BAB 1
PERJALANAN PERIBADI
Di
bahagian pertama buku ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berkongsi
dengan anda perjalanan peribadi saya dan bagaimana saya menyertai politik. Saya
mula-mula berkongsi kisah tentang bagaimana saya menyertai politik di blog saya
dalam sebuah artikel berjudul “Entering into Politics – The Story Behind” pada
tahun 2012. Lima tahun kemudian, saya menceritakan kisah ini dengan lebih
banyak butiran dan refleksi yang lebih mendalam. Saya berharap kisah saya ini
akan mendorong anda untuk meneruskan impian masing-masing dan yang paling
penting, impian dan harapan untuk negara ini.
Benih-benih cinta
Semuanya
bermula pada tahun 2001 dengan sebuah program doa - Puasa dan Doa 40-hari untuk
Malaysia, yang dianjurkan oleh National Evangelical Christian Fellowship
(NECF). Saya seorang pelajar tahun pertama di Universiti Teknologi Petronas
(UTP) ketika saya menemukan pergerakan ini. Tidak tahu kenapa, saya merasakan
amat penting untuk berdoa demi Malaysia.
Supaya
tidak bersendirian, saya memujuk rakan baik saya di Universiti Teknologi
Petronas (UTP), Lo Thin Thin, untuk berpuasa dan berdoa untuk Malaysia bersama
saya. Sepanjang tempoh lima tahun akan datang di UTP, setiap tahun di sekitar
musim Merdeka ketika NECF mengedarkan risalah Puasa dan Doa 40-hari untuk Malaysia, kami akan mengambil satu salinan dan melakukan 40 hari berpuasa
bersama.
Kami
biasanya berdoa untuk Malaysia bersama-sama di bilik Thin Thin sebelum berbuka
puasa (untuk makan malam). Kadang-kadang beberapa orang teman akan menyertai
kami. Makanan kegemaran kami adalah nasi ayam goreng kunyit, yang dijual pada
harga RM 2.50 di kantin berdekatan asrama kami di kampus UTP. Seingat saya,
rasanya begitu sedap sekali, terutama dengan sedikit cili padi dan kicap manis.
Ketika
zaman mahasiswa, saya mula melihat Malaysia secara berbeza. Saya mula menyemai
benih kasih sayang dan semangat untuk negara ini melalui puasa dan berdoa untuk
Malaysia.
Walau
bagaimanapun, saya tidak dapat membayangkan diri saya terlibat dalam politik kemudian.
Walaupun saya tahu bahawa politik adalah penting untuk membuat perubahan di
negara kita melalui perubahan sistemik dan dasar, imaginasi yang paling dekat
dengan politik saya adalah "biarlah saya berkahwin dengan seorang ahli
politik", jadi saya dapat membantu suami saya untuk membuat perubahan.
Pemikiran
sedemikian mungkin kedengaran lucu sekarang tetapi ia semulajadi bagi saya yang
ketika membesar lebih banyak melihat wanita di latar belakang daripada berada
di baris depan. Tidak terbayang waktu itu, seorang gadis dari sebuah bandar
kecil, boleh menjadi agen perubahan demi diri saya sendiri, pendirian saya, dan
apa yang saya lakukan, bukan sebagai isteri atau anak perempuan orang lain.
Melihat
kembali, saya tahu bahawa sesiapa sahaja, tidak kira betapa kecilnya kita,
boleh memainkan peranan dalam pembinaan negara.
Tahun-tahun di perantauan
Tidak,
saya bukan seorang yang patriotik sehinggakan tiada yang lebih penting kepada
saya selain Malaysia. Sejak muda saya bermimpi pergi ke luar negara - belajar,
bekerja dan melihat dunia.
