21 Mac 2023, Selasa
SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN
menyatakan sama ada Kementerian ada rancangan untuk mengubah
kembali tarikh pembukaan sekolah dari Mac ke Januari.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyedari bahawa sesi
persekolahan secara bersemuka untuk tahun 2020 dan tahun 2021 tidak
dapat dilaksanakan seperti mana kebiasaan akibat penularan COVID-19.
Oleh yang demikian, KPM telah membuat ketetapan untuk melanjutkan sesi
persekolahan tahun 2021 sehingga bulan Februari tahun 2022.
KPM telah menetapkan sesi persekolahan bagi kalendar akademik
sesi 2022/2023 bermula pada bulan Mac 2022. Pelanjutan sesi ini
membolehkan pihak sekolah merancang dan melaksanakan aktiviti
pemulihan, pengukuhan dan pengayaan secara intensif bagi meningkatkan
kesediaan murid untuk mengikuti tahun persekolahan berikutnya.
KPM akan meneliti cadangan untuk mengembalikan semula kalendar
akademik persekolahan bermula pada Januari seperti sebelum ini. Walau
bagaimanapun, perkara berkenaan masih belum boleh dilaksanakan tahun
hadapan memandangkan perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi
berdasarkan kepada pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).
Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil
kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak
mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi persekolahan bagi
Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada bulan Mac 2023
untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan
bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak
kurang daripada satu ratus sembilan puluh (190) hari.
KPM sentiasa melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan
kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran
dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Sekian, terima kasih.