Isnin, 3 April 2023

Perbahasan Belanjawan Negara 2023 - Kementerian Sains, Teknologi dan Innovatif


21 Mac 2023

1.    Saya ingin merujuk kepada Butiran 040700, Kod 40000, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) diberi peruntukkan pengurusan sebanyak RM 55 juta dan Butiran 00605 NIMB diberi peruntukkan pembangunan RM 44.13 juta. Ini bermaksud NIBM akan mendapat RM 99 juta dalam belanjawan ini.

2.    Untuk makluman dewan yang mulia ini, NIBM mendapat RM 27.5 juta dan RM 5.3 juta serta RM 30 juta dan RM 936,000 pada tahun 2022 dan 2021 masing-masing di bawah butiran dan kod yang sama. Secara keseluruhannya, ia mendapat lebih daripada RM 160 juta dalam masa 3 tahun sahaja. 

3.    Peruntukkan NIBM telah menjadi jauh lebih tinggi berbanding masa saya menjadi menteri kerana ia telah dipertanggungjawab untuk menerajui Pelan Pembangunan Vaksin Negara sejak 2020 semasa Covid-19 melanda dunia. Puchong ingin tahu perincian perbelanjaan ini. Apakah telah yang dicapai dalam masa 3 tahun ini?

4.    Pada 25 Mei 2022, NIBM telah menandatangani MOU dengan Solution Biologics Sdn Bhd (SOLBIO) dan CanSino untuk membangun bersama vaksin manusia Meningococcal, Denggi, HPV, penyakit Tangan, Kaki dan Mulut serta Zika. Puchong ingin tahu apakah status terkini kerjasama ini.

5.    Baru-baru ini, pada 23 Januari 2023, NIBM melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) menandatangani MOU bersama MVP Healthcare dan Pfizer Malaysia bagi meneroka potensi projek pembangunan ekosistem vaksin tempatan, demi kesiapsiagaan negara dalam menghadapi pandemik pada masa depan.

6.    Pada masa itu, menteri kata kerajaan masih belum lagi menentu jenis vaksin yang kita nak hasilkan. Sudah 3 tahun semenjak NIBM dipertanggungjawab dalam pembangunan vaksin manusia dan diberi peruntukkan yang cukup besar, nampaknya masih belum ada halatuju yang  jelas.

7.    Terdapat laporan yang kata kerajaan mengumumkan bahawa Malaysia bakal menghasilkan vaksin manusia menjelang tahun 2030. Adakah ia benar? Jika tidak, apakah sasaran kerajaan.

8.    Adakah kita akan fokus kepada penghasilan vaksin dalam pelan immunisasi kebangsaan seperti BCG, Hepatitis A dan B, Polio, MMR, pneumococcal dan HPV ataupun membangunkan vaksin baru seperti vaksin denggi, dan penyakit berjangkit lain yang biasa berlaku di Malaysia.

9.    Pembangunan vaksin memakan masa yang panjang dan peruntukkan yang besar, Puchong sangat bimbang bahawa NIBM tiada fokus dalam perbelanjaan dan tindakan dan akhirnya you are everything everywhere but nothing is done, dengan izin.

Seterusnya, saya ingin merujuk kepada m/s 328, Butiran 020500 Akademi Sains Malaysia (ASM)

1.    Saya ingin mendapat status terkini Malaysian Collaborative Network Platform for Disruptive Innovation (I-CONNECT) yang diterajui oleh ASM.

2.    Untuk makluman dewan ini, I-CONNECT ialah platform formal yang bertujuan untuk memangkin kerjasama R&D di kalangan empat pihak: akademia, industri, kerajaan dan NGO.

3.    Secara keseluruhannya, ia adalah untuk membangunkan ekosistem R&D&C&I (research, development, commercialization and innnovation) dalam bidang-bidang ekonomi dan sosial yang strategik di Malaysia.

