelajar-pelajar mereka dan
bukannya berdasarkan prestasi mereka menjalani tugas-tugas pentadbiran seperti
betapa baiknya laporan yang dihasilkan oleh mereka.
Dan walaupun saiz bilik darjah adalah penting, dengan
jumlah sumber awam yang sedia ada, kita faham perlu adanya keseimbangan di
antara berapa para guru yang mampu kita upah dan jumlah gaji yang seharusnya
kita bayar kepada para guru ini, kerana semakin tingginya kualiti para guru
tersebut, bermakna kita perlukan gaji yang lebih tinggi untuk mengupah dan
mengekalkan mereka.
Pembuat dasar di seluruh dunia telah berdebat untuk
sekian lamanya bagi mencari keseimbangan di antara dua perkara ini. Menurut
laporan OECD pada tahun 2012, mana-mana negara yang meletakkan prioriti yang
lebih tinggi terhadap kualiti guru berbanding dengan saiz bilik darjah yang
lebih kecil biasanya akan mempunyai prestasi yang lebih baik di PISA. Saya
percaya Malaysia boleh mencapai prestasi yang baik dari segi saiz bilik
darjah dengan hanya perlu mengurangkan waktu kerja bagi tugas-tugas pentadbiran
oleh para guru, tanpa perlu meningkatkan jumlah bilangan para guru.
Semestinya, adalah paling idealistik jika kita diberi
peluang untuk memiliki yang terbaik daripada kedua-dua segi, iaitu – kuantiti
dan kualiti. Namun kita seharusnya meletakkan lebih banyak sumber bagi
meningkatkan kualiti para guru, kerana banyak penyelidikan telah konsistennya
membuktikan cara ini lebih efektif dalam meningkatkan hasil pelajar.
Kualiti para guru
Seterusnya, mari kita mendalami kualiti para guru.
Sejak beberapa tahun yang lepas, sudah lahirnya
kebimbangan terhadap kelayakan akademik yang kurang baik daripada
rekrut-rekrut baru dalam bidang pengajaran. Pada tahun 2010, sebanyak 70% para
pelajar baru yang diterima dalam program sarjana muda pendidikan hanya mendapat
0 hingga 2 A dalam sijil SPM, manakala 19% telah mendapat 3 hingga 4 A, 8 % 5
hingga 6 A dan hanya 3% yang mendapat 7 hingga 12 A. Bayangkanlah situasi ini
di mana anak-anak anda dididik oleh para guru yang turut tidak mempunyai
prestasi akademik yang baik semasa di sekolah.
Bagaimanapun, peningkatan dapat dilihat pada
kemasukan di tahun 2012 – hanya 3% daripada para pelajar baru yang diterima ke
dalam program sarjana muda pendidikan yang mendapat 2A (atau lebih kurang)
dalam sijil SPM manakala 10% mendapat 3 hingga 4 A, 22% 5 hingga 6 A dan 65%
mendapat 7 hingga 12 A.
Malaysia perlu meneruskan usaha bagi meningkatkan
taraf piawaian bagi pelajar baru ke dalam program sarjana muda pendidikan.
Pelajar bijak yang menjadi guru tidak seharusnya menjadi sesuatu yang baru pada
kita. Beberapa guru yang pernah mengajar saya di SMK Seg Hwa merupakan rakan
sekolah ibu saya dan menurutnya, mereka merupakan pelajar-pelajar pintar semasa
masih di dalam sekolah.
Adalah selepas generasi orang tua saya, barulah
profesion mengajar kelihatan semakin mendung. Kita seharusnya cuba menjadikan
profesion mengajar ini popular kembali sebagai pilihan bagi pelajar-pelajar
cemerlang. Saya mempunyai dua orang kawan Singapura dari Universiti Cambridge,
dengan seorang memang ijazah sarjana dalam bidang perundangan dan seorang lagi
dalam bidang ekonomi, masing-masing kini merupakan pengajar sekolah menengah di
Singapura. Kita seharusnya bercita-cita untuk melakukan perkara yang sama di
Malaysia. Kita seharusnya membudayakan supaya pelajar-pelajar cemerlang, bahkan
graduan dari universiti elit, mengajar di dalam sekolah kebangsaan
kita.
