Selasa, 2 Disember 2025

Penerangan Pengerusi JKP Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan: Keselamatan Digital & Kesihatan Mental Kanak-kanak | 2 Disember 2025

 
PENERANGAN PENGERUSI JAWATANKUASA PILIHAN WANITA, KANAK-KANAK DAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT

1.    Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat telah membentangkan dua penyata pada sidang ini, yang dibentangkan pada 1 Disember 2025 (Isnin) iaitu:
     i.    Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-kanak di Malaysia (DR. 33 Tahun 2025); dan
    ii.    Townhall Buli dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia (DR. 34 Tahun 2025).

2.    Hari ini saya selaku Pengerusi Jawatankuasa ingin membuat penerangan berkaitan Penyata Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-kanak di Malaysia.

3.    Manakala bagi Penyata Townhall Buli dalam Kalangan Kanak-kanak di Malaysia, saya ingin menggalakkan Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepadanya bagi perbahasan bacaan kedua Rang Undang-Undang Anti Buli 2025.

4.    Balik kepada Penyata Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-kanak di Malaysia, Jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mendalami isu ini susulan dua insiden yang amat mengejutkan seluruh negara, iaitu:
    i.    kes seorang pelajar ditikam dengan 200 kesan tikaman di sebuah sekolah di Bandar Utama; dan
    ii.    kes pelajar perempuan di Baling yang pada awalnya disyaki rogol berkumpulan tetapi kemudiannya diklasifikasikan sebagai seks bawah umur dan rogol statutori.

5.    Kes-kes ini menunjukkan realiti bahawa kanak-kanak hari ini terdedah kepada risiko fizikal, seksual, digital dan psikososial yang amat membimbangkan.

6.    Dengan itu, antara 30 Oktober hingga 13 November 2025, Jawatankuasa mengadakan sesi libat urus Bersama KDN, PDRM, KKM, MCMC, KPWKM, JKM serta Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak (OCC), SUHAKAM  untuk meneliti faktor risiko, jurang dan langkah kawal selia yang diperlukan.

7.    Saya ingin kongsikan di sini dapatan-dapatan utama Jawatankuasa.

8.    Secara keseluruhannya, sebanyak 55.7 peratus kanak-kanak menggunakan internet selama 1 hingga 4 jam dalam sehari pada tahun 2024 dan daripada golongan ini, 60.7 peratus dilaporkan memiliki peranti sendiri.

9.    Internet is a double-edged sword, dengan izin, di mana ia ia menawarkan faedah yang tinggi tetapi ia juga boleh membawa mudarat.

10.    Penggunaan internet yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak telah  membawa beberapa gejala yang membimbangkan khususnya Internet Gaming Disorder (IGD), Social Anxiety Disorder (SAD) dan masalah kesihatan mental serta ketagihan dan kesalahan seksual.

11.    Terlebih dahulu, izinkan saya kupaskan di sini status IGD, SAD dan Kesihatan Mental kanak-kanak.

12.    Menurut satu kajian, antara 5,290 remaja di tujuh negeri di Malaysia, sebanyak 3.5 peratus, didiagnosis mengalami internet gaming disorder (IGD). 

13.    Dengan kata lain, 315,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami IGD.

14.    IGD ditakrifkan sebagai gaming yang berterusan dan berulang sehingga mengakibatkan kemerosotan yang ketara.

15.    Antara kriteria IGD adalah penarikan diri dari sosial dan hilang minat dalam aktiviti lain.

16.     IGD dikait rapat dengan kecenderungan impulsif terutamanya impulsif motor dan daya tumpuan yang singkat.

17.    Dari segi impak kesihatan mental, daripada remaja yang mengalami IGD, 48.1 peratus mengalami kebimbangan serius, 37.4 peratus mengalami kemurungan serius dan 18.2 peratus mengalami tekanan serius.

18.    IGD juga dikaitkan secara signifikan dengan social anxiety disorder (SAD), iaitu kebimbangan sosial dan  pengelakkan interaksi sosial.

19.    IGD dan SAD secara keseluruhannya akan menjejaskan pembangunan kanak-kanak.

20.    Seterusnya, saya ingin mengalih ke status ketagihan dan kesalahan seksual dalam kanak-kanak.

21.    Puchong ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini dengan statisktik berikut.

22.    Hampir separuh kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dan daripada kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak 68.1 peratus adalah kes suka sama suka, di mana kedua-dua pihak adalah 16 tahun ke bawah dan bersetuju untuk mengadakan hubungan seks.

23.    Untuk pengetahuan Dewan yang mulia ini, dalam kes seperti ini, hanya pelajar lelaki akan didakwa di bawah kesalahan rogol statutori mengikut Seksyen 375 dan 376 Akta Kanun Keseksaan, kerana definisi rogol statutori adalah kesalahan seorang lelaki melakukan persetubuhan dengan seorang wanita di bawah umur 16 tahun (dengan atau tanpa persetujuannya).

