Selasa, 22 Oktober 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air | 22 Oktober 2024

22 Oktober 2024, Selasa


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR menyatakan:

(a) sebab respon kurang memberangsangkan dalam bidaan yang diadakan oleh Energy Exchange (Enegem) bagi tenaga boleh baharu (TBB) eksport ke Singapura; dan

(b) langkah yang diambil untuk memperbaiki respon pemain TBB dan meningkatkan daya tarikan TBB Malaysia di pasaran Singapura. 

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi bidaan bagi projek rintis pembekalan tenaga boleh baharu (TBB) merentas sempadan ke Singapura telah dilaksanakan melalui Energy Exchange Malaysia atau ENEGEM. Sebanyak 16 syarikat yang layak dari Singapura telah mendaftarkan minat untuk menyertai proses bidaan ini.

2. Daripada jumlah tersebut, hanya 3 syarikat yang berjaya memenuhi semua syarat untuk menyertai bidaan atas talian pada 16 Jun 2024. Bekalan elektrik hijau berjumlah 100MW telah berjaya dibida oleh 2 syarikat dari Singapura dan proses untuk memuktamadkan perjanjian pembekalan elektrik merentas sempadan sedang dilakukan.

3. Dalam melaksanakan perdagangan TBB merentas sempadan ini, Kerajaan mengambil pendirian untuk memastikan kepentingan dan manfaat kepada negara adalah terpelihara dan terjamin. Oleh itu, keutamaan akan diberikan untuk memastikan keperluan bekalan elektrik hijau dalam negara, yang dijangka meningkat dapat dipenuhi terlebih dahulu.

4. Pada masa yang sama, fokus negara juga adalah untuk menarik pelaburan bernilai tinggi yang memerlukan bekalan elektrik hijau termasuk dari Singapura ke negara ini, terutamanya ke kawasan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura atau Johor Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), bagi mewujudkan peluang ekonomi dan menjana sumber kekayaan baharu dalam pelbagai bidang ekonomi kepada rakyat termasuk pemain industri TBB tempatan.

Sekian, terima kasih.