Rabu, 28 Februari 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Kesihatan | 28 Februari 2024

28 Februari 2024, Rabu

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan : 

(a) jumlah jawatan speech and language therapist (SLT) di Kementerian dan berapakah yang telah diisi; dan 

(b) apakah langkah-langkah yang diambil untuk menangani masalah kekurangan SLT di sektor awam dan swasta.

JAWAPAN 
Tuan Yang di-Pertua, 

1. Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga 31 Disember 2023, jawatan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) [Speech-Language Therapist (SLT)] adalah sebanyak 187 jawatan dengan pengisian seramai 157 pegawai (84%). 

2. Beberapa langkah telah diambil diambil untuk menangani masalah ini. Antaranya ialah: 

(a) memohon pengisian jawatan dan pewujudan jawatan baharu kepada agensi pusat. Dalam hal ini, KKM sentiasa meneliti keperluan perjawatan di semua fasiliti kesihatan dari semasa ke semasa bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan. Buat masa ini, penentuan bilangan anggota KKM yang ditempatkan di setiap fasiliti kesihatan termasuk SLT adalah berdasarkan norma, outfit dan perjawatan yang diluluskan mengikut keperluan setiap fasiliti kesihatan; 

(b) bagi hospital atau klinik yang tidak mempunyai perjawatan, SLT dari hospital lain akan membuat lawatan secara berkala untuk melihat pesakit berdasarkan janji temu yang diberikan di samping menjalankan tugas-tugas hakiki/klinikal di tempat pegawai bertugas; 

(c) memberi latihan dan bimbingan (train of trainers) kepada ibu bapa dan ahli keluarga bagi memperkasa peranan mereka dalam penjagaan pesakit yang memerlukan intervensi pemulihan pertuturan contohnya kepada kanak-kanak yang mengalami masalah speech language delay. Program-program sebegini (train of trainers) juga dijalankan sebagai salah satu cara bagi menangani masalah janji temu yang sangat panjang. 

Sekian, terima kasih.