Selasa, 12 November 2019

Bagaimana MESTECC Memenuhi Desakan Tindakan Perubahan Iklim Tanpa Membebankan Kerajaan Dengan Dana Tambahan

Pada 10 Oktober 2019, YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan pertubuhan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGCC) di Ekspo IGEM (International Green Technology and Eco- Products Exhibition and Conference). MGCC adalah hasil daripada penjenamaan semula Malaysia Green Technology Corporate (MGTC) yang bertujuan untuk menyediakan negara supaya berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bersedia untuk menghadapi kesan perubahan iklim.

Daripada menubuhkan satu agensi baru yang akan memerlukan dana tambahan daripada kerajaan, Kementerian Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah berjaya mengoptimumkan fungsi dalaman kementerian dan menyerap fungsi pusat perubahan iklim ini ke dalam agensi sedia ada (MGTC).

Langkah ini selari komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk mengekalkan saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan kos perbelanjaan dengan mengoptimumkan aspek perkhidmatan.

Benarkah tiada peruntukan untuk perubahan iklim dalam Belanjawan 2020?

MGCC akan dibiayai melalui peruntukan semula berjumlah RM10 juta daripada penjimatan perbelanjaan MESTECC sendiri pada tahun 2019.

Kesimpulannya, bukan tiada peruntukan, tetapi kerajaan menggunakan penjimatan perbelanjaan untuk membiayai MGCC. Inilah perbezaan antara kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Pada masa yang sama, kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Nasional (MTPIN), selari dengan manifesto Pakatan Harapan.

Selain daripada peruntukan RM10 juta, MESTECC juga sedang giat membina kapasiti untuk memanfaatkan dana antarabangsa seperti Global Environment Facility (GEF) dan Green Climate Fund (GCF) dan memacu kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta di Malaysia dan organisasi antarabangsa.

Selain itu, Menteri Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin telah menyaksikan pertukaran surat kerjasama antara MGCC dan kerajaan United Kingdom pada 16 Mei 2019.

Program kerjasama selama empat tahun mengikut inisiatif United Kingdom Partnering for Accelerated Climate Transition (UK PACT) ini bertujuan untuk mengukuh, menpromosi dan membangun dasar dalam bidang perubahan iklim dan karbon rendah antara dua negara berasaskan kesaksamaan dan faedah bersama.

Program kolaborasi tersebut akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam menangani perubahan iklim seperti menjalankan kajian bagi melihat keperluan sama ada perlu diwujudkan Akta Perubahan Iklim di Malaysia serta membina keupayaan melalui perkongsian kemahiran. Kolaborasi ini juga akan membolehkan Malaysia mempelajari dan menyesuaikan “UK 2050 Pathway Carbon Calculator” ke dalam konteks Malaysia.

Pang Sock Tao
Pegawai Khas kepada YB Yeo Bee Yin

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)


Yeo Bee Yin menyaksikan pertukaran surat kerjasama antara MGCC dan wakil kerajaan dari UK di Putrajaya pada 16 Mei 2019.