Isnin, 8 Januari 2024

Perbahasan Belanjawan 2024 - Kementerian Pengajian Tinggi


27 Nov 2023

1.    Terima kasih Tan Sri Pengerusi kerana memberi peluang kepada Puchong untuk turut sertai dalam perbahasan B dan P 64.


2.  Saya ingin merujuk ke 020000 Pendidikan Tinggi dengan anggaran perbelanjaan RM 7.695 billion ringgit untuk 20 universiti awam di Malaysia.


3. Hari ini, saya hanya ingin fokus kepada graduate employability, iaitu kadar kebolehpasaran graduan.

 

4.  Menurut jawapan parlimen Menteri pada Februari tahun ini, daripada jumlah sekitar 286ribu graduan yang menamatkan kursus mereka pada tahun 2021, 14 peratus, iaitu lebih daripada 40 ribu orang graduan, mengalami pengganguran.


5.    Sebenarnya, masalah pengangguran di kalangan graduan adalah isu yang telah berlarutan bertahun-tahun.


Tan Sri Pengerusi,


6.  Saya telah membuat analisis dengan database yang tersedia di laman web Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

 

7.  Database ini senaraikan IPT, program pengajian yang ditawarkan dan peratus graduate employability (GE) masing-masing, di mana peratus GE didefinisi sebagai peratus graduan yang mendapat kerja ataupun melanjutkan pengajian atau latihan dalam tempoh 6 bulan selepas tamat pengajian.


8.  Saya telah ekstrak keluar program-program pengajian yang mencapai peratus GE yang kurang daripada 70% pada tahun 2021 daripada database ini.


9.    Untuk pengetahuan dewan yang mulia ini, terdapat 226 program pengajian yang ditawarkan oleh 20 universiti-universiti awam di Malaysia yang mencapai peratus graduate employability yang kurang daripada 70% pada tahun 2021.


10.    Dengan kata lain, pada tahun 2021, daripada 10 graduan yang tamat pengajian dari 226 program ini, terdapat sekurang-kurangnya 3 tidak mendapat tempat kerja atau pengajian dalam masa 6 bulan.

 

11.        Dari segi institusi pengajian, institusi yang menjadi penyumbang terbesar ialah Universiti Teknologi MARA dengan 85 program pengajian yang mencapai kurang daripada 70% graduate employability, diikuti dengan Universiti Kebangsaan Malaysia 35 dan Universiti Malaya 28.


12.        Puchong juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini bahawa sejumlah 136 ataupun lebih daripada 50% daripada 226 program ini, adalah program pengajian postgraduate (lepasan ijazah) yang terdiri daripada 27 program PhD dan 109 program sarjana (master’s degree).


13.       Ia bermaksud terdapat situasi sekarang di mana graduan kita berjaya dapat PhD dan Master tetapi tidak dapat pekerjaan.


14.       Dengan ini, Puchong ingin cadangkan kepada kementerian untuk membuat analisis dan diagnosis yang lebih terperinci terhadap program-program pengajian di universiti-universiti awam yang mendapat graduate employability yang rendah secara berterusan.


15.        Kementerian perlu tahu sama ada terdapatnya jumlah peluang pekerjaan yang berkaitan dengan program-program pengajian ini yang mencukupi dan jika ada, sama ada latihan yang diberi di universiti-universiti awam mengikut permintaan pasaran buruh.


16.        Seterusnya, kementerian perlu membuat rombakan yang bersesuaian.


17.    Sebagai contoh, kementerian harus kurangkan atau hentikan intake bagi program-program pengajian yang tiada permintaan di pasaran buruh dan memperbesarkan program yang ada permintaan tinggi ataupun memulakan program-program baru untuk industri-industri yang baru dan sedang berkembang dengan merujuk kepada laporan-laporan seperti Laporan Critical Occupations List yang diterbit oleh Talent Corp dan Kementerian Sumber Manusia.


18.    Program-program ini bukan sahaja boleh diadakan di Universiti-universiti awam tetapi juga di institusi-institusi TVET.


19.        Saya telah baca Laporan Critical Occupations List tahun ini dan dapati bahawa banyak di antara critical occupations adalah kerja vokasional yang memerlukan kemahiran yang tinggi dan tetapi juga bergaji tinggi. Oleh itu, program-program di institusi TVET juga adalah penting.


20.        Secara keseluruhannya, KPT perlu mewujudkan satu sistem di mana program-program di institusi pengajian tinggi negara kita boleh disesuaikan dengan cepat dan pantas dengan permintaan pasaran dan tren industri.


21.        Dengan ini, kita boleh memastikan return on investment perbelanjaan kerajaan di institusi pengajian tinggi adalah tinggi dengan menghasilkan graduan yang mampu mendapat kerja dengan gaji yang baik.


22.        Tambahan lagi, dengan adanya talent pool yang memenuhi keperluan industri, kita boleh menarik lebih banyak pelaburan dan sekaligus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang baik dan dengan ini, membina satu kitaran positif untuk perkembangan ekonomi di Malaysia.