Isnin, 28 Oktober 2024

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2024 kepada Menteri Kewangan | 28 Oktober 2024

28 Oktober 2024, Isnin


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan:

(a) berapa jumlah yang telah dilabur ke Fashion Valet oleh Khazanah, PNB dan jika ada Syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) lain ; dan 

(b) jumlah kerugian akibat penurunan nilai dan penjualan saham Fashion Valet.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

(a) Pada tahun 2018, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah : RM27 juta, PNB : RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet).

Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada mandat Khazanah pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan dan mendapatkan pendedahan kepada tesis pelaburan dalam sektor e-dagang yang kian berkembang. Pada masa yang sama, tesis pelaburan PNB adalah untuk menyokong syarikat runcit digital Bumiputera yang sedang berkembang pesat untuk menjadi platform runcit serantau bagi jenama jenama Malaysia. Pelaburan Khazanah dan PNB disalurkan ke dalam syarikat Fashion Valet untuk menyokong rancangan pertumbuhan perniagaan.

(b) Namun, berikutan pandemik COVID-19 dan pasaran pengumpulan dana yang mencabar, perniagaan syarikat Fashion Valet telah terjejas teruk dan lanjutan daripada itu, Fashion Valet memerlukan modal baharu yang besar untuk meneruskan operasi. Pada akhir tahun 2023, sebuah syarikat Bumiputera iaitu NXBT Partners telah menawarkan untuk mengambil alih pegangan saham sedia ada Khazanah dan PNB di dalam Fashion Valet dan menyuntik modal yang diperlukan ke dalam syarikat tersebut. Sehubungan itu, kesemua pemegang saham telah bersetuju menerima tawaran tersebut.

Penjualan ini merupakan langkah keluar yang bertanggungjawab oleh Khazanah dan PNB daripada Fashion Valet kepada pelabur strategik yang akan dapat terus membantu Fashion Valet untuk menyelesaikan keperluan pembiayaannya secara holistik dan mengembangkan semula perniagaan dalam keadaan industri yang mencabar. Khazanah dan PNB telah menerima RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham tersebut. Jumlah kerugian daripada penjualan saham Fashion Valet adalah amat kecil berbanding keseluruhan pendapatan yang dijana oleh Khazanah dan PNB pada tahun berkaitan.

Sekian, terima kasih.