Isnin, 3 April 2023

Perbahasan Belanjawan Negara 2023 - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat


23 Mac 2023

Saya ingin Merujuk kepada Butiran 020200 Pembangunan Wanita

Tuan Pengerusi,

1.    Walaupun wanita di Malaysia telah mendapat pendidikan yang lebih tinggi daripada generasi sebelumnya, kadar penyertaan tenaga kerja wanita sekarang hanya di lingkungan 55% - hanya sedikit peningkatan berbanding dengan 20 tahun dahulu.

2.    Menurut UNDP, jika kita dapat meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja kepada 70%, kita boleh meningkatkan KDNK negara sebanyak 2.9%.

3.    Oleh itu, adalah penting kerajaan ada rancangan yang lebih strategik untuk memastikan lebih ramai wanita bekerja.

4.    Walaubagaimanapun, Kementerian perlu memastikan bahawa inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja  tidak menjadi counterproductive, dengan izin.

Tuan Pengerusi,

5.    Akta Kerja telah pun dipinda tahun lepas dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2023. Antara pindaannya ialah cuti bersalin bergaji telah ditingkatkan dari 60 hari ke 98 hari.  Ini adalah berita baik untuk wanita-wanita yang bekerja.

6.    Walaubagaimanapun, Puchong khuatir bahawa jika kita hanya meminda undang-undang tetapi tidak mengambil langkah untuk membantu PMKS untuk membuat transition, wanita muda yang baru kahwin mungkin akan mengalami diskriminasi senyap dalam proses pengambilan pekerja.  

7.    Dengan itu, Puchong ingin mencadangkan kerajaan untuk memberi subsidi gaji kepada PMKS untuk bulan ke-3 cuti bersalin.

Tuan Pengerusi,

8.    Pelbagai laporan telah menunjukkan bahawa sebab utama wanita tercicir dari tenaga kerja ialah untuk menjaga anak-anak mereka.

9.    Oleh itu, polisi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak (early childhood care and education, ECCE) adalah kritikal.

10. Tambahan lagi, James Heckman, Pemenang Nobel dalam Ekonomi, telah membuktikan secara statistik bahawa perbelanjaan dana awam dalam ECCE membawa kadar ROI paling tinggi dalam pembangunan modal insan.

11. Ini membawa perbincangan saya ke butiran seterusnya, Butiran 020100 Kebajikan Masyarakat.

12. YB Tambun telah mengumumkan bahawa Jabatan Pembangunan Kanak-kanak akan diwujudkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

13. Puchong ingin tahu berapakah peruntukkan yang akan disalurkan untuk tpenubuhan jabatan pembangunan kanak-kanak ini dan ada tak peruntukkan untuk pembaharuan ECCE?

Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini,

14. Pada masa ini negara kita belum ada satu polisi ECCE yang komprehensif.

15. Terdapat sebanyak empat kementerian yang terlibat dalam ECCE – Kementerian ini jaga TASKA, Kementerian Pendidikan jaga Tadika, Kementerian Pembangunan Desa jaga Tabika KEMAS dan Kementerian Perpaduan jaga Tabika Perpaduan.

16. Dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak, Puchong berharap bahawa semua inisiatif ECCE kerajaan boleh diselaraskan.

Tuan Pengerusi,

17. Insentif yang sedia ada sekarang di mana ibubapa yang menghantar anak ke TASKA dan TADIKA mendapat pengecualian cukai sebanyak RM3,000 adalah tidak mencukupi untuk membangunkan ECCE.

18. Puchong ingin mencadang kementerian untuk belajar dari Singapura, Australia, Finland dan negara-negara Scandinavia yang lain.

19. Kemudahan ECCE di negara-negara ini kebanyakannya dikendalikan oleh pihak swasta pada harga yang kompetitif dan dikawalselia oleh kerajaan dengan baik.

20. Yang paling penting, kerajaan memberi subsidi ECCE berperingkat dengan jumlah subsidi bergantung kepada tahap pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

21. Pusat ECCE swasta yang ingin menjadi sebahagian daripada sistem subsidi mesti memenuhi keperluan tertentu yang ditetapkan oleh kerajaan bagi menjaga kualitinya.

22. Secara keseluruhannya, dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak, Puchong sangat berharap terdapat pembaharuan yang baik dan bermakna untuk pembangunan ECCE di Malaysia.