18 Mac 2024, Isnin
SOALAN
Puan Yeo Bee Yin [ Puchong ] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA 
DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan rancangan berkenaan dengan 
elektrik yang dihasilkan oleh combined cycle gas turbine power plant di 
Maharani Energy Gateway (MEG). Adakah ia akan digunakan sendiri 
(SELCO), dijual kepada TNB melalui power purchase agreement (PPA), 
ataupun dijual ke Single Buyer melalui New Enhanced Dispatch 
Arrangement. 
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Kerajaan komited untuk memastikan sumber tenaga elektrik negara 
dapat dibekalkan dengan mencukupi (security), secara lestari (sustainable) 
dan pada kadar harga yang mampu ditanggung oleh pengguna 
(affordable). Oleh yang demikian, Kerajaan telah merangka pelbagai 
perancangan ke arah mencapai sasaran ini.
2. Di peringkat Kementerian, Jawatankuasa Perancangan, 
Pelaksanaan dan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) telah 
ditubuhkan selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 
Mac 2007. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh YB Menteri yang 
bertanggungjawab dalam pembekalan elektrik negara dan dilaksanakan 
sekurang-kurangnya satu kali dalam tempoh setahun.
3. JPPPET berperanan menentukan perancangan pembekalan tenaga 
elektrik serta hala tuju industri bekalan elektrik negara, yang merangkumi 
Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.
4. Berhubung cadangan projek combined cycle gas turbine power plant 
di Maharani Energy Gateway (MEG) ini, pihak Kementerian dan 
Suruhanjaya Tenaga tidak mempunyai sebarang maklumat yang sahih 
selain daripada apa yang dipaparkan di dalam akhbar tempatan. Oleh itu, 
adalah tidak wajar untuk PETRA memberi sebarang ulasan berkaitan 
cadangan tersebut. Dalam hal ini, PETRA ingin mengingatkan mana-mana 
syarikat yang ingin terlibat dalam sektor tenaga mestilah melalui proses dan 
prosedur yang ditetapkan sejajar dengan peraturan semasa yang dikawal 
selia oleh Suruhanjaya Tenaga. 
5. Sebarang perancangan pembinaan projek loji janakuasa hendaklah 
selari dengan kapasiti penjanaan yang diperlukan di dalam negara. 
Pertambahan kapasiti penjanaan bekalan elektrik yang tidak mengikut 
Pelan Pembangunan Penjanaan yang telah diluluskan akan menyebabkan 
kadar rizab margin meningkat kepada kadar yang lebih tinggi dan ia akan 
memberi kesan kepada kos keseluruhan pembekalan elektrik, seterusnya 
kos ini akan dilepaskan di dalam tarif elektrik kepada pengguna.
6. Selain itu, kaedah perolehan bagi kapasiti penjanaan baharu melalui 
proses bidaan terbuka adalah merupakan langkah terbaik bagi 
memperolehi tawaran tarif yang lebih kompetitif, pemilihan syarikat yang 
berpengalaman, lokasi loji yang strategik dan penggunaan teknologi yang 
lebih efisien.
7. Sebagaimana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, Kerajaan pada 3 
Mei 2023 telah bersetuju supaya kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu 
(TBB) ditingkatkan kepada kira-kira 70% menjelang tahun 2050 bagi 
mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada negara, selain menarik 
minat syarikat-syarikat multinasional, khususnya syarikat-syarikat RE100 
untuk beroperasi di negara ini. Oleh itu, fokus Kerajaan pada masa ini 
adalah untuk mempertingkatkan sumber penjanaan tenaga elektrik 
daripada sumber TBB yang lebih mesra alam dan lestari.
Sekian, terima kasih.