Isnin, 3 April 2023

Perbahasan Belanjawan Negara 2023 - Jabatan Perdana Menteri


13 Mac 2023

Saya ingin merujuk kepada m/s 105, B6 (Jabatan Perdana Menteri), 060200 Biro Pengaduan Awam.

1.    Biro Pengaduan Awam telah ditubuhkan pada tahun 1960 untuk mengendali aduan orang ramai terhadap jabatan dan agensi kerajaan.

2.      Salah satu inisiatif utama di dalam Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan 2019-2023 adalah untuk menggantikan Biro Pengaduan Awam dengan Ombudsman Malaysia untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan.

3.      Perbezaan utama antara Biro Pengaduan Awam dan Pejabat Ombudsmen ialah Biro Pengaduan Awam beroperasi di bawah kuasa Jabatan Perdana Menteri manakala Pejabat Ombudsman adalah agensi bebas dan tidak tertakluk kepada pengaruh kakitangan kerajaan mahupun campur tangan politik.

4.      Pendek kata, penubuhan Pejabat Ombudsmen boleh membina kepercayaan orang ramai terhadap institusi kerajaan dan menggalakkan tadbir urus yang baik.

5.      Oleh itu, 60 peratus negara di seluruh dunia mempunyai Institusi Ombudsman termasuk United Kingdom, Sweden, Australia, New Zealand, Hong Kong dan Thailand.

6.      Sebenarnya, penggantian BPA dengan Sistem Ombudsman bukan topik baru di Parlimen ini.

7.      Saya menyemak hansard parlimen dan mendapati bahawa cadangan ini telah dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat di dewan yang mulia ini sejak tahun 1970-an lagi.

8.      Walaubagaimanapun, ia hanya setakat cadangan di Parlimen sehingga Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada tahun 2018, di mana tindakan mula diambil.

9.      Pada 19 Oktober 2018, Jemaah Menteri Pakatan Harapan telah bersetuju dengan penetapan dasar penubuhan Ombudsman Malaysia.

10.   Dalam masa satu tahun, pada October 2019, menurut Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, draf Rang Undang Undang (RUU) Ombudsman telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara untuk semakan sebelum ia dibentangkan di parlimen.

11.   Akta Ombudsmen adalah diperlukan untuk memberi kuasa yang mencukupi kepada Pejabat Ombudsmen untuk menyiasat aduan, membuat saranan untuk tindakan pembaikan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi atau pegawai kerajaan yang gagal mematuhi saranan.

12.   Selepas itu, Langkah Sheraton berlaku.

13.   Pada 24 November 2020, di bawah Perikatan Nasional, Menteri Undang-undang masa itu, YB Kota Bahru, telah mengumum komitmen kerajaan Perikatan Nasional untuk meneruskan usaha pembentangan RUU Ombudsman dan sekali lagi kata draf RUU telah dikemukakan ke Jabatan Peguam Negara.

14.   Pada 15 September 2021, dalam jawapan bertulis parlimen, Perdana Menteri ketika itu, YB Bera, memaklumkan penyediaan draf RUU itu telah di fasa akhir dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2022.

15.   Puchong ingin tahu apakah status RUU Ombudsman sekarang?

16.   Sudah 50 tahun parlimen ini membincang penubuhan Ombudsman dan 4 tahun telah diambil untuk mendraf RUU Ombudsman oleh 3 kerajaan yang berbeza, Puchong berharap Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YB Tambun akan cross the finishing line dengan membentang RUU Ombudsman di Parlimen pada tahun ini.

17.   Perbelanjaan RM45.8 juta yang diperuntukkan untuk Biro Pengaduan Awam untuk tahun ini adalah RM 7 juta lebih tinggi daripada tahun 2022, pertambahan ini adalah cukup untuk menampung perbelanjaan awal Pejabat Ombudsman.

18.   There should be no more delay. Just do it. Dengan izin.

Seterusnya, saya ingin merujuk kepada m/s 117, B7 (Jabatan Perkhidmatan Awam), 020000, Pembangunan Sumber Manusia dan m/s 119, P7, 00500 Program Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran JPA. 

