1. Terima
kasih Tuan Yang di-Pertua
kerana memberi ruang kepada Jawatankuasa Pilihan (JKP) Wanita, Kanak-kanak dan
Pembangunan Masyarakat untuk memberi penerangan di
Dewan yang mulia ini.
i. Penjagaan
dan Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia (dibentangkan pada 19 Ogos 2025);
dan
ii. Buli
dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Malaysia (dibentangkan pada 26 Ogos 2025).
3. Jawatankuasa telah mengadakan
penerangan pengerusi berkenaan penyata Buli dalam Kalangan Pelajar Sekolah di
Malaysia pada 27 Ogos 2025 (Rabu) di Dewan Rakyat. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua juga, Jawatankuasa telah menganjurkan satu
Townhall Hentikan Buli: Suara Rakyat, Tanggungjawab Kita pada 10 September 2025
(Rabu).
4. Bagi Penyata Penjagaan dan
Pendidikan Awal Kanak-kanak di Malaysia, Jawatankuasa ini telah mengadakan
sebanyak 13 sesi libat urus melibatkan Kementerian, Jabatan, pakar rujuk
Universiti serta pertubuhan bukan kerajaan seperti berikut:
i.
Kementerian Pendidikan (KPM)
ii.
Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS)
iii.
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional
(JPNIN)
iv.
Jabatan Perancangan Bandar dan Desa
(PLANMalaysia)
v.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
vi.
Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak
Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
vii.
Universiti SEGi
viii.
Persatuan Pengasuhan Perkembangan Awal
Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM)
ix.
Persatuan Montessori Malaysia
x.
Dignity for Children Foundation
xi.
World Bank Group
5. Jawatankuasa juga telah mengadakan
lawatan kerja ke Singapura pada 17 hingga 20 Jun 2025 dalam melihat dengan
lebih mendalam penjagaan dan pendidikan awal yang dilaksanakan di sana.
6. Jumlah kanak-kanak di Malaysia (bawah 18
tahun) adalah seramai 9.14 juta.
7. Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA)
merupakan institusi penjagaan kanak-kanak bawah umur 4 tahun, berdaftar di
bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA)
adalah institusi bagi kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun berdaftar di
bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
8. Tiga akta utama yang mengawal operasi
institusi ini:
i.
Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta
308]
ii.
Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506]
iii.
Akta Pendidikan 1996 [Akta 550]
9. Pembentukan insan yang berdaya saing dan
berakhlak mulia harus bermula sejak usia awal. Pendidikan awal kanak-kanak
merupakan asas penting dalam mencorak masa depan individu dan negara.
10. Kajian
Heckman Curve dan analisis kos-manfaat menunjukkan pelaburan dalam pembangunan
awal kanak-kanak akan menghasilkan pulangan tertinggi kepada masyarakat pada
masa akan datang.
11. Setelah meneliti secara mendalam isu-isu yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat-mesyuarat serta lawatan kerja yang telah dijalankan, kami ingin berkongsi beberapa perkara utama yang telah dikenal pasti untuk sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak, early childhood care and education (ECCE).
12. Pertama, sektor pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia masih berdepan dengan cabaran besar dari segi dasar dan tadbir urus.
13. Secara keseluruhannya, negara kita tiada dasar yang menyeluruh dan akta khusus bagi penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
14. Selain itu, terdapat pertindihan fungsi antara pelbagai agensi.
15. Yang paling penting, sektor ini menghadapi kekurangan peruntukan berbanding dengan sektor pembangunan modal insan yang lain seperti sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi mahupun latihan pekerjaan.
16. Cabaran kedua ialah proses pelesenan dan pengawalseliaan taska dan Tadika yang merumitkan.
17. Peraturan pelesenan dan garis panduan premis adalah tidak seragam dan berbeza di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza dan birokrasi adalah sangat membebankan.
18. Ini telah menyulitkan pematuhan undang-undang oleh pengusaha-pengusaha taska dan tadika dan menyebabkan kadar pendaftaran taska dan tadika swasta yang rendah.
19. Kita perlu sedar bahawa kadar pendaftaran yang rendah akan meningkatkan risiko keselamatan terhadap kanak-kanak.
20. Cabaran ketiga ialah tenaga kerja dalam sektor pendidikan awal masih belum diberi laluan kerjaya yang jelas.
21. Ini telah menyebabkan kekurangan tenaga kerja berkualiti dan ketidakseragaman dalam kelayakan penjaga/guru (educarer) pendidikan awal kanak-kanak.
22. Cabaran keempat yang kami dapati ialah pengusaha pendidikan awal swasta yang menawarkan yuran mampu milik sedang menghadapi tekanan kewangan yang serius.
