6 November 2024 (Rabu)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan Malaysia telah menandatangani Global Methane Pledge pada tahun 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas metana sebanyak 30% menjelang 2030:
a) apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian sejak 2021; dan
b) adakah rancangan untuk mewujudkan halatuju/pelan kebangsaan penurunan pelepasan gas metana.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan laporan Malaysia’s Fourth Biennial Update Report (BUR-4) pada tahun 2022, pelepasan gas metana pada tahun 2019 di Malaysia adalah sebanyak 740, 000 tan karbon dioksida setara (tonne CO2 equivalent).
2. Antara punca utama pelepasan gas metana adalah dari sektor
tenaga iaitu aktiviti pembakaran bahan api fosil termasuk pelepasan fugitif
dari sektor minyak dan gas, sektor sisa iaitu dari sisa buangan industri, dan
sektor pertanian daripada aktiviti penanaman padi. Memandangkan gas
metana mempunyai potensi pemanasan global (global warming potential –
GWP) 25 kali ganda lebih tinggi dari pelepasan karbon dioksida, kerajaan
telah melaksanakan pelbagai tindakan mitigasi pelepasan gas metana.
Antara tindakan mitigasi pelepasan gas metana yang dilaksanakan adalah
pengurangan “venting and flaring” gas metana daripada aktiviti
pemprosesan minyak dan gas, pemerangkapan metana dari efluen
pembuangan loji minyak kelapa sawit, dan program pensijilan pertanian
organik.
3. Selain itu juga, Malaysia juga menyertai perikatan Global Methane
Pledge pada tahun 2021 bagi meningkatkan kerjasama antarabangsa
dalam menangani pelepasan gas metana. Di bawah perikatan ini, pihak
Kesatuan Eropah juga bercadang untuk meluncurkan Methane Abatement
Partnership Roadmap di sela-sela persidangan UNFCCC COP-29 di Baku,
Azerbaijan pada tahun ini. Pelan tersebut memberi tumpuan kepada usaha
pengurangan pelepasan gas metana daripada aktiviti penghasilan bahan
api fosil seperti sektor minyak dan gas.
Tuan Yang di-Pertua,
4. Selain kerajaan, pihak swasta juga aktif terlibat di dalam inisiatif antarabangsa untuk menangani pelepasan gas metana. Sebagai contohnya, pihak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menjadi ahli kepada Oil and Gas Methane Partnership 2.0 (OGMP 2.0) di bawah United Nations Environment Programme (UNEP).
5. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk membangunkan pelan hala tuju kebangsaan untuk menangani pelepasan gas metana pada masa hadapan. Bagi tujuan ini, kerajaan akan menerokai potensi untuk mendapatkan pembiayaan daripada Rancangan Malaysia dan juga sokongan teknikal serta pembangunan kapasiti daripada organisasi pelbagai hala antarabangsa seperti UNFCCC dan UNEP atau melalui kerjasama dua hala dengan negara maju di bawah perikatan Global Methane Pledge.
Sekian, terima kasih.