Tuan Pengerusi,  

1.    Kalau kita tengok kementerian-kementerian di Malaysia hari ini, banyak di antaranya memerlukan kepakaran dalam bidang spesifik untuk menggubal dasar yang baik ataupun menguatkuasa undang-undang di bawah tanggungjawab kementerian.   

2.    Sebagai contoh, kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim memerlukan bukan sahaja kepakaran dalam sains perhutanan, hidupan liar, hydraulik, pengalawan pencemaran dan perubahan iklim, ia juga perlu kepakaran dan pengalaman dalam perjanjian antarabangsa seperti Konvensyen Basel dan Perjanjian Paris.

3.    Kementerian Pengangkutan pula memerlukan pakar dalam pengangkutan awam untuk merancang rangkaian rel dan bas yang baik manakala MITI perlu pakar dalam perjanjian perdagangan bebas. JKR juga perlu ramai pakar dalam engineering design.

4.    Banyak lagi contoh seperti ini.

5.    Sejak Disember 2016, kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Kemajuan Kerjaya Laluan Pakar Bidang Khusus (Subject Matter Expert - SME) dalam JPA.

6.    Melalui laluan SME, Kerajaan mengiktiraf pegawai yang memiliki keupayaan intelektual, kepakaran yang tinggi dan berpengalaman luas dalam bidang kepakaran tertentu serta boleh menjadi sumber rujukan dalam dan luar organisasinya.

7.    Ini adalah inisiatif yang baik.

8.    Walaubagaimanapun, dari perhatian saya apabila saya menjadi menteri MESTECC di mana banyak bidang teknikal terlibat, pegawai SME adalah masih tidak mencukupi.

9.    Menurut website JPA, setakat 31 October 2022, hanya 96 pegawai SME yang ada dalam perkhidmatan.

Untuk makluman dewan yang mulia ini,

10. Saya pernah menghadapi situasi di mana pegawai yang mempunyai kepakaran dalam Konvensyen Basel berada di kementerian lain apabila MESTECC sedang berdepan masalah sisa plastik import haram dan memerlukan kepakaran dalam pengendalian Konvensyen Basel.

11. Saya juga pernah jumpa pegawai yang mendapat biasiswa JPA untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang marin biologi di luar negara, tetapi apabila balik ke Malaysia, dia bekerja di kementerian-kementerian yang tidak berkaitan dengan marin biologi.

12. Adakah pengurusan seperti ini membawa return on investment, ROI, yang baik untuk perbelanjaan biasiswa JPA?

13. Akibat kekurangan pegawai SME, kerajaan terpaksa bergantung kepada perunding swasta luar yang mahal dalam menggubal dasar yang memerlukan kepakaran yang lebih luas dan mendalam.

14. Berjuta-juta ringgit kita bayar perunding swasta untuk menghasilkan master plan ataupun roadmap yang kadang-kadang tidak praktikal dan tidak mendapat ownership pegawai-pegawai kerajaan.

15. Tambahan lagi, kita juga hilang institutional memories yang penting jika kita sentiasa memindahkan kakitangan dari satu kementerian ke kementerian di bawah Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).

16. Pengurusan seperti ini adalah tidak sesuai untuk bidang-bidang yang memerlukan pengetahuan teknikal yang mengambil masa untuk membina.

17.  Dengan itu, Puchong mencadangkan kerajaan untuk memperbaiki Inisiatif Kemajuan Kerjaya Laluan SME untuk meningkatkan jumlah pegawai SME di bidang-bidang yang penting dalam membina negara.

18. Untuk menggalakkan lebih pegawai kerajaan yang berbakat untuk memilih laluan kerjaya SME, kerajaan perlu memastikan peluang kenaikan pangkat dan semakan gaji adalah lebih baik daripada sekarang.

19. Dengan laluan kerjaya SME yang betul, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepakaran pihak luar dan membawa penjimatan kos pada masa akan datang.