Ahad, 13 Ogos 2017

Isteri MO1 mesti pulangkan Permata Merah Jambu

Kenyataan media Yeo Bee Yin, ADUN Damansara Utama pada hari Selasa 8 Ogos 2017 di Petaling Jaya.

Isteri MO1 mesti pulangkan Permata Merah Jambu demi mempertingkat pelaburan awam dalam pendidikan awal kanak-kanak

Membaca laporan berita tentang bagaimana Datin Seri Rosmah Mansor begitu sedih tentang kurangnya duit untuk PERMATA amatlah menggelikan hati.

Dalam saman sivil pelucuthakan yang terbaru, Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ) telah mendakwa bahawa sebilangan wang yang dicuri dari 1MDB telah digunakan untuk membeli seutas rantai dengan loket berlian merah jambu 22 karat, bernilai US$27.2 juta, selain 27 gelang tangan dan leher 18 karat yang bernilai US$1.3 juta, untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Menurut ucapan belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pihak kerajaan memperuntukkan RM85 juta untuk program PERMATA bagi tahun 2017. ‘Permata’ Merah Jambu itu sahaja nilainya RM120 juta, lebih daripada peruntukan PERMATA selama setahun!

Rabu, 14 Jun 2017

Cukai pelancongan tidak wajar, tidak tepat masa

Kenyataan media Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada hari Sabtu 10 June 2017 di Petaling Jaya.

Cukai pelancongan tidak wajar, tidak tepat masa

Kami amat bimbang dengan tindakan tergesa-gesa Putrajaya dalam mengenakan cukai pelancongan, yang mengakibatkan operator hotel serta mereka yang terlibat berada dalam keadaan keliru. Dilaporkan bahawa kadar cukai tersebut adalah antara RM20, RM10, RM5 dan RM2.50 sebilik untuk satu malam, bagi hotel dengan lima, empat, satu hingga tiga bintang dan penilaian lain masing-masing.

Pelaksanaan Rang Undang-undang Cukai Pelancongan 2017 yang begitu cepat meski baru sahaja diluluskan beberapa bulan lalu menunjukkan bahawa kantung Putrajaya semakin kering dan memaksanya untuk memerah lebih banyak hasil daripada orang ramai dengan apa cara sekali pun.

Pelaksanaan pantas undang-undang yang diluluskan Parlimen ini adalah sangat berbeza dengan pelaksanaan Daftar Pelaku Jenayah Kanak-kanak , yang diperuntukkan dalam Pindaan Akta Kanak-kanak 2016. Pihak kerajaan tidak dapat melengkapkan daftar tersebut, yang mengandungi rekod pesalah yang telah melakukan jenayah terhadap kanak-kanak termasuk jenayah seksual, walaupun sembilan bulan telah berlalu selepas undang-undang tersebut diluluskan Parlimen (April 2016) dan enam bulan setelah undang-undang tersebut diwartakan (Julai 2016). (Daftar tersebut kini siap dengan bilangan lebih 100 rekod pelaku jenayah kanak-kanak.) Sebaliknya, bagi Akta Cukai Pelancongan 2017 pula, kerajaan nampaknya tidak sabar lagi mahu melaksanakannya, meski ia belum diwartakan.

Ahad, 26 Mac 2017

Siapa di sebalik pembohongan Jamal Yunos terhadap saya?

Kenyataan media oleh Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin pada hari Rabu 22 Mac 2017 di Petaling Jaya

Siapa di sebalik tindakan Jamal Yunos terhadap saya? 

Semalam saya menerima panggilan telefon daripada wartawan yang memberitahu saya bahawa Jamal Yunos telah membuat laporan polis terhadap saya tentang pengurusan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Ini adalah suatu pembohongan yang amat besar terhadap saya.

