Rabu, 14 Jun 2023

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2023 kepada Perdana Menteri | 14 Jun 2023

14 Jun 2023, Rabu 


SOALAN : 

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sebab JPA menghentikan penajaan biasiswa untuk pelajar perubatan, pergigian dan farmasi di universiti tempatan pada tahun ini. 

JAWAPAN

DIJAWAB OLEH YB DATUK ARMIZAN MOHD ALI,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL SABAH, SARAWAK DAN TUGAS-TUGAS KHAS)

Tuan Yang di-Pertua,

1. Sehingga kini, penajaan JPA bagi 4,420 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi masih diteruskan sehingga tamat pengajian pada tahun 2027.

2. Dasar penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah berdasarkan unjuran keperluan gunatenaga sektor awam dan negara. Penangguhan penajaan baharu JPA bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi mulai tahun 2023, adalah berdasarkan laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjangkakan berlaku lebihan tenaga kerja dalam bidang berkenaan bermula pada tahun 2026.

3. Selaras dengan arahan YAB Perdana Menteri, JPA dan KKM telah meneliti semula dasar sedia ada dengan mengambil kira unjuran keperluan kesemua agensi kerajaan.

4. Sehubungan itu, Kerajaan akan menawarkan penajaan dalam bidang Perubatan, Pergigian dan Farmasi. Tarikh permohonan penajaan bagi tahun 2023 akan diumumkan dalam jangka masa terdekat ini.

Sekian, terima kasih.