20 Mac 2024, Rabu
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan pencapaian dasar kerjasama swasta-kerajaan dalam memperkasa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti diumumkan di Belanjawan 2023 :
a) berapakah institusi dan kursus TVET yang telah melibatkan pihak swasta. Senaraikan; dan
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) selaku Sekretariat Majlis TVET (MTVET) giat meneroka peluang kerjasama melibatkan syarikat berkaitan kerajaan dan swasta melalui pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) dalam usaha meningkatkan dan melibatkan lebih banyak pihak industri dalam pelaksanaan program TVET dan seterusnya merealisasikan transformasi program TVET negara sebagai mana yang diberi penekanan oleh Kerajaan.
2. MoC berkonsepkan payung kerjasama ini menjadi penghubung yang dapat dimanfaatkan oleh institusi TVET awam dalam membuka ruang kerjasama erat bersama pihak industri. Bagi tahun 2023, sebanyak 60 MoC telah berjaya dimeterai yang memanfaatkan seramai 311,405 orang pelajar yang terlibat dalam 4,162 kursus yang ditawarkan di 669 buah institusi.
3. MoC ini melibatkan kerjasama dalam pelbagai cakupan bidang seperti teknologi automotif, teknologi minyak dan gas, teknologi telekomuniksi yang melibatkan syarikat seperti PETRONAS Berhad, DRB-HICOM Berhad, FGV Holdings Berhad, Bermaz Auto Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.
4. Skop kerjasama melalui pemeterian MoC ini melibatkan komponen utama iaitu perkongsian kepakaran industri bagi tujuan pembangunan kurikulum dan rekabentuk penyampaian latihan, dan peningkatan kemahiran tenaga pengajar melalui inisiatif dengan izin Train of Trainers (ToT). Selanjutnya, kerjasama turut melibatkan perkongsian mahupun sumbangan peralatan berteknologi terkini kepada institusi TVET bagi memastikan berlakunya pemindahan ilmu dan kemahiran yang selari dengan keperluan semasa industri.
Sekian, terima kasih.