23. Kos operasi yang tinggi, pelbagai levi dan caruman agensi, serta tiadanya subsidi daripada kerajaan telah menjejaskan kelangsungan operasi mereka.
24. Untuk menangani masalah kos, mereka hanya boleh memilih antara meningkatkan yuran di mana ia akan membebankan ibubapa, ataupun menghadapi kerugian.
25. Akhir sekali, kami ingin menekankan bahawa masih wujudnya jurang ketara dari segi akses, kualiti, dan kemudahan pendidikan awal antara kawasan bandar dan luar bandar serta antara penyedia awam, swasta mampu milik dan swasta.
26. Dalam masa yang sama, cabaran berkaitan kekurangan zat makanan dan kadar bantut dalam kalangan kanak-kanak turut membimbangkan.
27. Inilah antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian segera. Sehubungan itu, Jawatankuasa telah mengemukakan beberapa syor-syor dalam penyata ini.
28. Terdapat ENAM syor utama yang dikemukakan seperti yang berikut:
29. Secara keseluruhannya, Jawatankuasa mengesyorkan supaya satu akta khusus digubal bagi mengawal selia dan membangunkan sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang berumur 0 hingga 6 tahun di Malaysia.
30. Kami juga mengesyorkan supaya tanggungjawab kawal selia dan pembangunan bagi sektor penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak diletakkan di bawah SATU agensi seperti Early Childhood Development Authority (ECDA) di Singapura.
31. Selain itu, kami mengesyorkan supaya Majlis Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kebangsaan ditubuhkan untuk menyelaras agenda penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak merentasi kementerian.
32. Jawatankuasa ini memandang berat
kekurangan peruntukkan sektor pendidikan awal yang serius, kami berharap
Kementerian Kewangan boleh merombak semula peruntukkan pembangunan modal insan
dan memastikan jumlah peruntukan awam bagi sektor penjagaan dan pendidikan
awal kanak-kanak sekurang-kurangnya 0.5 peratus daripada KDNK.
33. Cadangan-cadangan perluasan
peruntukan adalah untuk tujuan yang berikut:
i. Memberi geran tetap tahunan kepada pengusaha Taska dan Tadika swasta yang tidak berorentasikan keuntungan dan mampu milik yang layak;
ii. Menyediakan premis pendidikan awal kanak-kanak awam yang mencukupi;
iii. Mewujudkan skim insentif kewangan dan bukan kewangan kepada Taska dan Tadika yang berdaftar;
iv. Memperluaskan subsidi yuran Taska dan Tadika kepada keluarga yang layak;
v. Menyelaras dan meningkatkan kualiti skim latihan pengasuh dan pendidik awal kanak-kanak (educarer) bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme mereka; dan akhirnya
vi. Meningkatkan kadar bantuan makanan bagi prasekolah mengikut kadar semasa, khususnya Jawantakuasa mencadangkan supaya bantuan makanan di prasekolah di Sabah dan Sarawak dinaikkan kepada RM5 per kapita setiap hari dengan segera.
34. Selain itu, Jawatankuasa ini juga mengesyorkan supaya semua Tabika Perpaduan di bawah Jabatan Perpaduan diserap masuk di bawah KPM bagi mengoptimumkan sumber kerajaan.
35. Akhir sekali, dua lain-lain syor yang turut diketengahkan di penyata adalah seperti yang berikut:
i. Jawatankuasa mengesyorkan supaya PLANMalaysia di bawah KPKT dengan kerjasama KPM dan KPWKM menyemak semula Garis Panduan Perancangan dan Penubuhan Tadika dan Taska yang sedia ada dengan mengambil kira kos, tempoh masa dan birokrasi bagi meningkatkan kadar pendaftaran Tadika dan Taska.
ii. Jawatankuasa juga mengesyorkan supaya KPM menetapkan dan menyelaras standard kelayakan dan persijilan semua guru pendidikan awal kanak-kanak di bawah KPM, KEMAS dan Jabtan Perpaduan bagi menyelaraskan mutu serta tahap profesionalisme secara menyeluruh merentas agensi.
36. Secara ringkas, pendidikan awal kanak-kanak memerlukan pendekatan yang menyeluruh.
37. Jawatankuasa berharap dengan usaha-usaha ini, kita dapat membentuk satu ekosistem penjagaan dan pendidikan awal yang lebih inklusif, berkualiti dan mampan.
38. Matlamatnya adalah jelas, iaitu memastikan no child left behind dan perkembangan holistik setiap kanak-kanak di Malaysia bagi mewujudkan generasi masa depan yang berdaya saing dan sekaligus memacu kemajuan negara.
39. Sekian sahaja, terima kasih.