PERTANYAAN BUKAN LISAN DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA, PARLIMEN KELIMA BELAS TAHUN 2023
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN
menyatakan anggaran kos projek bagi pembinaan sekolah baru seperti
Sekolah Kebangsaan Cyberjaya (2), Sepang, Selangor, Sekolah
Kebangsaan Setia Alam (2), Petaling Perdana, Selangor, Sekolah
Kebangsaan Paya Dusun, Dungun, Terengganu, Sekolah Menengah
Kebangsaan Dudong, Sibu, Sarawak, Sekolah Menengah Kebangsaan
Denai Alam, Shah Alam, Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Johan
Setia, Klang, Selangor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Nabalu,
Tuaran, Sabah.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited dalam
menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk
kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Rolling Plan 3
(RP3) tahun 2023, KPM telah diluluskan sebanyak tujuh projek pembinaan
sekolah baharu seperti yang dinyatakan oleh Ahli Yang Berhormat
Puchong. Anggaran kos untuk kesemua tujuh projek tersebut adalah
berjumlah RM560 juta. Skop projek bagi pembinaan sekolah baharu adalah
melibatkan kerja awalan, kerja tanah, kerja infrastruktur, pembayaran fee
dan caj pembangunan, kerja pembinaan struktur bangunan iaitu blok
akademik, blok pentadbiran, kemudahan lain mengikut piawai serta
perabot, peralatan dan perkakasan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, anggaran kos semasa
permohonan projek dilaksanakan melalui Public Sector Comparator oleh
berdasarkan kos projek terdahulu serta pembolehubah lain yang berkaitan.
Anggaran kos projek ini adalah secara kasar dan perlu dinilai serta diteliti
semula oleh pelbagai pihak seperti Kementerian Ekonomi dan Jabatan
Kerja Raya (JKR) sebaik sahaja projek diluluskan. Preliminary Details
Abstract (PDA) akan dibangunkan oleh agensi teknikal setelah
menjalankan kerja ukur serta siasatan tanah dengan mengambil kira situasi
semasa di tapak. Selain itu, selaras dengan Pekeliling Unit Perancang
Ekonomi Bil. 1 Tahun 2015, kos projek yang terbaik dan optimum akan
ditentukan melalui pelaksanaan pengurusan nilai projek melalui Makmal
Kajian Nilai oleh Kementerian Ekonomi serta Makmal Kejuruteraan Nilai
oleh pihak JKR.
Sekian, terima kasih.