Bagi menjayakannya, kita seharusnya mengkaji semula
struktur gaji, pelan pembangunan kerjaya dan pelan promosi untuk guru-guru
kita. Struktur pampasan dan promosi guru mestilah mengalakkan dan mampu memberikan
insentif kepada guru-guru serta pemimpin-pemimpin sekolah supaya menghasilkan
pelajar-pelajar pintar. Untuk guru-guru yang kurang berprestasi, kita
seharusnya membentuk satu sistem sokongan seperti program melatih kemahiran
semula dan sistem displin.
Bayangkan satu generasi tenaga kerja baru dididik di
sekolah kebangsaan dengan para guru serta pengetua sekolah yang berprestasi
tinggi sepanjang zaman pembelajaran mereka. Saya yakin sepenuhnya bahawa mereka
akan memberikan sumbangan yang tinggi kelak dalam ekonomi serta pembangunan
sosial negara.
Pendidikan hari ini dan masa depan pekerjaan
Apakah
sasaran utama dalam pendidikan? Walaupun terdapat banyak jawapan kepada soalan
ini, namun saya percaya peranan yang paling penting dalam pendidikan adalah
untuk menyediakan anak-anak kita satu masa hadapan tanpa mengira kaum, agama,
geografi dan latar belakang keluarga. Secara idealistik, pendidikan menyediakan
kemahiran kelak untuk generasi masa hadapan kita supaya kanak-kanak kita bukan
sahaja mempunyai daya tahan, malah berkembang maju pada masa hadapan.
Persoalannya,
apakah masa hadapan yang dapat kita bayangkan?
Dunia kini
berubah dengan pantas. Kertas Perbincangan General Electric tahun 2014 bertajuk
“Masa Hadapan Pekerjaan (The Future of Work)” menganggar sebanyak 65%
kanak-kanak yang memasuki pendidikan rendah hari ini akan mempelopori pekerjaan
baru kelak yang masih tidak wujud pada hari ini. McLeod, Scoot dan Karl Fisch
menganggar dengan kadar perubahan teknologi terkini, hampir 50% pengetahuan
dalam subjek yang dipelajari semasa tahun pertama dari empat
tahun ijazah sarjana muda teknikal akan menjadi lapuk pada tahun ketiga dalam
pembelajaran mereka.
Kecerdasan
tiruan (AI), pembelajaran mesin, data besar, internet untuk segala, percetakan
3D, nanoteknologi dan lain-lain akan merevolusikan masa hadapan kita. Teknologi
akan menggantikan kerja-kerja dengan keadaan yang tidak pernah ada sebelum ini.
Pada tahun 2016, BBC melaporkan bahawa Foxconn, kilang iPhone di China telah
mengautomasikan sebanyak 60,000 pekerjaan dalam salah satu kilang-kilangnya.
Ini hanyalah fasa awal pelan automatik oleh syarikat gergasi dan Foxcoon adalah
salah satu daripada pelbagai jenis syarikat yang menuju ke arah ini.
Walaupun
mesin mula mengganti buruh manusia sejak revolusi industri lagi, namun dengan
bantuan pertumbuhan kuasa pengkomponen yang pesat bersama peningkatan
kecerdasan tiruan dan pembelajaran mesin, telah melajukan kadar pengautomatan.
Kita haruslah bersedia untuk masa hadapan dimana robot bukan
sahaja mengambil alih tugas pekerja kolar biru, malah dengan kemajuan
kecerdasan tiruan, juga mampu mengambil alih pekerjaan kolar putih yang sebelum
ini hanya boleh dilaksanakan oleh manusia. Sejak computer IBM yang diberi nama
singkatan “Deep Blue” mengalahkan
Juara Dunia Catur, Garry Kasparov, mesin walaupun dengan beransur tetapi
pastinya dapat menewaskan manusia terpintar dalam permainan yang amat
memerlukan intelek manusia termasuklah skrabel, othello, malah Jeopardy!
Pada tahun
2016, sistem DeepMind Google dengan nama singkatan AlphaGo telah memusnahkan
pertahanan terakhir intelek manusia, dan berjaya menuntut kemenangan daripada
juara bertahan, Fan Hui, dalam permainan Go – satu permainan yang berumur
2,500 tahun dan memerlukan perancangan strategi dan intuisi, iaitu kecerdasan
manusia.
Dengan
adanya mesin yang mampu mengalahkan manusia yang hebat dalam permainan
kecerdasan–intensif, bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipercayai bahawa satu hari
nanti, AI mampu menggantikan manusia, samada sepenuhnya ataupun sebahagiannya,
dalam pekerjaan-pekerjaan yang kompleks seperti doktor, peguam dan peniaga saham.
