28 OGOS 2025 (KHAMIS)
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan :
a. sebab One&Only Desaru tidak diteruskan. Berapakah kerugian/keuntungan One&Only Desaru setiap tahun sejak pembukaannya dan bagaimana pula dengan prestasi hotel-hotel lain yang dimiliki Khazanah di Desaru
b. berapakah pelaburan Khazanah setakat ini bagi pembangunan bersepadu Desaru dan apakah rancangan seterusnya.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Sejak Jun 2025, Mandarin Oriental telah mengambil alih One&Only Desaru sebagai pengendali hotel (hotel operator) tersebut. Pengambilalihan oleh Mandarin Oriental ini dijangka dapat menambahbaik prestasi hotel ini yang mana akan dijenamakan semula secara rasmi sebagai Mandarin Oriental Desaru Coast bermula Januari 2026.
2. Walaupun pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada industri pelancongan dan menjejaskan trajektori pertumbuhannya, namun, sejak pembukaan semula sempadan, Desaru Coast menunjukkan pemulihan kukuh dengan kadar penginapan dan ketibaan pelawat yang memberangsangkan. Pengambilalihan pengurusan hotel oleh Mandarin Oriental dilihat sebagai langkah strategik Khazanah dalam tempoh jangka panjang yang menyumbang kepada pertumbuhan mampan ekonomi negara, untuk merangsang sektor pelancongan mewah serta menarik pelaburan swasta dan peluang ekonomi kepada komuniti setempat, serta seterusnya dapat meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang menarik. Pada masa ini, Desaru Coast menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 1,500 individu, yang mana 98% daripadanya terdiri daripada warganegara Malaysia.
3. Desaru Coast bermula pada tahun 2011 dengan visi untuk membangunkan semula pesisir tenggara Johor sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa dan pemacu pertumbuhan ekonomi setempat. Destinasi ini kini menawarkan rangkaian tempat peranginan (resort) mewah, dua (2) padang golf kejohanan, pusat persidangan bertaraf antarabangsa serta kemudahan lengkap dengan akses langsung ke Singapura, hab transit utama rantau ini.
4. Khazanah telah melabur lebih RM4.0 bilion dalam pembangunan bersepadu Desaru Coast, merangkumi aset pelancongan strategik dan infrastruktur di bawah fasa pertama, yang dibuka secara berperingkat pada tahun 2018 dan 2019.
5. Pembangunan ini juga tidak terkecuali daripada menerima kesan pandemik COVID-19 namun, Desaru Coast menunjukkan pemulihan kukuh dengan kadar penginapan dan ketibaan pelawat yang memberangsangkan. Bermula tahun 2023, Desaru Coast telah memasuki fasa pertumbuhan baharu dengan penyertaan pelabur pihak ketiga yang sehaluan. Dalam tempoh lima (5) tahun akan datang, pembangunan akan merangkumi tambahan bilik hotel, resort,kediaman berjenama dan kemudahan pelancongan lain.
6. Desaru Coast juga dijangka meraih manfaat daripada pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), yang bakal merancakkan lagi pembangunan dan daya saing destinasi ini di peringkat serantau. Dengan itu, Khazanah akan terus memainkan peranan dalam memastikan pembangunan Desaru Coast kekal inklusif, mampan dan memberi pulangan jangka panjang kepada negara.
Sekian, terima kasih.