1. Terima kasih Datuk Speaker izinkan Puchong untuk berbahas peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri.
2. Puchong ingin bermula dengan B1 Parlimen, kepala 010000 Urusan Parlimen.
3. Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan kerana telah membawa RUU Perkhidmatan Parlimen yang juga telah diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.
4. Akta ini menggantikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang asal yang telah dimansuhkan pada tahun 1992.
5. Selepas 33 tahun, kerajaan perpaduan menunjukkan political will yang cukup kuat untuk mengembalikan autonomi kepada Parlimen, di mana perkhidmatan parlimen sekarang menjadi entiti yang berasingan daripada perkhidmatan awam dan Parlimen mempunyai autonomi untuk menguruskan bajet sendiri.
6. Akta ini akan mengukuhkan demokrasi negara kita dengan mewujudkan semak dan imbang antara legistif dan eksekutif yang lebih kuat.
7. Walaupun akta ini telah diwartakan, tetapi Puchong kira ia akan mengambil masa untuk penstrukturan semula pentadbiran dan organisasi.
8. Puchong ingin tahu bilakah akta ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya. Apakah status terkini?
9. Seterusnya, Puchong ingin membawa perhatian dewan yang mulia ini kepada kepala 040200 Menaik Taraf, Pembaikan dan Penyelenggaran Bangunan.
10. Puchong sangat mengalu-alukan pembaharuan Parlimen baru-baru ini di mana 10 Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) telah diubah menjadikan 10 Jawantakuasa tetap parlimen - Jawankuasa Pilihan Berkaitan Kementerian (JKP).
11. Namun begitu, pembaharuan ini perlu disertai dengan fasiliti yang mencukupi.
12. Untuk pengetahuan Pengerusi, dari pengalaman saya sebagai Pengerusi JKP Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat, kadang-kala tak dapat book bilik mesyuarat untuk membuat pendengaran kerana kita hanya ada 3 bilik mesyuarat JK.
13. Ini sudah tidak mencukupi dengan 10 JKP, lebih-lebih lagi jika kita ingin buat pembaharuan parlimen yang seterusnya.
14. Puchong berpendapat pembaharuan parlimen yang seterusnya yang kita perlu buat ialah perbahasan peringkat jawatankuasa sama ada RUU pembekalan belanjawan ataupun RUU yang lain perlu dibuat sebagai jawatankuasa dan bukan di dewan utama ini.
15. Untuk pengetahuan Datuk Pengerusi, semalam JKP wanita dan JKP pembangunan insan telah membuat pendengaran bersama dengan Kementerian Pendidikan, PDRM dan KKM berkenaan dengan isu-isu keselamatan pelajar, dan Puchong mendapati perbincangan dasar to-and-fro adalah jauh lebih efektif dan sangat mendalam jika kita berbanding dengan perbincangan yang diadakan di dewan ini di mana, ahli-ahli parlimen bahas dan pihak eksekutif gulung di akhirnya.
16. Kebanyakan masanya, apa yang dibahas tidak dijawab ataupun dijawab pun sama ada lisan ataupun bertulis, soalan-soalan lanjut tidak sempat dibuat, kena tunggu sesi seterusnya.
17. Oleh itu, harapan saya ialah Parlimen ini boleh menjadi lebih efektif dengan wujudnya perbahasan peringkat jawatankuasa yang lebih meluas.
18. Jika kita perlu menuju ke arah ini, lebih banyak bilik mesyuarat perlu diwujudkan dengan fasiliti-fasiliti seperti mic, camera dsbnya.
19. Selain itu, Puchong ingin cadangkan pengurusan parlimen di mana syor-syor penyata yang dibentangkan oleh JKP-JKP perlu dijawab oleh pihak eksekutif sekurang-kurangnya secara bertulis.
20. Syor ini perlu dijawab satu demi satu – setuju tak syor, jika ya, rancangan pelaksanaan, jika tidak, kenapa.
21. Seterusnya, Puchong ingin mengalih ke B6 040000 Pengurusan Kehakiman dan Perundangan.
22. Merujuk kepada peningkatan gaji hakim sehingga 30%, apakah perincian peningkatan ini? Adakah semua hakim akan menerima peningkatan sebanyak 30%? Bagaimana pengagihannya?
23. Adakah hakim-hakim mahkamah rendah seperti Majistret dan hakim Mahkamah Sesyen juga akan menerima peningkatan gaji? Jika tidak, adakah Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan peningkatan gaji bagi mereka sementara mereka menyandang jawatan tersebut mengambil kira bahawa mereka adalah juga hakim?
24. Apakah usaha-usaha yang sedang dilakukan untuk meningkatkan pengambilan jurubahasa mahkamah, terutamanya bagi Bahasa Cina dan Tamil di mana jurubahasa bagi bahasa-bahasa ini semakin berkurangan?
25. Puchong cadangkan Kerajaan untuk mempertimbangkan gaji permulaan yang lebih tinggi bagi jurubahasa yang memainkan peranan yang amat penting dalam sistem keadilan negara?
26. Isu seterusnya yang ingin saya sentuh pada kepala yang sama dan ini juga isu terakhir saya ialah berkenaan dengan mahkamah bergerak.
27. Puchong mendengar ucapan gulungan menteri BHEUU di peringkat dasar tentang rancangan kerajaan untuk memperluaskan mahkamah bergerak di semenanjung merangkumi perkhidmatan seperti mahkamah kanak-kanak bergerak, van saksi kanak-kanak dsb.
28. Puchong menyokong penuh usaha ini kerana ia akan membantu memastikan lebih banyak kes yang melibatkan kanak-kanak terutamanya kes jenayah seksual kanak-kanak dapat diteruskan dan mangsa kanak-kanak boleh mendapat keadilan di sistem keadilan Malaysia.
29. Dengan ada mahkamah bergerak, mangsa kanak-kanak di luar bandar dan pinggir bandar, terutamanya mereka dari golongan kurang berkemampuan, boleh akses kepada mahkamah dengan lebih mudah dan tidak akan give up seeking justice kerana masalah pengangkutan.
30. Selain itu, di van saksi kanak-kanak, saksi kanak-kanak lebih selesa memberi keterangan dan tidak ditakutkan dengan setting mahkamah yang kadang-kala memberi tekanan kepada dewasa, apatah lagi kanak-kanak.
31. Ini akan menggalakkan mangsa kanak-kanak untuk teruskan perbicaraan.
32. Dengan ini, Puchong ingin mendapat perincian berapakah mahkamah bergerak baru yang akan diwujudkan di semenanjung, sabah dan sarawak masing-masing dan apakah KPI yang telah ditetapkan untuk kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dari segi peratusan kes yang selesai perbicaraan dan juga masa untuk menghabiskan penyelesaian dengan keputusan mahkmah dibuat.