Khamis, 17 Oktober 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup | 17 Oktober 2024

17 Oktober 2024, Khamis


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN KOS SARA HIDUP menyatakan adakah Kementerian akan membentangkan "Lemon Law" bagi lebih melindungi hak pengguna terutamanya pembeli kereta. Jika ya, apakah perkembangan pendrafan. 

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law di Malaysia sejak Jun 2024. Antara gerak kerja kajian yang sedang berjalan meliputi:

1. Analisis mendalam berkaitan akta dan peraturan sedia ada yang berkaitan dengan Lemon Law di Malaysia;

2. Analisis konteks akta dan peraturan di Malaysia dan perbandingan perundangan dengan negara-negara terpilih iaitu Filipina, Singapura, Republik Korea, Amerika Syarikat dan Kanada (Quebec) yang mengamalkan perundangan Lemon Law;

3. Bengkel dan temu bual bersama pihak yang berkepentingan yang terdiri daripada Kementerian seperti Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Agensi kerajaan seperti Malaysia Automotive Robotics & IoT Institute (MARii), NGO Kepenggunaan, Syarikat dan Persatuan Automatif; dan

4. Sesi khas bersama Department of Trade and Industry Phillipines (DTI) untuk perkongsian pengalaman tentang pelaksanaan ‘Lemon Law’ di negara mereka.

Kajian kini telah berada di fasa akhir, dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kajian Perundangan Berkaitan Lemon Law telah mengarahkan pasukan perunding untuk membuat komponen kajian tambahan berkaitan beberapa cadangan baharu terhadap kajian. Dengan komponen tambahan yang digariskan, disasarkan laporan penuh kajian dibentangkan kepada Kementerian pada bulan November 2024.

Kajian tersebut akan diguna pakai sebagai asas pertimbangan untuk menggariskan keputusan dasar di peringkat Kementerian bagi menetapkan hala tuju penambahbaikan kerangka perundangan, sebelum sebarang syor diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Sekian, terima kasih.