Saya telah melihat gambar-gambar sidang medianya semalam. Apa yang beliau pegang di dalam tangannya adalah dokumen yang membuktikan bahawa kami telah mengemukakan kesemua dokumen yang diperlukan kepada pejabat tanah untuk tujuan semak imbang. Saya begitu tidak percaya bagaimana beliau boleh berbohong sambil memegang bukti di tangannya.

Kolum terakhir adalah tarikh-tarikh dokumen didapatkan semula, bermakna kami telah mengagihkan dana, manakala resit yang ditandatangani oleh waris bersekali dengan salinan kad penganalan waris serta si mati dan sijil kematiannya telah diserahkan kepada pejabat tanah. Saya tunjukkan contoh di sini.

Sebagai tambahan, saya tampilkan di sini sepuluh ‘ring file’ dengan dokumen setebal 60cm berkenaan setiap bayaran yang telah dibuat kepada waris. Kami alu-alukan semua pihak termasuk Jamal untuk hadir ke pejabat saya dan melihatnya sendiri. Pejabat kami dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10.30 pagi sehingga 6 petang.


Kami terbuka, telus dan tidak ada apa-apa yang mahu disorok. Bukan saja kami tunjukkan akaun, malah resit bagi setiap bayaran yang telah dibuat. Bolehkah Jamal Yunos gunakan standard yang sama dalam kes 1MDB? Bolehkah 1MDB dan anak-anak syarikatnya mengambil langkah yang sama dan mendedahkan akaun-akaunnya? Dan bukan sahaja akaun, tetapi setiap pembayaran yang dilakukan?

Rabu, 8 Mac 2017

Pemberdayaan wanita manfaat bagi seluruh rakyat Malaysia

Kenyataan media Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin bersama Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair tentang kempen #KamiLayak #KamiSokong, di Petaling Jaya pada hari Khamid 3 Mac 2017.

Pemberdayaan Wanita Manfaat Bagi Seluruh Rakyat Malaysia

Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac menandakan sambutan bagi seluruh wanita dan peranannya dalam masyarakat, arena politik, tempat kerja dan keluarga. Tahun ini, bersempenan dengan Hari Wanita Sedunia, kami bekerjasama untuk menganjurkan sebuah kempen sepanjang satu bulan yang diberi nama ‘#KamiLayak #KamiSokong’ bagi meningkatkan kesedaran tentang hak-hak wanita di Malaysia, selain mengendalikan bengkel-bengkel yang memberi kemahiran praktikal kepada warga wanita. (Lihat di bawah untuk senarai penganjur yang terlibat dalam kempen ini).

Ramai yang merasakan bahawa lelaki dan wanita sudah sama-sama setara di Malaysia, memandangkan wanita boleh mendapatkan pendidikan, bekerja serta mempunyai hak memilih dan dipilih, dalam konteks pilihanraya. Pun begitu, masih ada banyak ruang penambahbaikan bagi merapatkan renggang gender di Malaysia.

World Economic Forum (WEF) menerbitkan Laporan Indeks Jurang Gender Sedunia (Global Gender Gap Index Report) setiap tahun bagi menilai jurang gender mengikut negara, ‘mengikut bagaimana mereka menggunakan sumber wanita, berasaskan indikator-indikator ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.’ Pada tahun 2016, laporan tersebut meletakkan Malaysia di tangga ke-106 daripada 144 negara di dunia, menempatkan kita di belakang bukan sahaja negara Barat tetapi juga Kazakhstan (51), Azerbaijan (86), Tajkistan (93), Bangladesh (72), India (87), China (99), Indonesia (88), Vietnam (65), Thailand (71) dan Brunei (103).

Sabtu, 4 Februari 2017

Rizal Mansor mempunyai ingatan terpilih berkenaan lawatan PERMATA kami

Kenyataan media oleh Yeo Bee Yin, Adun Damansara Utama pada 21 Februari 2017 di Petaling Jaya.