24.    Jawatankuasa juga mendapati bahawa hampir 90 peratus daripada remaja yang melakukan hubungan seksual berulang kali berpunca daripada pendedahan awal kepada pornografi, media sosial dan bahan lucah digital.

25.    Sebanyak 30 peratus kes kesalahan seksual kanak-kanak yang ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti dan Asrama Akhlak berpunca daripada tiada kawalan terhadap penggunaan gajet.


26.    Walaupun kanak-kanak sangat terdedah dengan risiko-risiko yang saya telah bincangkan tadi, Jawatakuasa mendapati bahawa komitmen kewangan dan kapasiti MCMC dalam menjaga keselamatan internet adalah sangat rendah sama ada dari segi kawalan online gaming dan pornografi di kalangan kanak-kanak serta penyebaran CSAM, iaitu child sexual abuse materials.

27.    Saya ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini bahawa Jawatankuasa telah merujuk penyata kewangan MCMC dari tahun 2019 sehingga 2023 dan mendapati pendapatan MCMC adalah sekitar RM 1.2 hingga 1.6 bilion.

28.    Walau bagaimanapun, bagi tujuan pemantauan termasuk mengenal pasti laman web yang mengandungi kandungan berbahaya yang boleh diakses oleh kanak-kanak, MCMC tidak memberi peruntukkan khusus yang secukupnya dengan kakitangan hanya seramai 56 pegawai.

29.    Lebih-lebih lagi, MCMC tidak menggunakan sistem automasi dan kecerdasan buatan (AI). Pemantauan hanya dijalankan dengan menggunakan carian secara manual seperti kata kunci (keywords search).

30.    Ini adalah sangat membimbangkan.

31.    Secara keseluruhan, Jawatankuasa telah mengenal pasti TIGA cabaran utama untuk mengatasi impak negatif pendedahan internet tanpa kawalan dalam kalangan kanak-kanak:
    i.    Keupayaan penguatkuasaan keselamatan digital negara masih belum memadai disebabkan keterbatasan kuasa perundangan, ketidakpatuhan platform global dan yang paling penting, kapasiti pemantauan MCMC yang rendah;
    ii.    Pengurusan kesihatan mental kanak-kanak di sekolah masih tidak  menyeluruh dan konsisten; dan
    iii.    Tahap literasi digital dan keupayaan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan peranti kanak-kanak masih rendah.

Berdasarkan perbincangan dan penelitian yang telah dijalankan, kerana had masa, saya ingin menghuraikan TIGA syor yang utama penyata di sini, yang lain YB-YB sekalian boleh baca di penyata.

1.    Pertama, Jawatankuasa berpendapat bahawa pengurusan kesihatan mental kanak-kanak memerlukan perkhidmatan dan kepakaran profesional serta pengurusan yang sistematik.

2.    Kita tidak boleh bergantung kepada guru-guru kerana ini bukan profesionlisme mereka dan mereka telah pun terbeban dengan tugas-tugas hakiki mereka.

3.    Oleh itu, Jawatankuasa mengesyorkan supaya Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan  (NCEMH)  di bahawa KKM menjadi agensi kebangsaan (national focal point) yang bertanggungjawab dalam menjaga kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia dengan KPM dan KPWKM dijadikan sebagai rakan strategik.

4.    Dengan itu, Jawatankuasa mengesyorkan supaya kerajaan memperkasakan NCEMH dengan memperbanyakkan perjawatan Pakar Perubatan dan Pegawai Psikologi dan meningkatkan peruntukkannya bagi menangani kes-kes berkaitan kesihatan mental di kalangan kanak-kanak.

5.    Antara fungsi dan peranan yang boleh diperkasakan oleh NCEMH adalah seperti yang berikut:

    i.    Bekerjasama dengan KPM untuk melakukan saringan kesihatan mental secara berkala dan sistematik di sekolah;

    ii.    Melatih kaunselor dan guru-guru yang berkaitan di sekolah untuk mengenal pasti kes-kes ketagihan digital, ketagihan seks, IGD, SAD serta cabaran-cabaran kesihatan mental yang perlu menjalani intervensi awal (dari saringan berkala atau pemantauan) supaya mereka boleh dirujuk kepada institusi KKM yang berkaitan;

    iii.    Bagi pelajar yang dirujuk ke KKM, melibatkan perkhidmatan JKM apabila perlu (seperti masalah rumah tangga dan lain-lain);

iv.    Menganalisis dan memantau trend kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan menyediakan pelaporan berkala; dan

v.    Menjalankan kempen kesedaran mengenai Kesihatan Mental secara sistematik di sekolah.

