Selasa, 5 November 2019

15,000 Lampu LED Tambahan untuk Menerangi Jalan di Luar Bandar

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) akan menambah bekalan lampu jalan jenis LED (Light Emitting Diode) di kawasan jalan kampung. Ini adalah tambahan kepada inisiatif 10,000 lampu jalan LED yang dilaksanakan oleh MESTECC dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum ini.

Pada hb 19 Ogos 2019, YB Yeo Bee Yin bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun telah merasmikan pelancaran lampu LED jalan kampung di Semenyih, Selangor. MESTECC telah memperuntukkan pemasangan lebih 10,000 buah lampu jimat tenaga jenis LED di jalan-jalan kampung bermula dari tahun 2019 hingga tahun 2020 melalui inisiatif Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Lebih daripada 10,000 unit lampu LED akan dipasang di jalan-jalan kampung di Penisula Malaysia di bawah “Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung” oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar secara berperingkat melalui syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Untuk Sabah dan Sarawak, program pemasangan lampu akan dibiayai di bawah peruntukan pembelanjaan KPLB dan kementerian tersebut akan mengumumkan status pemasangan dengan sewajarnya.

Oleh sebab “Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung” menerima sambutan yang hangat, permohonan lampu jalan kampung turut semakin bertambah. Dengan kerjasama KPLB, MESTECC telah memperuntukkan 15,000 lampu LED tambahan untuk menerangi jalan-jalan di kampung. Inisiatif ini membuktikan bahawa Pakatan Harapan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Skop projek bagi program ini adalah membekal dan memasang set lampu LED pada tiang sedia di kawasan-kawasan awam serta seperti balai raya, surau, rumah ibadat serta di persimpangan-persimpangan jalan.

Faedah-Faedah Pemasangan Lampu Jalan LED

Selain daripada ciri pencahayaan, lampu jalan baru jenis LED adalah pilihan yang lebih mesra alam kerana ia lebih stabil, tahan lama, kurang panas dan tiada merkuri logam yang berbahaya terhadap alam sekitar. Tambahan pula, lampu jenis LED bukan sahaja jimat tenaga, tetapi juga lebih cerah berbanding dengan lampu jalan yang sedia ada.

Dengan lampu LED ini juga, kadar kerosakan lampu jalan boleh diturunkan dari 15-20 peratus hingga 2 ke 5 peratus. Oleh demikian, kegagalan lampu jalan dapat dikawal ke tahap yang minima dan kos penyelenggaraan turut dapat dikurangkan.

Di samping itu, pemasangan lampu jalan LED ini juga merupakan langkah Kerajaan untuk menggalakkan inisiatif kecekapan tenaga yang boleh menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga dan penjimatan kos bil elektrik sekurang-kurangnya antara 30 hingga 40 peratus.

Pang Sock Tao
Pegawai Khas kepada YB Yeo Bee Yin

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)


Yeo Bee Yin bersama Menteri KPLB YB Datuk Seri Rina Harun melancarkan Pemasangan Lampu Jalan Kampung di Kampung Rincing Hilir, Semenyih pada 19 Ogos 2019