Isnin, 18 Ogos 2025

Pertanyaan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Tahun 2025 (8)

 18 OGOS 2025 (ISNIN)

SOALAN

PUAN YEO BEE YIN [PUCHONG] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan

status pelaksanaan sistem bayaran Diagnosis-Related Group (DRG). Bilakah

sistem ini akan diperluaskan ke hospital swasta dan nyatakan rancangan

pelaksanaan.

JAWAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

1. Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam penyelarasan penstrukturan kos kesihatan secara menyeluruh. Pelaksanaan DRG Kebangsaan telah dirangka seawal 2023, dengan pelan lima tahun bagi pelaksanaan seluruh negara bermula 2027.

2. Walau bagaimanapun, inflasi kos perubatan terutamanya di sektor swasta telah mendorong penubuhan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Mengenai Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah strategi RESET, termasuk pembangunan dan pelaksanaan DRG.

3. Kerajaan akan memulakan pelaksanaan DRG dengan memperkenalkan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas pada tahun 2026. MHIT Asas berfungsi sebagai platform seragam yang memastikan ketelusan dan keberkesanan penggunaan sistem pembayaran berasaskan DRG.

4. Bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan lancar, Kementerian Kesihatan kini bekerjasama secara aktif dengan pelbagai pihak, termasuk Bank Negara Malaysia, Kementerian Kewangan, pengendali insurans dan takaful, serta hospital swasta.

5. Meskipun pembangunan DRG di sektor swasta dilaksanakan lebih awal, usaha ini masih menyokong usaha pembangunan sistem DRG Kebangsaan yang lebih inklusif kerana mengambil kira integrasi data dan analisis logik grouper yang lebih tepat bersama-sama hospital swasta, hospital pengajar universiti dan hospital angkatan tentera.

6. Pelan pelaksanaan Sistem DRG Kebangsaan lima tahun yang dirangka bermula 2023 sedang berjalan dengan garis masa seperti berikut:

   a. 2023 – 2024: Penubuhan jawatankuasa khas bersama agensi kerajaan dan swasta, kajian teknikal,

serta permohonan dan kelulusan peruntukan pembangunan sistem ICT DRG Kebangsaan.

   b. 2025: Pembangunan sistem DRG Kebangsaan, bengkel penyelarasan dan latihan penetapan kod klinikal di hospital kerajaan dan swasta.

   c. 2026: Pembangunan algoritma DRG Kebangsaan, modul penetapan kos, dan integrasi sistem.

   d. 2027: Ujian sistem, pelaksanaan projek rintis dan pelancaran rasmi sistem DRG Kebangsaan.

7. DRG sektor swasta adalah langkah interim bagi membendung kenaikan kos perubatan swasta yang membebankan rakyat. Meskipun dengan metodologi yang sedikit berbeza dengan DRG Kebangsaan, DRG sektor swasta ini dibangunkan selari dan boleh digabungkan melalui kebolehoperasian sistem dengan DRG Kebangsaan.

Sekian, terima kasih.