Khamis, 22 Ogos 2019

INISIATIF MESTECC 2019 - Sektor Sains, Teknologi dan Inovasi

Fokus utama bagi sektor Sains, Teknologi dan Innovasi (STI) di bawah MESTECC adalah untuk mencipta kekayaan melalui sains dan teknologi dengan menwujudkan lebih banyak peluang perkerjaan dan memangkinkan ekonomi negara. Berikut adalah inisiatif-inisiatif utama Sektor STI.

1. Memperbaiki Ekosistem Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Sebelum ini, perbelanjaan dana penyelidik dan pembangunan (R&D) di negara kita banyak tertumpu kepada penyelidika akademik. Pada tahun 2017, 70.5 peratus dana penyelidik dan pembangunan diperuntukkan kepada penyelidikan akademik manakala hanya 8.6 peratus diperuntukkan kepada penyelidikan perindustrian. Jika kita bandingkan dengan negara-negara lain, Singapura menyalurkan sebanyak 48 peratus manakala negara Jepun menyalurkan sebanyak 64 peratus perbelanjaan penyelidik dan pembangunan mereka kepada penyelidikan perindustrian.

Ini bermaksud bahawa penyaluran dana R&D negara kita lebih fokus kepada penghasilan kertas penyelidikan akademik dan bukan penyelidikan berteraskan keperluan industry yang boleh memberi impak terus kepada ekonomi negara. Dengan itu, MESTECC telah menetapkan sasaran untuk mengalih hala tuju perbelanjaan dana R&D di bawah MESTECC agar sekurang-kurang 50 peratus dana R&D MESTECC disalurkan kepada penyelidikan perindustrian.

Selain daripada pembahagian semula dana penyelidikan dan pembangunan, MESTECC telah memulakan inisiatif untuk berkongsi tiga sumber penyelidikan dengan sektor swasta seperti berikut:

a. Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Melalui Platform NSFE
MESTECC telah melancarkan inisiatif “National Scientific Facilities and Equipment (NSFE)” untuk berkongsi kemudahan dan peralatan saintifik MESTECC dengan penyelidik sektor swasta. Setakat ini, lebih daripada 800 buah peralatan saintifik telah dikongsi di platform ini dan MESTECC akan meningkatkannya kepada 1,200 menjelang hujung tahun 2019.

Setiap peralatan saintifik yang dikongsi di platform ini adalah bernilai lebih daripada RM100 ribu. Dengan perkongsian peralatan saintifik kerajaan dengan sektor swasta, kita dapat menurunkan perbelanjaan R&D sektor swasta.

Untuk sebarang tempahan, sila muat turun applikasi “NSFE” dari Google Play Store : http://bit.ly/fne_app atau rujuk kepada halaman ini : https://mastic.mestecc.gov.my/nsfe

b. Perkongsian Penyelidik Awam Melalui Program RISE
Jika kita melihat dari perspektif yang lain, 78.1 peratus penyelidik sepenuh masa di Malaysia bekerja di institusi awam atau pendidikan tinggi sedangkan hanya 12.3 peratus daripada mereka bekerja di sektor swasta. Sebagai perbandingan, 50.5 peratus penyelidik di negara Singapura dan 79.9 peratus penyelidik di Korea Selatan bekerja di sektor swasta. Untuk memastikan aktiviti-aktiviti R&D di Malaysia memberi impak terus kepada ekonomi negara, kita perlu meningkatkan bilangan penyelidik di sektor swasta.

Sebagai salah satu langkah pertama, MESTECC telah melancarkan program “Researcher-Industry Scientific Exchange (RISE)” . Untuk tahun 2019, MESTECC akan berkongsi 100 orang penyelidik kerajaan dengan sektor swasta secara percuma. Program RISE bukan sahaja dapat membantu aktiviti R&D sektor swasta tetapi juga dapat membina kapasiti penyelidik awam.

c. Perkongsian Data ke Arah “Data Terbuka MESTECC”
MESTECC sedang berusaha untuk membina platform bersepadu supaya penyelidik-penyelidik di Malaysia boleh berkongsi data penyelidikan mereka di platform yang sama. Usaha ini adalah untuk menuju ke arah membuka akses kepada data Kementerian agar memudahkan perkembangan aktiviti penyelidikan dan pembangunan.

2. Menyelaraskan Agensi Dana Teknousahawan dan Memperbaiki Ekosistem Teknologi Pemula Niaga (Startup)

Selepas penstrukturan semula kementerian-kementerian, lima agensi pembiayaan dana teknousahawan iaitu Cradle Fund (Cradle), Malaysia Venture Capital Management Bhd (Mavcap), Malaysia Debt Venture (MDV), Kumpulan Modal Perdana dan Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) telah diagihkan di bawah MESTECC. Kerja-kerja penyelarasan lima agensi ini sedang dijalankan untuk memastikan peruntukan kerajaan yang lebih strategik kepada teknousahawan.

Di samping itu, MESTECC juga dalam proses memperbaiki polisi-polisi untuk memangkin modal teroka (VC) swasta dan memperkukuhkan ekosistem teknologi pemula niaga (startup).

3. Inisiatif Inovasi Sosial (MySI)

Objektif dana MySI adalah untuk meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat dengan keutamaan kepada golongan B40 melalui pelaksanaan projek aplikasi teknologi R&D tempatan yang berinovatif dan sedia dilaksanakan secara mampan. MySi memberi fokus kapada lima bidang utama, iaitu Ekonomi (Pertanian, Perikanan dan Penternakan); Teknologi Hijau; Mesra Alam; Kesihatan dan Keselamatan. Sejumlah RM5 juta telah diperuntukkan untuk inisiatif ini bagi tahun 2019.

4. Mempromosi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI)

Untuk memupuk minat sains dalam kalangan generasi muda, MESTECC telah menetapkan dua program utama, iaitu Minggu Sains Negara dan Pusat Sains Bergerak.

MESTECC telah melancarkan “Minggu Sains Negara 2019” fasa pertama pada bulan April yang bertema "Sains Untuk Kesejahteraan”. Tema "Sains untuk Kesejahteraan" ini dipilih kerana ia memberi mesej dan kesedaran betapa sains dan teknologi memainkan peranan yang penting dalam mencapai kesejahteraan negara dan rakyat dalam aspek ekonomi, sosial dan kelestarian alam. Fasa kedua “Minggu Sains Negara” telah pun dilancar pada awal bulan Ogos.

Untuk maklumat lanjut, sila layari halaman FB MESTECC: https://www.facebook.com/mestecc/

Selain itu, kami memahami bahawa bukan semua pelajar berpeluang melawat ke Pusat Sains Negara, Planetarium Negara ataupun pusat sains lain-lain yang kebanyakan terletak di kawasan bandar. Hanya pelajar yang berkemampuan berpeluang melawat ke tempat-tempat ini.

Tujuan Pusat Sains Bergerak ini adalah untuk menjangkau lebih ramai pelajar, terutamanya pelajar di luar bandar dengan membawa pusat sains kepada mereka.

Ini adalah inisiatif-inisiatif utama Sektor STI. Untuk maklumat yang lebih lanjut mengenai inisiatif Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar tahun 2019 , sila layari : http://inisiatif.mestecc.gov.my


Pang Sock Tao
Pegawai Khas kepada YB Yeo Bee Yin

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)