6.    Menurut kajian, norma budaya yang menekankan kepatuhan sosial dan mengelakkan konflik boleh menyumbang kepada peningkatan kebimbangan sosial dan menjejas kesihatan mental kanak-kanak, oleh itu syor kedua Jawantakuasa ialah supaya KPM mengkaji semula kesesuaian bahan-bahan pendidikan karakter (yang utamakan kepatuhan sosial) dan menimbang untuk menggantikannya dengan pembelajaran emosi sosial yang telah dicadangkan oleh ahli-ahli akademik yang menjalankan kajian psikososial kanak-kanak dan pihak UNICEF.

7.    Saya ingin sekali lagi menekankan bahawa Jawatankuasa amat memandang serius kekurangan komitmen kewangan dan kapasiti MCMC dalam menjaga keselamatan internet sehingga menyebabkan kanak-kanak di Malaysia terdedah dengan bahan berbahaya seperti pornografi dan online gaming yang tidak sesuai dengan usia mereka.

8.    Oleh itu, syor ketiga Jawatankuasa ialah supaya MCMC menggandakan peruntukan  kewangan dengan segera bagi meningkatkan kapasiti pasukan pemantauan laman sesawang termasuk penggunaan teknologi terkini dan meningkatkan kepakaran sumber manusia yang sewajarnya.

9.     Selain itu, MCMC juga perlu menyalur dana CSR ke NCEMH untuk mencegah dan mengurus masalah kes ketagihan digital akibat penggunaan internet berlebihan.

10.    Memandangkan penglibatan ibu bapa amat kritikal dalam memastikan keselamatan digital terhadap kanak-kanak, Jawatankuasa mencadangkan supaya MCMC untuk menjalankan kempen kesedaran keselamatan digital secara besar-besaran, khususnya bekerjasama KPM untuk menjalankan program literasi digital yang berstruktur khusus untuk ibu bapa dan memastikan setiap sekolah melaksanakan sesi praktikal penetapan ‘parental control, yang mana ibu bapa dibimbing secara langsung untuk mengaktifkan kawalan keselamatan pada peranti anak masing-masing.

11.    Memandangkan sebanyak 68.1 peratus kes rogol statutori adalah kes suka sama suka, syor ketiga Jawatankuasa ialah supaya KDN mengkaji untuk meminda Seksyen 375 dan 376 Kanun Keseksaan dan akta-akta yang berkaitan supaya kedua-dua pihak dipertanggungjawabkan secara saksama di bawah undang-undang.

12.    Secara keseluruhannya, Jawatankuasa berpendapat bahawa isu keselamatan digital dan kesihantan mental dalam kalangan kanak-kanak perlu perhatian dan tindakan segara daripada kerajaan, kita tidak boleh menggunakan alasan tidak cukup peruntukkan ataupun kakitangan lagi, dengan itu, akhir sekali, Jawatankuasa menggesa menggesa Kementerian Kewangan memberi peruntukan khas yang mencukupi dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu meluluskan lebih perjawatan berkaitan kepada semua kementerian yang terlibat dalam pengurusan kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia.

Syor-syor lain:
1.    Jawatankuasa mengesyorkan agar Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk mempergiatkan Pendidikan Keibubapaan yang komprehensif bagi menangani isu “diverting syndrome”, bagi meningkatkan literasi keibubapaan, dan memperkukuh hubungan ibu bapa–anak, supaya tanggungjawab pembentukan sahsiah serta kesejahteraan emosi kanak-kanak dapat dipikul bersama antara keluarga dan sekolah.

2.    Jawatankuasa mengesyorkan supaya isu digital dalam kalangan kanak-kanak ditangani melalui pendekatan whole-of-government’ dengan melibatkan beberapa kementerian yang lain. Antaranya ialah:

    i.    PLANMalaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu memperbanyakkan  dan memperbaiki ruang rekreasi, dan taman awam serta ruang komunal bagi menyediakan aktiviti alternatif yang selamat kepada kanak-kanak untuk bermain dan berkumpul.

    ii.    KBS dan KPN perlu memperbanyakkan aktiviti komuniti seperti sukan, kelab belia dan aktiviti luar untuk mengurangkan masa skrin kanak-kanak.

3.    Jawatankuasa mengesyorkan supaya KDN memperbanyakkan Op Pedo sekurang-kurangnya 2 kali dalam tempoh setahun bagi menguatkuasakan Seksyen 15 Akta 792 untuk mengawal penularan bahan CSAM dalam kalangan rakyat Malaysia.

4.    Secara keseluruhannya, Jawatankuasa mengesyorkan Kementerian Kewangan memberi peruntukan khas yang mencukupi dan Jabatan Perkhidmatan Awam perlu meluluskan lebih perjawatan berkaitan kepada semua kementerian yang terlibat dalam pengurusan kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia.