Isnin, 8 Januari 2024

Pelancaran Kiddo Foodbank Parlimen Puchong


8 Okt 2023

Ucapan Yeo Bee Yin, Ahli Parlimen Puchong pada 8 Oktober 2023 di Puchong Utama Court 2 semasa Pelancaran Kiddo Foodbank Puchong. 

Masalah kebantutan di Malaysia telah menunjukkan tren yang membimbangkan terutamanya di kawasan miskin bandar. 

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, kebantutan di kalangan kanak-kanak di Malaysia telah mencatat peningkatan dari 17.1% pada 2015 kepada 21.2% pada 2022. Dengan kata lain, 1 daripada 5 kanak-kanak di Malaysia mengalami tumbesaran terbantut. 

Ini adalah jauh lebih tinggi daripada sasaran 11% yang ingin dicapai bawah Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) 2016-2025. Ia juga adalah lebih tinggi daripada Singapura (3%), China (4.6%), Thailand (11.8%) dan Sri Lanka (15.9%) dan lebih dekat dengan kadar di Kemboja (22.3%) dan Myanmar (24.1%). 

Pada bulan Jun dan Julai yang lepas, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong telah mengadakan lapan (8) Pesta Jom Sihat di mana salah satu saringan ialah saringan tumbesaran kanak-kanak di bawah umur 6. Sejumlah 228 kanak-kanak telah pun disaring dan didapati bahawa 35% daripada kanak-kanak ini mengalami kekurangan zat makanan ataupun malnutrisi, termaksud bantut (stunting), kurang berat badan (underweight) dan susut (wasting). 

Masalah malnutrisi di kalangan kanak-kanak di bawah umur 6 akan memberi kesan negatif kepada perkembangan kognitif mereka, kemudiannya menjejaskan pembelajaran kanak-kanak ini apabila mereka masuk ke sekolah dan kemudiannya berlanjutan ke masalah pekerjaan dan gaji rendah. Ini bermaksud bahawa kehidupan dan masa depan seorang kanak-kanak lebih kurang ditentukan sebelum dia masuk ke sekolah rendah. 

Dengan itu, hari ini Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong melancarkan Program Kiddo Foodbank. Kami akan mengagihkan susu tepung bernutrien (fortified milk) kepada kanak-kanak malnutrisi yang berpendapatan rendah di kawasan Parlimen Puchong setiap bulan di sini selama satu tahun. 

Kenapa susu tepung? Kami telah merujuk kepada beberapa program di dalam dan luar negara dan mendapati bahawa salah satu langkah yang paling efektif untuk mengatasi masalah malnutrisi di kalangan kanak-kanak ialah dengan meningkatkan pengambilan susu dalam makanan setiap hari mereka. Fortified milk mempunyai gabungan nutrien yang penting untuk tumbesaran termasuk protein berkualiti tinggi, karbohidrat lemak susu, pelbagai vitamin dan mineral.

Sebenarnya, program foodbank seperti ini bukan idea baru. Kementerian Kesihatan juga ada program seperti ini dan melalui perbincangan saya dengan pihak klinik kesihatan, cabaran terbesar pelaksanaan foodbank ini ialah memastikan bahawa susu yang diagihkan benar-benar diminum oleh penerima yang dikenal pasti. Oleh itu, saya telah pun menjemput sahabat saya dari Sales Connection untuk membantu kami membangunkan satu aplikasi dan sistem yang saya berharap akan mengatasi cabaran ini. Sistem ini juga digunakan untuk merekodkan perkembangan tumbesaran kanak-kanak dan juga maklumat berkaitan yang lain. Nanti Sales Connection akan memberi pembentangan ringkas berkenaan dengan sistem ini.

Di samping mengagihkan susu tepung, Program Kiddo Foodbank juga akan memberi memberi pendidikan amalan penjagaan dan pemakanan kepada para ibu bapa. Kami juga akan berkerjasama dengan NGO-NGO seperti The Lost Food Project untuk membawa makanan lain kepada komuniti miskin bandar di kawasan Parlimen Puchong.

Saya telah menjemput penyelidik-penyelidik dari universiti untuk menilai dan meninjau program ini secara kualitatif dan kuantitatif dan pejabat saya akan memperbaiki sistem pengagihan Program Kiddo Foodbank mengikut apa yang kami akan belajar selepas pelaksanaan program ini. Saya berharap selepas satu tahun, saya boleh membawa cadangan polisi yang komprehensif berasaskan pengalaman dan data dari Program Kiddo Foodbank Puchong ke Parlimen supaya ia boleh dilaksanakan di seluruh negara dan membantu negara kita mengatasi masalah bantut dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak.

Tiada kanak-kanak di Malaysia sepatutnya tercicir dalam arus pembangunan negara kerana apa yang berlaku kepada mereka di bawah umur 6 tahun. Mari kita bersamasama memastikan anak-anak kita boleh membesar dengan sihat dan mendapat “a fair chance in life”, peluang yang adil dalam hidup, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang sosio-ekonomi.