Datuk Rizal Mansor seakan mempunyai ingatan terpilih berkenaan lawatan PERMATA kami

Saya begitu bingung dengan jawapan oleh pembantu Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor kepada kenyataan terbaru Pakatan Harapan supaya memotong perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri, termasuk mengubah peruntukan PERMATA kepada kementerian yang sepatutnya bagi tujuan pendidikan awal kanak-kanak. Beliau berkata bahawa saya dan beberapa rakan yang membuat lawatan ke PERMATA pada 6 Oktober 2016 telah berpuas hati selepas lawatan terbabit.

Beliau nampaknya mempunyai ingatan terpilih tentang apa yang telah kami bincangkan tentang PERMATA. Ketika lawatan tersebut, kami nyatakan dengan jelas bahawa program PERMATA perlu diletakkan di bawah Kementerian penuh, terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan bukan Jabatan Perdana Menteri. Saya petik sebahagian daripada kenyataan media saya pada 6 Oktober 2016 di sini:

“Kalau ada satu hal yang boleh saya bangkitkan dalam lawatan hari ini, ialah pendirian saya untuk menggesa Putrajaya meletakkan program-program PERMATA di bawah kementerian penuh yang sepatutnya, bagi memastikan bahawa program berjalan secara tersusun dan dengan strategi yang helas bersekali dengan program kerajaan.”

“Saya tidak melihat sebarang sebab, dari segi operasi, koordinasi dan strategi yang memerlukan agensi asing di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk mencapai sasaran yang sama hendak dicapai oleh PERMATA. Memindahkan PERMATA dari Jabatan Perdana Menteri juga membantu untuk mengurangkan saiz Jabatan Perdana Menteri yang telah membusung sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil alih.”

Ini adalah selari dengan saranan rakan-rakan Pakatan Harapan - Khalid Samad, Saifuddin Nasution dan Liew Chin Tong, untuk memindahkan peruntukan PERMATA bagi tujuan pendidikan awal kanak-kanak ke kementerian yang sepatutnya. Cadangan sedemikian sewajarnya dipertimbangkan dengan serius oleh Putrajaya agar wang pembayar cukai dibelanjakan dengan lebih bijak, dengan strategi dan operasi yang lebih tersusun dalam hal pendidikan awal kanak-kanak.

Tambahan kepada itu, saya ingin mengingatkan Datuk Rizal Mansor bahawa ketika lawatan tersebut, kami meminta PERMATA membentangkan akaunnya. PERMATA meminta kami untuk menulis surat kepada Ketua Audit Negara untuk mendapatkan akaun tersebut, yang telah kami lakukan. Namun pihak Ketua Audit memberitahu kami bahawa akaun tersebut telah dipulangkan kepada PERMATA dan sebaiknya kami meminta akaun tersebut daripada PERMATA. Kami kemudian menulis lagi kepada PERMATA untuk meminta akaun itu, yang kemudian dibalas pada 10 Januari 2017 dengan berkata bahawa tidak ada keperluan bagi mereka membentangkan akaun terbabit. Kami nampaknya dibuat celaru tanpa jawapan yang memuaskan hati daripada PERMATA. Mungkin Datuk Rizal Mansor boleh memberi sedikit pencerahan.

Secara keseluruhan, kami tidak melihat sebarang sebab kenapa program yang dijalankan oleh PERMATA tidak boleh diambil alih oleh Kementerian penuh, yang pastinya mempunyai lebih pengalaman dan kepakaran dalam pendidikan awal kanak-kanak berbanding Jabatan Perdana Menteri. Mungkin keterujaan Datuk Rizal Mansor untuk mempertahankan PERMATA di bawah Jabatan Perdana Menteri adalah disebabkan faktor-faktor selain manfaat untuk anak-anak Malaysia kita? Jadi siapa sebenarnya yang mendapat faedah terbesar melalui PERMATA dan peruntukannya dia bawah Jabatan Perdana Menteri? Jawapannya nampak begitu jelas sekali.