Isnin, 3 April 2023

Perbahasan Belanjawan Negara 2023 - Kementerian Pendidikan Malaysia


28 Mac 2023

Saya ingin merujuk ke P63 Butiran 00102 Rendah Akademik dan 00201 Menengah Akademik, di mana ia adalah peruntukkan untuk Projek Pembangunan Semula Bangunan Daif dan Pembinaan Sekolah Baru dengan jumlah perbelanjaan lebih daripada RM 900 juta.

Tuan Pengerusi,

1.    Dari pelbagai lawatan sekolah di parlimen Puchong, saya mendapati bahawa terdapat banyak sekolah yang telah daif, kemudahan tidak mencukupi – tiada padang, dewan, makmal dll dan ada juga kelas tidak cukup kerana jumlah pelajar semakin meningkat.

2.    Kebanyakan mereka telah buat permohonan untuk memperbaiki situasi, tetapi permohonan sentiasa ditolak oleh KPM dengan alasan tiada peruntukkan.

3.    Ramai ahli parlimen telah dan akan menggesa kerajaan untuk menambah peruntukkan untuk penyelenggaraan dan pembinaan bangunan sekolah.

4.    Walaubagaimanapun, hanya menambah peruntukkan adalah tidak mencukupi, kerajaan harus meningkatkan keberkesanan perbelanjaan.

5.    Dari maklumat yang diberi oleh KPM, kos pembinaan untuk beberapa sekolah baru adalah seperti berikut: Sekolah Kebangsaan Cyberjaya, 36 bilik darjah - RM 74 juta, Sekolah Kebangsaan Setia Alam (2) 30 bilik darjah - RM 54 juta, Sekolah Kebangsaan Paya Dusun, Terengganu, 24 bilik darjah – RM 55 juta dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dudong, Sibu Sarawak, 42 bilik darjah – RM 110 juta.

6.    Jika kita kira dari segi purata, kos pembinaan satu bilik darjah adalah diantara RM 1.8 – 2.6 juta.

7.    Untuk meletakkan perspektif, kos pembinaan peruta satu bilik darjah adalah sama dengan harga satu condo mewah atau semi-D di bandar ataupun satu banglo besar di luar bandar. 

8.    Keberkesanan perbelanjaan ini adalah sangat rendah.

9.    Adakah modus operandi yang sama juga digunakan untuk penyelenggaraan sekolah?

10. Tuan pengerusi, sebelum saya pergi lebih jauh, saya ingin jelaskan bahawa ini bukan isu politik, kerana isu ini telah dibangkitkan dulu dan berlaku juga apabila pihak pembangkang menjadi kerajaan, ini isu pendidikan.

11. Dengan ini, Puchong ingin menggesa kementerian untuk mengkaji semula proses pelantikan kontraktor untuk pembinaan dan penyelenggaraan sekolah bersama dengan kementerian kerja raya.  

12. Saya juga ingin mencadangkan kementerian untuk mencari jalan lain untuk menambah dana penyelenggaraan dan pembinaan sekolah selain daripada peruntukkan kerajaan.

13. Saya beri satu contoh.

14. Di kawasan parlimen Puchong, terdapat  sejumlah 18 tapak tanah sekolah sedia ada dengan jumlah tanah 156 ekar dan setahu saya, hanya 1 sekolah baru yang dibina sejak 10 tahun yang lalu.

15. Saya percaya kawasan parlimen lain di Lembah Klang juga mengalami situasi yang sama - terdapat banyak tapak sekolah tetapi kerajaan tiada peruntukkan untuk membina sekolah baru.

16. Tapak-tapak sekolah ini telah menjadi tanah terbiar, kadang-kala telah digunakan untuk aktiviti haram.

17. Puchong ingin cadangkan kementerian untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mengenalpasti tanah yang sesuai dan boleh ditukar gunatanah dan menjual tanah yang dikenalpasti bersama secara open bidding.

18. Dana yang diperolehi daripada bidaan ini boleh dimasukkan ke tabung pendidikan negeri untuk disalurkan terus ke sekolah-sekolah di negeri tersebut bagi tujuan penyelenggaraan dan pembinaan kemudahan atau sekolah baru.

19. Dengan ini, lebih banyak sekolah boleh mendapat peruntukkan, dan untuk sekolah yang mendapat peruntukkan, boleh mendapat peruntukkan yang lebih tinggi. 

20. Di samping itu, pendidikan boleh desentralisasi sedikit ke peringkat negeri, di mana saya percaya akan memperbaiki kualiti pendidikan. 

Seterusnya, saya ingin merujuk ke B63, Butiran 030000 Operasi Pendidikan.

1.    Puchong sangat bimbang dengan kualiti pendidikan asas di Malaysia.

2.    Kalau kita tengok prestasi kita di Program for Internasional Student Assessment (PISA) yang menilai prestasi pelajar berumur 15 tahun dalam membaca, matematik dan sains, Malaysia berada di kedudukan ke-55 daripada 79 negara yang dinilai.

3.    Berbanding skor PISA Malaysia dengan negara ASEAN yang lain, kita berada di belakang Singapura, Vietnam dan Thailand.

4.    Di samping itu, mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar peralihan enrolmen di sekolah kerajaan & bantuan kerajaan dari sekolah rendah ke sekolah menengah ialah 90.9% pada tahun 2021.

5.    Ia bermaksud bahawa, daripada setiap 10 pelajar, 1 akan tercicir. 

6.    Puchong ingin tahu apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kementerian untuk memperbaiki situasi-situasi ini?

Akhirnya, saya ingin merujuk kepada B63 Butiran 062500 Biasiswa Perguruan Persekutuan dan P20 Butiran 00700 Pendidikan Guru.

Tuan Pengerusi,

1.    Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah mengenal pasti kualiti guru adalah penentu yang paling penting dalam menjayakan pendidikan.

2.    Ia memetik kajian yang menunjukkan bahawa pencapaian pelajar apabila dididik oleh guru berprestasi tinggi dan berprestasi rendah boleh mencapai 50% perbezaannya dalam tempoh 3 tahun.

3.    Di samping itu, dengan menggantikan pengetua biasa dengan pengetua cemerlang, pencapaian pelajar boleh dipertingkatkan lebih 20 peratus.

4.    Oleh itu, Puchong mengalu-alukan inisiatif kementerian untuk meringankan beban guru.

5.    Tetapi saya rasa lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan prestasi guru.

6.    Kementerian harus merombak semula struktur gaji, pelan pembangunan kerjaya dan laluan kenaikan pangkat guru untuk memberi dorongan kepada para guru yang berprestasi baik.

7.    Guru dan guru besar yang cemerlang dan yang mampu memperbaiki prestasi pelajar mesti mendapat gaji dan peluang kenaikan pangkat yang lebih baik.

8.    Secara keseluruhannya, sistem yang berasaskan merit boleh menghasilkan lebih ramai guru berprestasi tinggi dan dengan itu, pencapaian pelajar yang lebih tinggi.