SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta PERDANA MENTERI
menyatakan berapa jumlah yang dibayar oleh Kerajaan kepada Putrajaya
Holdings untuk sewaan bangunan-bangunan Kerajaan di Putrajaya setiap
tahun. Beri perincian mengikut Kementerian.
JAWAPAN
YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)
Tuan Yang di-Pertua,
1. Untuk makluman Yang Berhormat, Putrajaya Holdings Sdn Bhd
(“PjH”) dan Kerajaan Malaysia telah menandatangani Government
Buildings Concession Agreement (“GBCA”) bagi pembangunan dan
sewaan bangunan Kerajaan di Putrajaya yang tertakluk kepada terma dan
syarat terkandung di dalam GBCA.
2. Secara ringkasnya, kadar sewaan yang dikenakan kepada pihak
kerajaan adalah mengikut kaedah Bina, Sewa dan Pindahmilik (Build,
Lease & Transfer) di mana kadar sewaan adalah ditentukan dengan
mengambil kira tempoh pembayaran kos pembangunan yang dibayar
selama 25 tahun daripada tarikh Sijil Penyiapan dan Pematuhan
(Certificate of Completion and Compliance).
3. Dalam hal ini, pengemukaan perincian kadar sewaan setiap
bangunan kerajaan adalah tertakluk kepada syarat kerahsiaan non
disclosure yang termaktub di dalam GBCA.
4. Oleh yang demikian, adalah wajar sekiranya maklumat terperinci
pembayaran sewaan seperti yang dipohon dimajukan secara terus
kepada Kementerian Kewangan, selaku pihak pembayar dan bagi pihak
Kerajaan Malaysia.
Sekian, terima kasih.