4.    I-CONNECT telah dilancarkan pada 7 November 2019 di mana ASM telah mula dengan empat bidang ekonomi iaitu, “Health and Wellness”, “Fintech in Islamic Finance”, “Industry 4.0”, and “Halal Supply Chain”, dengan izin.

5.    Puchong ingin tahu adakah I-CONNECT telah ataupun akan dikembangkan ke bidang ekonomi dan sosial yang lain? Adakah peruntukkan disediakan?

Seterusya, saya ingin m/s 331, Butiran 00800 Program Penyelidikan dan Pembangunan RM 60 juta.

1.    Untuk makluman dewan yang mulia ini, MOSTI menerima peruntukkan R&D yang jauh lebih rendah daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

2.    Setakat ini, perbelanjaan dana awam R&D di Malaysia adalah berpecah-belah di banyak agensi-agensi kerajaan tanpa penyelarasan, tidak strategik serta tidak dinilai keberkesanannya.

3.    Puchong ingin tanya adakah kerajaan bersedia untuk menggunakan Research Management Agency (RMA) untuk memastikan return on investment (ROI) dana awam untuk tujuan R&D adalah tinggi dan benar-benar membantu menumbuhkan ekonomi ataupun menyelesaikan masalah sosial negara. 

4.    Puchong juga ingin mendapat status terkini Akta Sains, Teknologi dan Inovasi. Bilakah kerajaan akan bentangkan RUU untuk dibahas dan diluluskan di dewan.

Seterusnya, saya ingin merujuk kepada  B20, Butiran 040300 Malaysia Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) mendapat peruntukkan baru RM50 juta dan Butiran 040800 MAGIC RM 20 juta serta P20 Butiran 01300 Technology Park Malaysia RM 38 juta dan 08000 MAGIC RM 5 juta masing-masing.

1.    Untuk makluman dewan yang mulia ini, Technology Park Malaysia telah bergabung dengan MAGIC untuk membentuk MRANTI pada November 2021.

2.    Oleh itu, peruntukkan untuk MRANTI, MAGIC dan TPM sebenarnya adalah kepada entiti yang sama.

3.    Ini bermakna tahun ini satu agensi MRANTI akan mendapat RM 113 juta.

4.    Ini adalah jauh lebih tinggi daripada Butiran 09000, Pelbagai Suntikan Ekuiti RM55 juta dan jumlah dana R&D sebanyak RM 60 juta. Oleh itu, Puchong ingin mendapat perincian perbelanjaan MRANTI.

5.    Puchong juga ingin tahu apakah peranan Cradle dalam ekosistem technology start-up sekarang. Berapakah peruntukkan Cradle dapat untuk tahun ini? Apakah rancangan kerajaan untuk mengelakkan pertindihan dengan MRANTI?

6.    Salah satu inisiatif MRANTI ialah National Technology and Innovation Sandbox (NTIS), dimana kawal selia dilonggarkan supaya inovator boleh menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran sebenar untuk mempercepatkan proses pembangunan inovasi daripada peringkat R&D kepada komersial.

7.    Menurut laman web MRANTI daripada 650 permohonan sandbox, hanya 173 yang diluluskan, iaitu 27% daripada jumlah permohonan.

8.    Puchong ingin tahu apakah inisiatif yang diambil oleh kementerian untuk memastikan lebih banyak permohonan sandbox boleh diluluskan supaya inovasi tidak disekat daripada kekangan regulatori.

Akhirnya, Puchong ingin merujuk kepada m/s 329, Butiran 030600 Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

1.    Puchong ingin menjelas kerjasama antara MYSA dengan Serba Dinamik yang diumumkan pada March 2021. Apakah hasilnya?

2.    Secara jujurnya, saya agak terkejut dengan kerjasama ini memandangkan Serba Dinamik tiada track record dalam industri angkasa dan syarikat tersebut terbabit dalam pelbagai skandal korporat.