Jadi
pekerjaan jenis apa yang akan dilakukan oleh anak-anak kita pada masa hadapan?
Tiada siapa yang mempunyai jawapan yang nyata. Malah, cuba kita imbas kembali
apa yang telah berlaku pada dunia ini hanya dalam waktu sedekad yang lalu –
Facebook masih pada peringkat awal dan tidak ramai yang mempunyai telefon
pintar; pekerjaan seperti pengurus media sosial, pemengaruh media sosial,
pemandu uber, pemaju aplikasi, saintis pengkomputeran awan dan penganalisis
data besar masih tidak wujud.
Walaupun
peninjau masa hadapan yang paling hebat juga tidak mampu meramal apa yang akan
berlaku pada masa depan. Walaupun begitu, kita diberi petunjuk apabila
memerhatikan trend teknologi. Malah,
kerajaan Malaysia telah mempunyai pandangan yang jauh mengenai pelan pendidikan
yang telah diumumkannya.
Pada tahun
1990, Putrajaya sudah mempunyai niat untuk menggabungkan pengaturcaraan
komputer ke dalam silibus sekolah yang rasmi, tetapi selepas 25 tahun, pelan
ini dibatalkan akhirnya. Pada tahun 2016, Yasmid Mahmood, Ketua Pegawai
Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan bahawa
pengekodan akhirnya akan dimasukkan ke dalam silibus sekolah secara berfasa.
Tambahan,
halatuju polisi pendidikan selalunya memberi keutamaan kepada Sains,
Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Bagaimanapun, walaupun sejak
tahun 1970-an, Menteri pendidikan telah menetapkan satu nisbah target untuk
aliran sains kepada aliran seni pada 60:40, namun sehingga 2011, hanya 45%
pelajar yang berjaya menamatkan pelajaran daripada aliran sains, termasuk
program teknikal dan vokasional.
Sepertimana
yang telah saya katakan sebelum ini, Malaysia tidak kekurangan pelan, namun apa
yang kita perlukan adalah keazaman politik yang kuat bagi melaksanakan
pelan-pelan tersebut dengan baik. Bayangkan jika tenaga kerja generasi muda
kita lebih bersedia dengan adanya pengetahuan STEM ataupun kemahiran pengekodan
dalam era ekonomi digital yang kita tinggal hari ini, betapa kuatnya impak yang
mampu mereka hasilkan bagi ekonomi negara.
Kita
seharusnya tegas dalam memastikan STEM dan sains computer diperbadankan dengan
baik dan ditekankan di dalam silibus serta pembangunan generasi baru. Walaubagaimanapun, Malaysia tidak seharusnya hanya mengikut dari belakang, malah
untuk berkembang lebih maju pada masa hadapan, kanak-kanak kita seharusnya
lebih bersedia menghadapi satu masa hadapan yang melingkungi mesin kecerdasan.
Mesin-mesin
ini tidak terdedah kepada kesilapan manusia, mempunyai memori yang luar biasa,
tidak beremosi dan tidak akan mempunyai masalah hubungan ataupun keluarga,
tidak memerlukan cuti dan semestinya tidak memerlukan cuti sabatikal.
Oleh itu,
bagi bersaing dengan mesin-mesin ini, kita perlu memastikan yang anak-anak kita
mempunyai set kamahiran yang tidak mampu diganti oleh mesin-mesin
dalam jangka masa ini, sebagai contoh, kreativiti, empati, pemikiran kritis
serta kepimpinan dan kemahiran bersosial. Aktiviti-aktitviti dan silibus
sekolah seharusnya dalam kondisi yang membenarkan kemahiran-kemahiran ini
dikembangkan.
Secara keseluruhannya, dunia kita bergerak tersangat pantas
dan oleh itu, silibus sekolah kita, terutamanya pada peringkat institusi
tinggi, perlu dipantaui dengan kerap dan disesuaikan bagi menutup jurang antara
set kemahiran yang diperoleh daripada sekolah dengan kemahiran-kemahiran yang
diperlukan supaya berjaya di tempat kerja dan dunia nyata.
Akhirnya,
marilah kita memperingati kata-kata Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi
Eksekutif bagi Forum Ekonomi Dunia, “Dalam dunia yang baru ini, sudah bukan
ikan besar memakan ikan kecil, tetapi ikan yang pantas menelan ikan yang
lembap”.
Marilah
kita mendidik generasi kita yang seterusnya supaya mereka dapat menjadi ikan
yang pantas dan kuat di lautan dunia di kemudian hari.