Ahad, 13 Mac 2016

Malaysia harus bingkas daripada ‘Dutch Disease’ sebelum ia membunuh kita

Kenyataan media Yeo Bee Yin, Adun Damansara Utama pada hari Khamis 10 Mac 2016 di Petaling Jaya

Malaysia harus bingkas daripada ‘Dutch Disease’ sebelum ia membunuh kita semua.

Saya rasa bimbang membaca kenyataan akhbar Petronas bertarikh 29 Februari 2016 yang mengumumkan keuntungan selepas cukai syarikat minyak negara itu bagi tahun 2015 ialah RM21 bilion [1], 56% lebih rendah berbanding tahun 2014. Menurunnya keuntungan Petronas bukanlah sesuatu yang tidak dijangka memandangkan kita telah melihat kejatuhan harga minyak mentah sehingga 75% sepanjang 18 bulan lalu, daripada US110 satu tong, ke tahap paling rendah sejak tahun 2003 pada harga USD27 satu tong, sebelum ia kembali meningkat dan terapung pada kadar USD30 satu tong.

Apa yang meresahkan saya ialah hakikat bahawa dengan pendapatan yang begitu rendah, Petronas mungkin terpaksa mengorek simpanannya untuk menepati komitmen dividen bagi tahun 2016 sebanyak RM16 bilion kepada Putrajaya [2]. Wajar diperhatikan juga bahawa di kemuncak krisis ekonomi 2008 dan selepasnya, dividen yang dibayar oleh Petronas kepada Putrajaya masih lebih rendah berbanding pendapatannya, dengan dividen berbayar pada kadar 39.3% pada tahun 2008, 57.1% pada tahun 2009 dan 74.4% pada 2010.

Sejak Najib mengambil alih pentadbiran negara pada tahun 2009, beliau tekah menikmati tahun-tahun terbaik harga minyak. Kerajaannya telah memungut sebanyak RM426 bilion sejak 2009 sehingga 2014 daripada Petronas dalam bentuk dividen, cukai, tunai dan duti eksport (seperti jadual di bawah) berjumlah RM74 bilion pada 2009, RM57.6 bilion bagi tahun 2010, RM65.7 bilion pada 2011, RM80 bilion pada 2012, RM73.4 bilion pada 2013 dan RM75.3 bilion pada tahun 2014.

Tahun
Dividen
Cukai
Tunai
Duti eksport
Sumbangan Tahunan
2009
30
29.4
12.4
2.2
74
2010
30
18.7
8.3
0.6
57.6
2011
30
25.1
9.3
1.3
65.7
2012
28
38.3
12.5
1.2
80
2013
27
33.3
12
1.1
73.4
2014
29
32.5
12.6
1.2
75.3
Jumlah
174
177.3
67.1
7.6
426
* RM bilion. 
** Rujukan: Laporan Tahunan Petronas 2011[3] and 2014 [4].

Walaupun beliau baru sahaja menjadi Perdana Menteri sekadar 15% daripada tempoh panjang 42 tahun Petronas ditubuhkan, kerajaannya telah mengutip sekitar 50% daripada jumlah terkumpul sumbangan Petronas kepada Putrajaya sejak ia ditubuhkan pada 1974 sehingga 2014 sebanyak RM881 bilion. Namun, bagaimanakah sumbangan minyak iniditerjemahkan kepada faedah-faedah nyata kepada orang awam? Apa yang dapat kita lihat sekarang ialah belanjawan buncit Putrajaya sedangkan rakyat Malaysia sedang sengsara akibat cukai tambahan dan pemotongan subsidi melampau dalam semua segi.

Dengan kemungkinan harga minyak kekal rendah untuk satu masa yang panjang seperti ramalan pakar-pakar ekonomi dunia, Petronas mungkin akan terpaksa mengorek simpanannya untuk membayar dividen kepada Putrajaya bagi menjaga belanjawan buncit mereka sekiranya tidak ada langkah diambil.

Apa yang lebih merisaukan saya ialah bagaimana keadaan seterusnya bagi Malaysia sekiranya krisis ekonomi melanda sekarang? Pada tahun 2008, kejatuhan ekonomi turut diikuti lonjakan harga minyak, yang memberi faedah dan keuntungan kepada Petronas. Justeru, ia mampu membantu ekonomi negara di tengah-tengah kejutan ekonomi itu. Malangnya, keadaan sekarang bukan sedemikian. Malaysia hampir pasti akan menghadapi krisis ekonomi dengan kadar harga minyak yang rendah. Jika begitu, berapa sangatlah yang boleh dibantu Petronas sebelum ia sendiri tidak dapat menampung dirinya?

Adalah amat penting bagi Putrajaya untuk bersedia menghadapi tempoh kejatuhan harga minyak yang berpanjangan serta krisis ekonomi. Kerajaan mesti berjalan dengan cermat demi mengelak daripada kekayaan negara tidak dapat lagi menampung keperluan, demi kepentingan generasi akan datang.

Tempoh kejatuhan harga minyak mentah ini sewajarnya menjadi waktu yang tepat untuk menyedarkan Putrajaya dan negara untuk menggerakkan ekonomi negara melampaui minyak. Malaysia harus bingkas daripada ‘Dutch Disease’ sebelum ia membunuh kita semua.


[1] http://www.petronas.com.my/media-relations/media-releases/Pages/article/PETRONAS-PERSEVERES-THROUGH-A-DIFFICULT-2015,-.aspx
[2] https://www.energyvoice.com/other-news/102847/petronas-to-tap-into-reserves-to-meet-2016-dividend/
[3] http://www.petronas.com.my/investor-relations/Documents/annual-report/AnnualReport_FinancialStatement_2011.pdf
[4] http://www.petronas.com.my/investor-relations/Documents/Annual%20Report%202014.pdf