Kisah Saya

Hai semua! Berikut adalah sedikit cerita tentang diri saya sendiri.

Nama saya Yeo Bee Yin atau 杨美盈 dalam bahasa Cina.

Dilahirkan pada 26 Mei 1983, saya dibesarkan di sebuah bandar kecil bernama Batu Anam di bahagian utara Johor (Daerah Segamat). Berikut adalah dua gambar semasa zaman kanak-kanak saya.

Ibu bapa saya memberitahu saya bahawa saya terselamat daripada dua kejadian yang mengancam nyawa ketika saya masih muda. Yang pertama adalah ketika saya masih kecil, di mana saya terjatuh dan terhentakl kepala saya di bucu tajam sebuah sofa kayu. Tengkorak saya menjadi sangat lembut. Saya telah dirawat di ICU selama beberapa hari dan dimasukkan ke Hospital Besar (Seremban) untuk satu tempoh yang lama. Gambar di bawah mungkin diambil selepas saya pulih. Saya di sebelah kiri (kelihatan seperti seorang lelaki!) Manakala di sebelah kanan adalah kakak saya, Bee Hui.


Kejadian yang mengancam nyawa kedua adalah ketika saya berumur lima tahun, di mana sebuah kereta melanggar saya ketika saya berlari ke jalan sambil bermain. Nasib baik, pemandu itu seorang doktor. Dia segera membantu saya. Inilah gambar yang diambil sekitar usia saya mengalami kemalangan tersebut.


Bagaimanapun, jeng jeng jeng, saya selamat melalui zaman kanak-kanak saya! 😃

Sebenarnya sebelum berpindah ke "bandar" di Batu Anam kira-kira pada usia 10 tahun, saya tinggal di ladang kelapa sawit yang dikenali sebagai Ladang Gomali. Ibu saya adalah seorang kerani di sana untuk Dunlop dan kemudian IOI setelah Dunlop diambilalih, sehinggalah dia bersara pada tahun 2007. Ibu saya seorang pekerja yang rajin dan jujur, sesuatu yang saya kagumi sebagai seorang kanak-kanak dan sehingga sekarang sebagai seorang dewasa.

Ini adalah gambar tempat kami tinggal di Estet Gomali. Saya mengambil gambar semasa lawatan kenangan kami semasa cuti Tahun Baru Cina pada tahun 2015. Dulu ada pokok mangga di hadapan rumah dan pokok jambu di bahagian belakang tetapi semuannya sudah tidak ada lagi.


Membesar di sebuah bandar kecil, imaginasi tentang masa depan saya sendiri adalah sangat terhad.

Sebagai seorang kanak-kanak, saya melihat kebanyakan wanita di sekitar saya memainkan peranan sokongan dan bukannya peranan utama dalam masyarakat. Saya masih ingat watak-watak kartun Walt Disney yang pernah saya tonton ketika masih kecil. Mereka seolah-olah menceritakan kisah gadis-gadis cantik menunggu kesatria berkuda putih atau putera yang menawan datang supaya mereka dapat hidup bahagia selama-lamanya. (Saya gembira kerana Disney telah menukar nadanya - dari Elsa dalam filem Frozen hingga Moana, kita melihat watak-watak wanita yang pintar, berani dan rajin yang memenuhi tujuan mereka dalam kehidupan. Peranan mereka bukan sekadar cantik dan untuk berkahwin dengan seseorang!)

Melalui kisah ibu saudara saya, Yeo Swee Lan, yang merupakan graduan universiti wanita pertama di Batu Anam, yang akhirnya membuat saya mampu membayangkan bahawa saya sebagai seorang gadis juga dapat memperoleh kelayakan pendidikan yang baik. Berikut adalah gambar ibu saudara saya bersama-sama dengan semua anak saudara yang bangga dengannya semasa meraikan tamat pengajian beliau. Saya berada di bahagian paling kanan di barisan hadapan.


Walaupun mempunyai peranan yang baik, saya menjadi pelajar yang bermasalah dalam pengalaman pertama saya di sekolah. Ketika berusia tujuh tahun, ibu bapa saya mendaftarkan saya ke SRJK (C) Seg Hwa, yang merupakan salah satu sekolah terbaik di Segamat. Walau bagaimanapun, saya menjadi pelajar yang bermasalah selepas ditakutkan oleh salah seorang guru. Fobia ketakutan saya untuk pergi ke sekolah semakin melarat dan saya pun mulai berbohong kepada ibu bapa saya dengan memberitahu mereka saya sakit untuk mengelak daripada ke sekolah. Kebanyakan masa saya menggunakan sakit perut sebagai alasan kerana tiada penunjuk luaran. Saya juga mengejar bas sekolah saya di jalan untuk memohon pemandu bas untuk membawa saya pulang ke rumah!

