SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN
menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk
meningkatkan prestasi pelajar dalam membaca, mengira (matematik) dan
sains memandangkan kedudukan Programme for International Student
Assessment (PISA) Malaysia 2022 menurun lagi.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha
memastikan murid menguasai literasi, numerasi dan bidang sains
seterusnya dapat meningkatkan kualiti sistem pendidikan di peringkat
antarabangsa.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM telah dan sedang
mengambil tindakan bagi meningkatkan prestasi murid dalam literasi,
numerasi dan sains. Tindakan ini merangkumi aktiviti dan program seperti
berikut:
i. menyediakan bahan bantu belajar literasi dan numerasi untuk murid
di bawah Program Literasi dan Numerasi (PLaN);
ii. menyediakan bahan sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP)
bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik
dan Sains;
iii. meningkatkan kompetensi guru dalam kandungan dan amalan
pendekatan PdP berkaitan literasi, numerasi dan sains;
iv. mengesan keupayaan literasi dan numerasi murid; dan
v. menyediakan Kurikulum Moderasi bagi mata pelajaran Matematik
dan Sains Tahap I.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, latihan pembangunan
profesionalisme dilaksanakan secara berterusan kepada guru sekolah
rendah dan menengah bagi memastikan guru melaksanakan PdP dengan
lebih berkesan. Pembangunan kompetensi guru sekolah rendah secara
menyeluruh terutamanya dalam aspek literasi, numerasi dan sains terus
diberi penekanan supaya keupayaan murid dalam bidang ini dapat
ditingkatkan. Manakala bagi guru sekolah menengah, pengukuhan kepada
mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains
turut diberi keutamaan khususnya kepada kohort yang bakal menduduki
PISA pada masa akan datang. Pengesanan keupayaan murid dalam
literasi dan numerasi juga akan dilakukan semasa Program Transisi Murid
Tahun 1 bagi membolehkan tindakan pemulihan diambil lebih cepat.
KPM juga telah membangunkan bahan sokongan PdP khususnya
dalam bidang bacaan, Matematik dan Sains. Bahan-bahan ini dibangunkan
sebagai bahan rujukan dan panduan kepada guru ke arah meningkatkan
keupayaan murid dalam bidang tersebut dan meningkatkan kemahiran
berfikir aras tinggi (KBAT) murid. KBAT juga dilaksanakan melalui
Pentaksiran Kompetensi dan Literasi (PKL). PKL dilaksanakan kepada
murid sebagai satu inisiatif KBAT dalam konteks pentaksiran. PKL terdiri
daripada item berkaitan literasi saintifik, matematik, bacaan dan kewangan
yang melibatkan murid sekolah rendah dan menengah.
Terkini Modul Bimbingan (MOBIM) dalam bidang sains, matematik
dan bahasa telah dibangunkan. MOBIM bagi Tahun 1 telah disebarkan
pada tahun 2023 manakala MOBIM Tahun 2, Tahun 3 dan Tahap II pula
akan disebarkan mulai Mei 2024 secara berperingkat untuk kegunaan
semua guru. MOBIM bukan sahaja mengandungi cadangan aktiviti dan
panduan kepada guru, malah ia juga mengandungi contoh lembaran kerja
yang disusun secara ansur maju dan boleh diadaptasi oleh guru sesuai
dengan keupayaan murid mereka.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KPM juga sedang
membangunkan kurikulum moderasi bagi Matematik dan Sains yang
dijajarkan daripada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017)
dengan memberi penekanan kepada penguasaan kandungan asas
sebelum maju kepada kandungan yang lebih tinggi. Kurikulum moderasi
akan digunakan mulai Mac 2024 hingga tamat sesi persekolahan tahun
2026 dan pelaksanaannya akan disokong oleh MOBIM.
KPM sangat prihatin kepada penguasaan literasi, numerasi dan
kandungan sains murid. KPM yakin usaha berterusan dari semua pihak
berupaya meningkatkan penguasaan murid dan seterusnya dapat
meningkatkan kedudukan PISA pada peringkat antarabangsa.
Sekian, terima kasih.