PERTANYAAN BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA, PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN 
menyatakan apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk 
mengatasi masalah kesesakan sekolah di kawasan Parlimen Puchong 
(jumlah sekolah setiap 1,000 kanak-kanak di Puchong adalah terendah 
berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen yang lain di Malaysia).
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha secara 
berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah 
mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kesesakan murid di kawasan 
yang mempunyai kependudukan yang tinggi termasuk di sekitar kawasan 
Puchong adalah dalam perhatian KPM.
Dalam hal ini, KPM telah mengambil langkah yang proaktif untuk 
mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah 
tersebut. Perkara ini penting bagi memastikan murid-murid boleh belajar 
dengan selesa, kondusif dan dapat memberi fokus kepada pembelajaran 
dengan baik.
Antara langkah dan usaha yang diambil oleh pihak KPM bagi 
mengatasi masalah tersebut adalah melalui penambahan bilik darjah di 
sekolah sedia ada berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak, atau 
pembinaan sekolah baharu.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, khusus di kawasan Puchong, 
KPM telah diluluskan pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan 
Seksyen 5 Bandar Kinrara, Selangor dalam Rancangan Malaysia Ke-12, 
Rolling Plan 2 Tahun 2022. Status projek adalah di peringkat prabina.
Selain itu, KPM juga telah mengemukakan permohonan pembinaan 
sekolah baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Intan, Selangor 
untuk pertimbangan dan kelulusan agensi pusat dalam Rancangan 
Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 Tahun 2024. Walau bagaimanapun, 
kelulusan permohonan ini adalah tertakluk kepada keutamaan dan 
kedudukan kewangan kerajaan. 
KPM meyakini bahawa melalui langkah yang sedang dan akan 
dilaksanakan ini, isu kepadatan sekolah akan dapat dikurangkan dengan 
jayanya.
Sekian, terima kasih.