Khamis, 16 Mac 2023

Pertanyaan Lisan Dewan Rakyat 2023 kepada Perdana Menteri | 16 Mac 2023

16 Mac 2023, Khamis


SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta PERDANA MENTERI menyatakan status terkini PT Eagle High Plantation Tbk. 

JAWAPAN

YB DATO' SRI AZALINA OTHMAN SAID,
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)

Tuan Yang di-Pertua,

1. FIC Properties Sdn Bhd (FICP) iaitu syarikat subsidiari milik penuh FELDA yang mempunyai pelaburan sebanyak 37% pegangan saham dalam PT Eagle High Plantations Tbk (EHP) telah melaksanakan Put Option pada 11 Januari 2019 atas asas Trigger Event dengan mengeluarkan Notis Put Option bertarikh 11 Januari 2019 kepada PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) menghendaki RCI dan/atau RC membeli saham tersebut (Put Option 2019) kerana RCI telah gagal memastikan EHP memperolehi pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) dalam tempoh 18 bulan daripada Tarikh Penyempurnaan Perjanjian Jual Beli saham tersebut.

2. Bagaimanapun, RCI dan RC telah membantah Notis Put Option 2019 tersebut. RCI dan RC telah memulakan prosiding timbang tara di Singapore International Arbitration Centre (SIAC) pada 30 Januari 2019. Namun keputusan berpihak kepada RCI.

3. Seterusnya, FICP telah sebelum itu pada 11 Mei 2022 melaksanakan Put Option (Put Option 2022) atas dasar sole and absolute discretion. RCI dan/atau RC sepatutnya memindahkan Option Price sebanyak USD678.09 juta ke akaun FICP selewat-lewatnya pada 25 Mei 2022. Bagaimanapun, RCI tidak bersetuju dengan Put Option 2022.

4. Terkini, FICP telah menfailkan Notis Timbang tara pada 17 Januari 2023 ke Singapore International Arbitration Centre (SIAC) bagi merujuk tuntutan FICP terhadap RCI dan RC melalui Put Option 11 Mei 2022 bagi RCI / RC membeli Saham Put Option di dalam EHP.

Sekian, terima kasih.