PENGENALAN
Sakti
sebuah mimpi
Ketika buku ini
ditulis, Malaysia sedang berhadapan skandal rasuah terbesar dalam sejarah
negara, di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang bukan sahaja menjadi tajuk
berita tempatan malahan antarabangsa. Kos sara hidup semakin meningkat untuk
rakyat biasa. Kualiti sistem pendidikan kian merosot. Ramai anak muda tidak
mendapat gaji yang mencukupi untuk menikmati kehidupan yang baik.
Dengan latar ini,
tiada perbincangan mengenai cara memperbaiki institusi, sistem dan ekonomi
bersama, bahkan perpecahan dan sikap tidak toleran dalam kalangan masyarakat di
Malaysia semakin bertambah, dengan segala sesuatu yang nampaknya menjadi semakin sensitif.
Politik identiti kaum, agama dan wilayah telah digunakan secara tidak
bertanggungjawab demi kemudahan dan kelebihan politik.
Jujurnya, sebagai
orang muda yang menyertai politik dengan keinginan melihat perubahan di negara
tercinta, saya bergelut dengan kekecewaan melihat perkembangan politik di
Malaysia. Tetapi saya sedar bahawa kita tidak boleh berputus asa hanya kerana
harapan seakan-akan tiada. Kita perlu terus melakukan sesuatu sebaik mungkin,
dengan keupayaan dan pengetahuan yang kita ada.
Generasi rakyat
Malaysia hari ini perlu terus membina impian baru untuk negara kita. Kita perlu
mengimaginasi semula agar negara dapat menentang kekecewaan yang timbul hasil
keadaan semasa. Kita perlu mentakrifkan dan mengetahui masa depan seperti apa
yang kita mahu lihat dan kemudian menetapkan matlamat kita, mengatasi cabaran
sepanjang perjalanan.
Mudahnya,
kita perlu imaginasi-semula untuk membina semula negara yang kita cintai. Buku
ini membincangkan pelbagai aspek pembangunan negara (atau membina semula
negara) berdasarkan falsafah “hendak seribu daya."
Honda mempunyai
suatu slogan yang kuat, “The Power of
Dreams”. Ada sakti dalam impian. Sejarah telah menunjukkan berapa banyak
sekumpulan kecil yang mempunyai keyakinan yang kuat terhadap impian merka telah
berjaya mengubah komuniti, masyarakat, negara dan seluruh generasi, bahkan
membentuk sejarah dunia.
Ahli politik
kegemaran saya ialah Nelson Mandela. Beliau adalah lambang bagaimana sikap
tidak putus asa mengejar sebuah ideal mampu mengubah begitu banyak generasi
masyarakat. Perjuangannya melawan Apartheid di Afrika Selatan dan hukuman
penjara yang begitu lama sebagai tahanan 46664 di sel kecil Pulau Robben demi
kesetaraan terus menjadi sumber inspirasi untuk begitu banyak generasi
pemimpin.
Di samping Nelson
Mandela, kita juga telah mendengar cerita wira-wira gerakan hak asasi di
Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1950-an dan 1960-an. Martin Luther King hanya
seorang pastor Gereja Baptis, Rosa Park hanya seorang tukang jahit dan Malcolm
X hanya seorang pendakwah Muslim, tetapi mereka memberi kesan besar dalam
menggalakkan pergerakan hak-hak asasi, yang menamatkan diskriminasi
undang-undang terhadap orang berkulit hitam di Amerika Syarikat. Mereka
mengajar kita bahawa tiada siapa yang terlalu kecil untuk membawa perubahan.
Terdapat juga
kisah bagaimana para pencipta dan usahawan telah membentuk sejarah manusia.
Kehidupan moden
tidak akan mungkin wujud jika bukan kerana usaha Nikola Tesla yang tak henti
mengemukakan gagasannya untuk menggunakan sistem bekalan elektrik alternatif,
yang membolehkan pengagihan tenaga elektrik jarak jauh untuk memberi tenaga
elektrik ke pekan dan bandar. Beliau terpaksa bertarung dengan konsep sistem
pembekalan elektrik langsung yang dianjurkan oleh Edison, pencipta terhebat di
zaman mereka.
Kehidupan moden
juga tidak akan mungkin terjadi jika bukan kerana usahawan seperti Henry Ford,
yang kilangnya mengeluarkan "Model T" menggunakan konsep garis
pemasangan dan pengkhususan tenaga kerja. "Model-T" adalah generasi
pertama kereta yang boleh dijual kepada orang awam, dan selepas itu mobiliti
dan produktiviti industri abad ke-20 meningkat dengan pesat sekali.
Kemudian datang
Bill Gates, yang merupakan pelopor pembuatan komputer peribadi yang mampu
dimiliki oleh orang biasa, yang meningkatkan produktiviti ekonomi generasi
sekarang dengan sangat pesat.
Terdapat banyak
lagi contoh-contoh ini dari pelbagai aspek dan dengan kesan yang berbeza.
Tetapi ada satu kebenaran yang dapat kita cerap dari sini - setiap perubahan
bermula dengan kepercayaan yang mendalam oleh seseorang atau sekumpulan orang.
Ada kuasa dalam
impian.
Contoh-contoh
yang saya berikan mungkin sangat jauh dari kita. Tetapi saya pasti ramai di
antara kita ada pengalaman memiliki suatu impian, bekerja keras untuknya dan
mencapai impian itu. Perjalanan peribadi saya, yang saya akan berkongsi nanti, telah mengajar saya satu pengajaran yang berharga -
adalah mungkin untuk mengejar dan mencapai impian yang kita fikir yang terlalu
jauh dari kita. Memetik kata Nelson Mandela, "Ia selalu kelihatan mustahil
sehinggalah ia selesai."
Oleh itu, dengan
pilihan perkataan saya yang terhad, marilah kita melalui perjalanan
"Bayangan Malaysia Baru" melalui halaman-halaman berikut
bersama-sama.