SOALAN 
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN 
menyatakan status terkini suntikan HPV bagi remaja perempuan berusia 
13 untuk kohort 2020, 2021, 2022 dan 2023 serta perolehan vaksin HPV 
yang telah diperuntukkan RM120 juta untuk tahun 2023. 
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada tahun 2021 Kementerian Kesihatan Malaysia tidak dapat 
membuat perolehan bekalan vaksin HPV ekoran gangguan bekalan 
vaksin HPV peringkat global dan ini telah mengganggu pelaksanaan 
pemberian imunisasi HPV kepada murid perempuan sekolah Tingkatan 1 
atau remaja perempuan 13 tahun bermula tahun 2021.
2. Menggunakan baki stok vaksin pada tahun 2020, seramai 34,933 
orang daripada seramai 222,084 (15.7%) orang murid perempuan 
tingkatan 1 kohort 2021 telah menerima dos 1 vaksin HPV. Pada tahun 
2022 pula, disebabkan harga vaksin HPV diperingkat global telah 
meningkat sebanyak 6 kali ganda, KKM hanya boleh membuat perolehan 
sebanyak 100,000 dos vaksin HPV pada Disember 2022. Kesemua 
vaksin tersebut telah diagihkan ke negeri untuk diberikan kepada murid 
perempuan tingkatan 1 kohort 2021 yang belum menerima vaksin. Oleh 
yang demikian bilangan murid perempuan Tingkatan 1 kohort 2021 yang 
telah menerima dos vaksin HPV adalah seramai 102,729 orang daripada 127,020 (80.88%) orang murid perempuan tingkatan 3 yang telah 
mendapat kebenaran ibu bapa / penjaga.
3. Kementerian Kesihatan komited untuk memastikan semua murid 
perempuan kohort 2021, kohort 2022 dan kohort 2023 akan menerima 
vaksin HPV sebelum mereka menamatkan persekolahan. Keutamaan 
pemberian vaksin HPV adalah kepada murid perempuan kohort 2021 
yang sekarang sedang berada di tingkatan 3 terlebih dahulu dan apabila 
keseluruhan kohort ini selesai, vaksin akan mula diberikan kepada murid 
kohort 2022 dan seterusnya kepada murid kohort 2023, bergantung 
kepada jumlah vaksin yang dapat diperolehi pada tahun semasa.
4. Pada masa ini perolehan vaksin sedang dalam proses penilaian dan 
proses perolehan vaksin HPV ini juga telah mengambil kira Proses 
Perolehan Kerajaan selaras Pelaksanaan Comprehensive and 
Progressive Agreement For Trans-Pacific Partnership (CPTPP).
5. Kementerian Kesihatan menjangkakan penerimaan bekalan vaksin 
HPV akan bermula selewat-lewatnya pada Jun 2024.
Sekian, terima kasih.