Disebabkan tahun pertama saya di sekolah rendah yang bermasalah (saya menghadiri kurang daripada separuh daripada jumlah hari sekolah), ayah saya memutuskan untuk memindahkan saya ke SRJK (C) Hwa Nan, yang jaraknya berjalan kaki dari rumah saya di Batu Anam, dan bukan sebuah sekolah yang berprestasi tinggi.

Pada tahun pertama saya di Hwa Nan, guru kelas saya membantu membina keyakinan saya dalam pembelajaran. Saya tidak ponteng kelas lagi. Pada tahun berikutnya, sekolah kami mempunyai seorang guru sekolah baru yang bertekad untuk memajukan sekolah. Pada masa yang sama, kami juga menyaksikan ketibaan empat guru muda dan bersemangat yang mempunyai ijazah sarjana muda. (Ini adalah satu hal yang besar untuk sekolah kampung seperti Hwa Nan untuk menerima begitu banyak guru baru dengan ijazah).

Dengan kerja keras guru besar dan juga guru-guru baru yang sedia ada, SRJK (C) Hwa Nan perlahan-lahan meningkat dari segi prestasi murid-muridnya selama bertahun-tahun di sana. Apabila saya tamat Darjah Enam, sekolah itu menduduki tempat kelima atau keenam di Segamat. Transformasi sekolah kampung ini mengubah sikap saya terhadap pembelajaran dan pada dasarnya, kehidupan.

Berikut ialah foto kelas kami. Guru Besar Sia Miew Choo adalah wanita berpakaian hijau di tengah, di sampingnya adalah penolong kanan Leong Mok Ching (kiri) dan Tan Shu Hua (kanan). Saya berdiri betul-betul di belakang Guru Besar Sia.



Setiap kali saya berfikir tentang zaman kanak-kanak saya, saya bersyukur kepada Tuhan kerana saya adalah anak yang bertuah yang berada di tempat yang betul pada masa yang sesuai, ketika ada guru yang baik dan seorang Guru Besar yang baik di sekolah yang bukan pilihan pertama ibu bapa saya.

Malah, pendidikan memainkan peranan penting dalam perjalanan peribadi saya. Saya menamatkan pendidikan saya dengan bantuan sekolah dan biasiswa awam - Biasiswa Petronas di Universiti Teknologi Petronas untuk ijazah sarjana muda saya dan Biasiswa Gates Cambridge di University of Cambridge untuk ijazah sarjana saya. Pengalaman ini menanam keinginan yang mendalam dalam hati saya untuk melihat setiap kanak-kanak di Malaysia menerima pendidikan yang baik, tanpa mengira kaum, agama, geografi dan latar belakang keluarga.

Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi Petronas.

Dengan ibu bapa saya di graduasi Ijazah Sarjana di Universiti Cambridge.

Orang mungkin berfikir bahawa selagi anda bekerja keras, peluang akan datang kepada anda. Tetapi pengalaman peribadi saya telah mengajar saya bahawa seseorang boleh mendapat peluang hanya apabila orang lain bersedia untuk mencipta dan memberinya kepada mereka. Dan sememangnya, terdapat sedikit nasib baik yang terlibat dalam pemilihan biasiswa dan banyak hal lain dalam kehidupan. Sama ada seseorang boleh memenuhi potensi dan impiannya bergantung kepada sistem ia dilahirkan.

Saya sering ditanya apa yang mendorong saya menyertai politik. Berikut adalah artikel mengenai perjalanan saya menyertai politik yang ditulis bertahun-tahun yang lalu. Secara keseluruhan, matlamat utama adalah mewujudkan sebanyak mungkin peluang untuk merealisasikan impian untuk sebanyak mungkin orang.

Harapan saya ialah agar sistem kita - ekonomi, pembangunan, pendidikan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan sosial serta demokrasi dan hak asasi manusia akan membantu semua orang di Malaysia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera dan bahagia.

(Dikemaskini pada 19 Feb 2018)