Isnin, 16 Februari 2015

Tidak berasas untuk mengaitkan rogol dengan pemakaian wanita

Kenyataan media oleh Yeo Bee Yiin, Pengerusi Wanita DAP Petaling Jaya Utara dan ADUN Damansara Utama, pada hari Jumaat 13 Februari 2015.

Statistik menunjukkan bahawa adalah tidak berasas untuk mengaitkan rogol dengan pemakaian wanita

Khutbah terbaru oleh JAIS yang mengaitkan pemakaian wanita dengan jenayah rogol, serta bantahan Ketua Wanita DAP Chong Eng dan diikuti penglibatan pihak polis telah mencetuskan perdebatan tentang sama ada wanita perlu membuat pilihan pemakaian tertentu bagi mengelak daripada dirogol.

Sekiranya dakwaan menutup aurat untuk mengelak dirogol itu benar, maka kita pastinya boleh melihat trend sedemikian di negeri-negeri di Malaysia, di mana negeri yang lebih konservatif di Malaysia mencatatkan bilangan kes rogol yang lebih rendah berbanding negeri yang lebih urban.

Menggunakan angka-angka terkini kes rogol mengikut negeri[1] serta populasi setiap negeri[2], kami telah mengira angka kes rogol bagi setiap 100,000 daripda populasi seperti rajah di bawah. Negeri yang menduduki tangga teratas adalah Negeri Sembilan, Kelantan, Perlis dan Kedah dengan 20.6, 20, 18.7 dan 17.64 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi. Negeri-negeri paling urban di Malaysia seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur berada di tangga paling bawah dengan kadar 11.47, 11.41 dan 9.28 kes rogol bagi setiap 100,000 daripada populasi.