Khamis, 29 Februari 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Pendidikan | 29 Februari 2024

29 Februari 2024, Khamis

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk meningkatkan prestasi pelajar dalam membaca, mengira (matematik) dan sains memandangkan kedudukan Programme for International Student Assessment (PISA) Malaysia 2022 menurun lagi. 
JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha memastikan murid menguasai literasi, numerasi dan bidang sains seterusnya dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah dan sedang mengambil tindakan bagi meningkatkan prestasi murid dalam literasi, numerasi dan sains. Tindakan ini merangkumi aktiviti dan program seperti berikut:

i. menyediakan bahan bantu belajar literasi dan numerasi untuk murid di bawah Program Literasi dan Numerasi (PLaN);
ii. menyediakan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains;
iii. meningkatkan kompetensi guru dalam kandungan dan amalan pendekatan PdP berkaitan literasi, numerasi dan sains;
iv. mengesan keupayaan literasi dan numerasi murid; dan
v. menyediakan Kurikulum Moderasi bagi mata pelajaran Matematik dan Sains Tahap I.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, latihan pembangunan profesionalisme dilaksanakan secara berterusan kepada guru sekolah rendah dan menengah bagi memastikan guru melaksanakan PdP dengan lebih berkesan. Pembangunan kompetensi guru sekolah rendah secara menyeluruh terutamanya dalam aspek literasi, numerasi dan sains terus diberi penekanan supaya keupayaan murid dalam bidang ini dapat ditingkatkan. Manakala bagi guru sekolah menengah, pengukuhan kepada mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains turut diberi keutamaan khususnya kepada kohort yang bakal menduduki PISA pada masa akan datang. Pengesanan keupayaan murid dalam literasi dan numerasi juga akan dilakukan semasa Program Transisi Murid Tahun 1 bagi membolehkan tindakan pemulihan diambil lebih cepat.

KPM juga telah membangunkan bahan sokongan PdP khususnya dalam bidang bacaan, Matematik dan Sains. Bahan-bahan ini dibangunkan sebagai bahan rujukan dan panduan kepada guru ke arah meningkatkan keupayaan murid dalam bidang tersebut dan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) murid. KBAT juga dilaksanakan melalui Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL). PKL dilaksanakan kepada murid sebagai satu inisiatif KBAT dalam konteks pentaksiran. PKL terdiri daripada item berkaitan literasi saintifik, matematik, bacaan dan kewangan yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.

Terkini Modul Bimbingan (MOBIM) dalam bidang sains, matematik dan bahasa telah dibangunkan. MOBIM bagi Tahun 1 telah disebarkan pada tahun 2023 manakala MOBIM Tahun 2, Tahun 3 dan Tahap II pula akan disebarkan mulai Mei 2024 secara berperingkat untuk kegunaan semua guru. MOBIM bukan sahaja mengandungi cadangan aktiviti dan panduan kepada guru, malah ia juga mengandungi contoh lembaran kerja yang disusun secara ansur maju dan boleh diadaptasi oleh guru sesuai dengan keupayaan murid mereka.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM juga sedang membangunkan kurikulum moderasi bagi Matematik dan Sains yang dijajarkan daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) dengan memberi penekanan kepada penguasaan kandungan asas sebelum maju kepada kandungan yang lebih tinggi. Kurikulum moderasi akan digunakan mulai Mac 2024 hingga tamat sesi persekolahan tahun 2026 dan pelaksanaannya akan disokong oleh MOBIM.

KPM sangat prihatin kepada penguasaan literasi, numerasi dan kandungan sains murid. KPM yakin usaha berterusan dari semua pihak berupaya meningkatkan penguasaan murid dan seterusnya dapat meningkatkan kedudukan PISA pada peringkat antarabangsa.

Sekian, terima kasih.