Khamis, 9 November 2023

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2023 kepada Menteri Ekonomi | 9 November 2023

9 November 2023, Khamis

SOALAN 

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI EKONOMI menyatakan apakah rancangan Kerajaan memandangkan negara kita telah menjadi ageing society dan akan menjadi aged society menjelang 2044. Bagaimana Malaysia boleh mengatasi penurunan dividen demografi supaya ekonomi berkembang pada kadar yang baik.  

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua, 

Malaysia telah menjadi negara menua (ageing nation) pada tahun 2021 apabila 7% daripada jumlah penduduk negara adalah dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun dan lebih. Peratusan populasi ini dijangka akan berganda dalam tempoh 21 tahun akan datang, dan Malaysia dijangka akan mencapai status negara tua (aged nation) pada tahun 2044. Peningkatan peratusan populasi ini secara langsung akan mengurangkan populasi umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dalam struktur demografi. Kesan peralihan ini menyebabkan dividen demografi atau potensi manfaat ekonomi yang boleh disumbang oleh populasi umur bekerja merosot. 

Kerajaan sedar impak peralihan demografi akibat penuaan populasi kepada pertumbuhan ekonomi negara adalah besar. Cabaran baharu ini perlu ditangani melalui perancangan yang strategik dan berkesan. Langkah permulaan dalam perancangan ini adalah memanjangkan fasa peralihan struktur demografi. Dalam hal ini, Kerajaan akan meningkatkan pelaburan dalam perkhidmatan dan rawatan kesihatan reproduktif untuk memperlahankan penurunan kadar kelahiran. Kadar kesuburan jumlah (TFR) negara menurun kepada 1.6 pada tahun 2022 iaitu di bawah paras penggantian 2.1 anak bagi setiap wanita. Usaha ini termasuk kaedah rawatan kesuburan in-vitro fertilisation (IVF) pada kadar yang lebih rendah daripada harga pasaran. Dalam hal ini, Kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM171 juta bagi pembinaan Pusat Subfertiliti Negara di Shah Alam, Selangor.

Kerajaan juga meneroka potensi ekonomi penjagaan atau care economy bagi memacu pertumbuhan ekonomi. Penuaan populasi mewujudkan peluang untuk ekonomi penjagaan berkembang pesat dan maju untuk membentuk satu industri baharu. Pada ketika ini, permintaan untuk perkhidmatan penjagaan berkualiti kian meningkat tetapi penawaran masih rendah. Dalam hal ini, Kerajaan menggalakkan pelaburan swasta untuk meningkatkan keupayaan penawaran serta membantu membina pasaran perkhidmatan penjagaan yang cekap dan berkesan melalui pengukuhan kerangka perundangan.

Pada masa yang sama, perancangan bagi menstruktur semula ekonomi negara yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12, 2021-2025 akan turut membantu menangani impak penurunan dividen demografi. Perubahan struktur yang dipacu melalui peluasan penerimagunaan teknologi dan inovasi dalam sektor ekonomi dijangka akan dapat menangani isu penurunan produktiviti akibat penguncupan tenaga kerja. Tindakan ini dapat membantu meningkatkan prestasi kecekapan pasaran tenaga kerja serta mengkukuhkan tahap daya saing ekonomi.

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Ekonomi kini sedang merangka Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (National Ageing Blueprint) menyeluruh yang merangkumi perancangan dan perencanaan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan jangka masa pendek, sederhana dan panjang melalui kerjasama dengan pihak World Bank. Pelan tersebut dijangka akan siap pada suku pertama tahun 2024 dan dapat membantu Kerajaan dalam menangani impak negara tua terhadap pertumbuhan ekonomi, produktiviti tenaga kerja, keperluan perlindungan sosial dan penjagaan kesihatan warga emas.

Kerajaan optimis, tindakan yang diambil berdasarkan pendekatan keseluruhan negara dan kerangka Ekonomi MADANI, dapat membantu negara untuk menangani dan mendepani cabaran ini dengan lebih berkesan. Kerajaan juga menyeru semua pihak dapat menggembleng tenaga bersama serta memanfaatkan peluang perubahan demografi ini ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

Sekian, terima kasih.