20 November 2024 (Rabu)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan :
(a) status terkini penggubalan dasar bagi Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) terutamanya penentuan System Access Charge (SAC) untuk firm and non-firm power; dan
(b) adakah Kementerian akan mengurangkan SAC daripada kadar yang dicadangkan semasa sesi libat-urus dengan pemain industri.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) telah mula berkuatkuasa selepas garis panduan pelaksanaan program ini iaitu “Guidelines for the Corporate Renewable Energy Supply Scheme” dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 20 September 2024. Mana-mana pihak atau syarikat yang berminat menyertai inisiatif akses grid terbuka untuk membekalkan bekalan elektrik hijau kepada pengguna korporat, boleh mengemukakan permohonan kepada Single Buyer berdasarkan syarat dan peraturan yang ditetapkan di bawah garis panduan berkenaan.
2. Kadar caj akses sistem atau System Access Charge (SAC) yang ditetapkan di bawah Program CRESS untuk output tenaga firm adalah 25sen/kWj dan non-firm adalah 45sen/kWj. Penetapan kadar SAC ini dilakukan setelah mengambil kira aspek pengendalian dan tunggu sedia sistem pembekalan, pembangunan dan naik taraf infrastruktur, sistem dan rangkaian grid serta penyampaian perkhidmatan.
3. Kadar SAC ini telah ditetapkan berdasarkan kos operasi, kos pembangunan dan kos penyampaian sebenar bagi pelaksanaan akses grid terbuka. Oleh itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) tidak bercadang untuk menurunkan kadar SAC buat masa ini bagi memastikan program ini berjaya dilaksanakan.
Sekian, terima kasih.