Sabtu, 7 Jun 2014

Insiden rogol bergilir-gilir di Kelantan

Kenyataan media oleh Yeo Bee Yin, Ahli Dewan Undangan Negeri Damansara Utama pada hari Selasa, 3 Jun 2014.

Insiden rogol bergilir-gilir di Kelantan adalah isyarat supaya bangkit menangani keganasan yang terhadap kanak-kanak dan wanita yang kian memuncak di Malaysia.

Kami sangat berdukacita dengan berita seorang remaja berusia 15 tahun yang dirogol bergilir-gilir oleh 38 orang lelaki di Ketereh, Kelantan pada 20 Mei 2014. Kes yang begitu tragis menimbulkan gerun wanita di Malaysia yang mungkin pernah melalui pengalaman keganasan yang serupa.

Pihak berkuasa mesti melakukan segala yang ia mampu untuk membawa mereka yang bertanggungjawab dalam kes ini ke muka pengadilan.

Kejadian keganasan seksual terhadap anak bawah umur ini juga mengingatkan kita kepada trend peningkatan keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita di Malaysia yang semakin menjadi-jadi.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat, bilangan kes penderaan kanak-kanak telah meningkat antara 2,789 pada tahun 2009 menjadi 3,428 pada tahun 2011 dan 3,831 pada tahun 2012.

Bagi kes rogol pula, statistik Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menunjukkan bahawa walaupun kes rogol telah menurun sedikit pada tahun 2012 berbanding waktu puncaknya pada tahun 2009, bilangannya telah meningkat dua kali ganda dalam masa sepuluh tahun; dari 1,479 pada tahun 2003 menjadi 2,998 pada tahun 2012. [1]

Kini, secara purata 8 orang gadis dirogol setiap hari di Malaysia. Ini bukan sekadar angka. Ang ini mewakili anak-anak perempuan, isteri dan bakal isteri, yang akan mendepani trauma sepanjang hayat akibat kejadian tersebut. Bukan sahaja wanita-wanita ini yang menjadi mangsa, malah keluarga mereka juga akan menerima kesan daripada tragedi tersebut.

Kami berharap Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Dato’ Rohani Abdul Karim akan ke depan dengan plan strategik untuk menangani trend yang begitu merisaukan dalam hal penderaan kanak-kanak dan kejadian rogol, dari segi pencegahan, campur tangan, penguatkuasaan dan pemulihan.

Kami juga sedia bekerjasama dengan NGO yang berkaitan dan juga pihak kerajaan untuk memainkan peranan dalam menyalamatkan kanak-kanak dan wanita daripada penderaan fizikal dan emosi serta penderaan seksual yang membinasakan.

[1] http://www.wao.org.my/Police+Statistics+on+Violence+against+Women+2000+-+2012_64_5_1.htm