SOALAN
PUAN YEO BEE YIN [ PUCHONG ] minta MENTERI PENDIDIKAN
menyatakan langkah-langkah Kementerian untuk mengatasi masalah
kesesakan/kekurangan sekolah di kawasan-kawasan bandar yang
berkembang pesat terutamanya di Lembah Klang.
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa berusaha secara
berterusan dalam memastikan penyediaan kemudahan sekolah adalah
mencukupi bagi keperluan masyarakat setempat. Sehubungan dengan itu,
kesesakan murid di sekolah bandar terutama di kawasan Lembah Klang
adalah dalam perhatian KPM.
Dalam hal ini, KPM telah mengambil langkah yang proaktif untuk
mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi menangani masalah tersebut.
Perkara ini penting bagi memastikan murid boleh belajar dengan selesa,
kondusif dan dapat memberi fokus kepada pembelajaran dengan baik.
Antara usaha yang diambil oleh pihak KPM bagi mengatasi masalah
tersebut adalah melalui penambahan bilik darjah di sekolah sedia ada
berdasarkan keperluan dan kesesuaian tapak, atau pembinaan sekolah
baharu.
Dalam konteks pembinaan sekolah baharu, KPM sentiasa mendapat
input dan cadangan daripada jabatan pendidikan negeri (JPN). Seterusnya,
KPM akan melaksanakan analisis keperluan pembinaan sekolah baharu
secara terperinci. Antara perkara yang diambil kira adalah bilangan dan
kapasiti sekolah sedia ada, kepadatan penduduk di kawasan sekitar, liputan
kawasan tadahan penduduk (catchment area) serta perancangan
pembangunan kawasan tersebut berdasarkan perbincangan bersama-sama
pihak berkuasa tempatan (PBT).
KPM akan mengemukakan permohonan mengenai cadangan
pembinaan bilik darjah tambahan dan pembinaan sekolah baharu dalam
rancangan Malaysia lima tahun (RMLT). Walau bagaimanapun,
permohonan tersebut adalah tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan
agensi pusat serta kedudukan semasa kewangan Kerajaan.
Sekian, terima kasih.